Wanita, antara kemodenan dan maruah

Bismillahirrahmaanirrahim

Wanita adalah ciptaan yang cukup istimewa dari perspektif Islam. Kedudukan nya dimuliakan dan ditempat yang istimewa. Pelbagai ganjaran yang berganda setiap amalan yang dilakukan oleh kaum wanita, dengan kata mudah mereka mudah memperoleh syurga.

Sejak dari zaman Greek dan Yunani lagi, perbahasa wanita menampakkan diskriminasi dan kedudukan yang jelek dan hina.  Wanita pada bangasa-bangsa lain juga agama mereka seperti wang atau barangan yang boleh ditukar milik. Nilai harga mereka seperti barangan yang boleh dibeli di pasar.

Tanpa penghormatan yang sebaiknya buat wanita, pelbagai masalah dan gejala yang merosakkan institusi masyarakat. Wanita yang diletakkan nilai mereka tidak lebih sebagai barangan yang boleh dijual beli dengan sendirinya mencorakkan kehidupan masyarakat yang huru-hara.

Kedatangan Islam memberi cahaya dan rahmat buat kaum wanita. Mereka diletakkan ditempat yang sepatutnya. Kedudukan amal mereka dipertanggungjawabkan sama seperti kaum lelaki. Banyak nas dari al-Quran dan hadith memberi penekanan kepada kemuliaan kaum wanita.

Namun masakini, disebalik retorik kebebasan wanita, perjuangan hak wanita dan lauangan tuntutan kuasa buat wanita, sedarkah mereka penjajahan baru bermula. Wanita masakini diprogram dan disogok agar menerima secara mutlak bahawa harga diri mereka terletak pada paras rupa yang cantik dan jelita, muda, tubuh badan yang langsing, diselimuti pakaian yang berjenama dan perhiasan yang anggun.

Maka akhirnya wanita masakini sibuk dengan berbelanja bagi melengkapi semua itu. Mahu dianggap moden dan berjaya. Melanggan pelbagai produk kecantikan, menghabiskan ribuan ringgit untuk terapi kecantikan dalaman dan luaran, malah ada yang sanggup melakukan pembedahan plastik. Kesemuanya memberi keuntungan buat kaum pemodal yang berjaya memprogramkan harga diri mereka terletak pada nilai material.

Kaum wanita di manapun mereka berada, baik negara maju, membangun mahupun negara mundur, terjerat dalam krisis identiti diri. Mereka lupa tentang harga diri sebenar mereka. Mereka keliru kedudukan mereka sebagai wanita. Mereka berjaya diprogramkan dengan nilai baru buat diri mereka.

Wanita di barat yang dikatakan mendapat kebebasan telah dieksploitasi secukupnya dengan menggunakan mereka dalam pelbagai sektor terutama pengiklanan. Apa yang menyedihkan ramai dikalangan wanita Islam yang berjaya dikaburkan dengan laungan kebebasan barat sedang mereka sendiri tidak pernah cuba mencari kebebasan wanita dalam Islam.

Wanita Islam di abad moden ini perlu jelas kedudukan, kebebasan, kemuliaan, maruah mereka yang digariskan Allah buat mereka. Allah sebagai pencipta sudah pasti menyediakan yang terbaik buat hambaNya. Tetapi sejauhmana umat ini mampu menterjemahkan kebaikan Islam itu terletak di atas penguasaan penganutnya terhadap ilmu.

Wallahu ta’ala a’lam

Kuasa Melayu Terhakis?

Bismillahirrahmaanirrahim

Ramai orang memperkatakan mengenai kuasa, keistimewaan dan kelebihan yang diterima orang Melayu.

Namun sedarkah kita, semua itu makin hari makin terhakis. Cukup parah dan membimbangkan keadaan nya.

Lihat sahaja penguasaan kaum lain dalam sektor-sektor di Malaysia. Ekonomi, pendidikan, sukan, tak lama lagi juga politik.

Bangsa Melayu begitu terasing di bumi sendiri, kurang penambahan dari sudut kualiti dan kuantiti dalam pelbagai bidang kecuali jenayah.

Penulis melihat puncanya pada proses pembangunan insani bangsa Melayu tidak berjaya dan gagal. Soal melahirkan modal insan berkait dengan peranan kerajaan yang dikuasai sebilangan besar bangsa Melayu.

Dalam bahasa mudah adalah golongan politikus. Mereka adalah kelompok yang merancana pembangunan material dan juga insani di Malaysia.

Tidak dinafikan memang ada usaha dijalankan bagi membangunkan bangsa Melayu seperti projek DEB. Namun perlaksanaan yang dijalankan oleh golongan politik nepotalisme menggagalkan projek tersebut.

Jelaslah peranan ahli politik Melayu yang gagal melihat tujuan sebenar kedudukan mereka bagi membantu bangsa Melayu adalah punca kemerosotan bangsa ini.

Akhirnya kuasa Melayu terhakis dan bakal lenyap selamanya kerana tiada modal insan yang mampu menggalas mana-mana tanggungjawab memimpin negara ini. Ketika itulah kepercayaan rakyat akan mula beralih kepada bangsa lain.

Politikus yang bermotifkan kekuasaan dan harta, mengatasi usaha pembangunan agama, bangsa dan negara wajib ditolak oleh rakyat jika ingin lihat bangsa ini bangkit.

Wallahu Ta’ala A’lam

Perjuangan Modenis Muslim

Bismillahirrahmaanirrahim

Umat Islam sedari era penjajahan sehingga kini, mengalami tekanan yang cukup kuat. Baik politik, ekonomi, sosial dan segenap kehidupan mereka. Dari situ bangkit pelbagai respon,  atau apa yang dinamakan respon kaum muslimin.

Antara respon kaum muslimin ialah dari golongan modenis. Mereka melihat umat Islam mundur kerana kejumudan agama dan sifat taqlid umat Islam kepada tafsiran ulama era pertengahan.

Mereka menyeru kepada dibukakan pintu ijtihad dalam semua lapangan. Tiada halangan dalam berijtihad. Sepertimana cendekiawan terdahulu diberi peluang berijtihad begitu jugalah tuntutan mereka di era ini.

Mereka meletakkan keadaan umat Islam sepertimana dark ages eropah. Bangsa yang hidup dalam kegelapan, kejumudan, kemunduran. Perlu bangkit dan cerah. Mereka menemukan punca kegelapan mereka adalah institusi agama (gereja) ataupun penguasaan sakral paderi.

Disinilah kesilapan golongan modenis dalam mensisikan keadaan umat Islam. Sejarah Islam jika diteliti, tidak pernah meletakkan ulama sebagai otoriti yang mencorakkan kehidupan mereka. Fungsi ulama dalam Islam terbuka kepada perbezaan dan perbincangan.

Mereka juga menyeru kepada model barat sebagai contoh kemajuan. Mengabaikan tuntutan dan cita-cita agama. Agama adalah amalan individual yang tidak perlu ada kaitan dengan kehidupan.

Jelas pendekatan mereka sepertimana revolusionis atau reformis zaman pencerahan. Keyakinan mereka hanya model barat yang telah mengalami perubahan dan kemajuan tamadun itu jalan penyelesaian kepada kemunduran umat ini.

Pada mereka, punca kemunduran umat Islam adalah keterikatan dengan tafsiran lama, takut berijtihad dan otoriti ulama (sedangkan itu sifat skaptikal mereka) membawa umat Islam kebelakang.

Seharusnya kita perlu meneliti hasil mahsul pemikiran ulama-ulama agung yang mengutarakan idea besar sehingga membentuk ketamadunan yang hebat pada masa itu dan melakukan proses asimilasi dengan era moden.

Tidak kiralah proses itu menuntut alat daripada kufar sekalipun untuk membuahkan hasil yang baik kepada umat Islam. Keagungan karya lampau umat Islam adalah satu kerugian besar jika tidak diteliti dan diambil manfaat.

Cuma proses penyesuaian di era moden ini menuntut ketajaman pemikiran kita menilai unsur-unsur yang membawa kebaikan kepada umat. Mengambil secara total dan menolak secara total adalah palagiat tanpa usaha. Ianya perbuatan tidak cerdik.

Satu usaha yang dilihat cuba direalisasikan melalui metod ini ialah, penulisan semula teks-teks pengajian tinggi Islam dalam rupa bentuk mengikut keperluan zaman. Isunya tetap sama cuma, bagaimana persembahan itu diolah dan ditampilkan dalam era kini.

Wallahu ta’ala a’lam

 

Derita Rakyat : Ibu tunggal dan empat orang anak

Bismillahirrahmaanirrahim

Penulis sempat berbual dengan seorang ibu tunggal. Alhamdulillah kini anak-anak nya sudah besar, berkerjaya dan bekeluarga. Anak-anak banyak membantu beliau yang sudah senja dimamah usia. Hidup tidak sesukar dahulu. Itulah yang boleh disimpulkan sekarang.

Dalam kebahagiaan yang dikecapi itu, si ibu tidak dapat menahan ingin meluahkan isi hatinya yang sarat mengandung kisah duka pada masa lalu. Setelah kematian suami, si ibu inilah berseorangan membersarkan anak-anak.

Bukan tiada usaha mohon bantuan dari mana-mana jabatan kerajaan yang ‘dikatakan’ menyediakan pelbagai skim membantu rakyat. Usaha si ibu dihina dan dipandang lekeh. Setiap kali datang disuruh isi borang dengan nada herdik, macam duit ‘mereka’ punya dan macam si ibu ini pengemis.

Borang itu perlu ada pelbagai cop dari sana sini, tidak lengkap, dihalau lagi. Rumah dan pejabat bukan dekat. Perlukan kos dari kampung nak ke bandar. Akhirnya borang itu tidak diterima. Si ibu hampa bukan kepalang, mengenangkan nasib anak-anak mereka.

Si ibu tidak putus asa, mohon lagi. Jawab pihak jabatan, mak cik perlu mohon tahun depan, untuk tahun ini peruntukan sudah habis. Tahun seterusnya si ibu ini mengulang proses yang sama, borang lengkap tiada celanya lagi. Juga ditolak.

Penulis pada awalnya beranggapan si ibu ini ada masalah pada ‘warna’ bendera yang disokongnya, menyebabkan borang dia ditolak. Sangkaan itu meleset sama sekali apabila si ibu ini menzahirkan benderanya. Ia cukup membingunkan kenapa ditolak.

Penulis merumuskan ini adalah masalah birokrasi. Penulis tertanya-tanya, jika peruntukan ada dan cukup untuk rakyat yang memerlukan namun, dinafikan seperti ini, kemana duit itu akan pergi. Penulis cukup hiba dengan cerita si ibu ini kerana, sampai sekarang sesen pun dia tidak merasa duit ataupun bantuan yang sepatutnya dia dapat.

Wallahu ta’ala a’lam

Kerana Bidaah

Bismillahirrahmaanirrahim

Ketika awal belajar dahulu. Kami disogokkan dengan isu bidaah. Ketika itu memang hangat dibincangkan, terutama dikalangan tokoh-tokoh pelajar disana. Kami yang masih muda mentah ibarat bumi dan langit, hanya layak memerhati tanpa bersuara.

Dari situ pelbagai usaha kami buat untuk mendapat penjelasan yang baik mengenai isu bidaah. Lanjutan dari perbincangan itu kami kenal Wahabi dan Tarekat Sufi. Kami telusuri pertembungan mereka dengan hujah-hujah kedua belah pihak. Terus terang saya secara peribadi hanyut dengan hujah yang digelar puak Wahabi atau Salafi.

Suasana kami lebih berpihak menyebelahi satu pihak ini. Kawan-kawan arab kebanyakan bermanhaj yang dikatakan salaf, abang-abang senior juga begitu. Semua ini banyak memberi kesan kepada hidup saya.

Cuma satu kesilapan yang dikesan pada diri saya apabila menelusuri manhaj ini ialah saya mengenali melalui sisi bidaah. Saya mula memasuki manhaj ini melalui pintu bidaah sana bidaah sini. Perkara ini memberi kesan yang mendalam tanpa sempat saya mendalami manhaj ilmu yang benar.

Kesan nya saya mula mengambil ringan ibadat, maksudnya saya tidak lagi bersungguh beribadat, punca nya apabila saya selalu dimomokkan dengan kata-kata ” mereka bersungguh beribadat, tapi tidak mengikut sunnah, sia-sia, tak dapat pahala”. Dari itu banyak ibadat-ibadat yang saya lazimi melakukan nya, saya tinggalkan, bimbang ianya bidaah.

Mujurlah saya menyedari kesilapan ini. Sepatutnya bermanhaj salaf lebih meningkatkan lagi ibadat kita. Pendekatan yang baik ialah melihat ibadat para Salaf Soleh, dari situlah lahirnya kesungguhan kita beribadat, paling tidak kita mencontohi ibadat mereka walaupun tidak sampai tahap ibadat mereka. Bukan melalui pintu bidaah sana sini yang mana bagi saya mengurangkan kesungguhan beribadat.

Juga memahami manhaj ilmu adalah teramat penting sebagai panduan penuntut ilmu, tanpa panduan kita bisa melihat pelbagai khilaf yang sebenarnya kecil menjadi besar apabila kita tidak mampu membezakan isu sebenar dek tidak memahami manhaj ilmu dengan sebaiknya.

Wallahu Ta’ala A’lam

 

 

 

Barat Moden Timur Mundur, Kenapa?

Bismillahirrahmaanirrahim

Bagi yang ingin mempelajari falsafah, penulis sarankan tidak perlu berat-berat pergi kepada buku asal seperti Aristotle, Plato, Farabi Ibnu Sina. Cukuplah dengan Fasl Maqal sebagai permulaan. Fasl Maqal menjelaskan definisi falsafah dalam Islam dan kedudukan falsafah dari perspektif syariah.

Setelah memahami kedudukan falsafah dalam Islam. Bolehlah kita menerokai serba sedikit sejarah falsafah. Buku yang disarankan karangan Majid Fakhri berkaitan sejarah falsafah (lupa tajuk buku). Jika kita menyelusuri sejarah falsafah Islam, sudah pasti kita akan bertemu pertembungan Imam Ghazali dan Ibnu Rusyd.

Imam Ghazali mengkafirkan ahli falsafah (mereka yang berpegang falsafah Aristotle seperti Ibnu Sina dan al-Farabi) pada tiga perkara sahaja. Soal kewujudan alam, kebangkitan manusia adakah dengan roh sahaja ataupun roh dan jasad, dan persoalan dapatkah Tuhan mengetahui perkara juziyyat?.

Perbahasan tiga perkara ini cukup panjang dan memerlukan tahap taakulan yang tinggi dan kesabaran yang tinggi bagi memahami dengan teliti perbahasan mereka. Cuma saya boleh simpulkan pertembungan Imam Ghazali dan Ibnu Rusyd melahirkan aliran tradisionalis dan rasionalis menurut gelaran yang diberi oleh Oliver Leaman.

Aliran tradisionalis yang dimaksudkan Leaman ialah pemikiran yang berpaksikan semua amal perbuatan kita berpaksikan kepada agama. Keputusan yang ingin dibuat harus berdasarkan timbangan agama. Memisahkan sesuatu perkara di dunia ini dari agama seolah menafikan kekuasaan Allah atau dalam bahasa moden kita gunakan konsep Sekularisme.

Aliran rasionalis pula boleh diketegorikan kepada dua. Mereka yang ekstrem dengan memisahkan langsung agama dari amal perbuatan mereka dan kelompok yang berpegang dengan agama namun ada perkara yang tidak mampu diselesaikan dengan agama berhajatkan kepada kekuatan akal seperti, mereka cipta iphone yang mana sudah tentu tiada dalam agama.

Dua aliran ini memberi kesan yang besar dalam tamadun manusia. Aliran tradisonalis yang disinonimkan dengan fahaman Ghazali berkembang pesat di timur, manakala aliran rasionalis atau Rusydian berkembang di barat khususnya eropah. Sehinggakan muncul kata-kata yang menklimkan kemunduran dan kemajuan berdasarkan dua pemikiran ini.

Penulis agak tidak bersetuju dengan kata-kata ini kerana, barat maju bukan kerana pemikiran Ibnu Rusyd. Ibnu Rusyd berpegang dengan konsep ‘kebenaran berganda’, iaitu memberi kebenaran agama dengan orientasi akal. Tetapi barat menolak agama, mereka hanya mengambil satu sisi dari pemikiran Ibnu Rusyd iaitu akal.

Soal kemunduran di timur bagi penulis adalah kerana salah faham masyarakat dalam menerima pemikiran Imam Ghazali. Penulis tidak akan mengulas isu kemunduran ini. Sebagai bukti mereka yang di sebelah timur ini salah pemahaman mereka, penulis cadangkan buku Falsafah Takdir yang ditulis oleh Za’ba.

Kesimpulannya, falsafah dalam Islam tidak haram jika merujuk kepada tafsiran yang dibuat oleh Ibnu Rusyd dalam kitab Fasl Maqal. Cuma ada beberapa bab yang harus dielakkan dari terjerumus ke lembah kekafiran. Bukan dalam ilmu falsafah sahaja, dalam bidang feqah juga boleh terjerumus ke lembah kekafiran jika seorang faqih itu menfatwakan halal pada benda yang haram, juga ahli hadith, jika sanggup mensahihkan yang dhaif demi kepentingan tertentu dan lain-lain lagi.

Derita rakyat: Minta tangguh bayar ya?

Bismillahirrahmaanirrahim

Minggu ini penulis ingin berkongsi cerita benar diantara penulis dan seorang anak murid di kelas iqra’. Pelajar terbabit usai mengaji terus berceloteh keadaan di rumah mereka. Katanya ayah sedang marah-marah.

Penulis bertanya inginkan kepastian kenapa ayah sedang marah? Katanya ayah tiada duit, di musim cuti sekolah ni banyak duit nak guna. Sekejap dah habis. Penulis tahu ayah pelajar ini kerja siang dan malam.

Penulis sekadar memberi nasihat jangan menambah pening ayah. Di akhir kelas pelajar terbabit minta tangguh bayaran kelas iqra’ bulan ini. Penulis mengangguk tanda setuju. Penulis sedar rakyat makin dihimpit dengan kenaikan harga oleh syarikat-syarikat yang memonopli keperluan rakyat.

Malah yang lebih teruk, syarikat-syarikat itu ada hubungan perniagaan dengan Pak Menteri yang sedang memerintah kita. Tanggungjawab mentari meringankan beban rakyat, bukan bersekongkol membaham dan meratah rakyat dengan pelbagai cukai dan kenaikan barang.

Wallahu Ta’ala A’lam

Derita Rakyat : Tiada duit bayar tol

Bismillahirrahmaanirrahim

Slot Derita Rakyat diwujudkan bagi mengisahkan pengalaman penulis bersama rakyat Malaysia, dalam slot ini hanya cerita benar berkaitan kesusahan yang dialami rakyat. Tujuannya agar ramai pihak dapat tahu masih ramai dalam negara yang mengejar matlamat negara maju ini dalam kesusahan. This is a real Malaysia.

Penulis mempunyai enam orang murid untuk kelas iqra’ dan mengaji, mereka berumur lingkungan lima hingga dua belas tahun. Masing-masing tidak pernah berhenti menceritakan apa yang mereka alami setiap hari. Banyak cakap.

Salah seorang daripada mereka pernah menceritakan kepada saya bagaimana ayahnya kehabisan duit ketika pergi ke Kuala Lumpur atas urusan yang perlu diselesaikan, tanpa urusan ayahnya tidak akan keluar jika semata-mata nak habiskan minyak kereta.

Usai urusan, poket si ayah kosong tiada duit. Perjalanan pulang ke Kajang masih jauh, perlu melalui beberapa tol untuk sampai. Sedang duit yang kehabisan bagaimana mungkin sampai ke rumah. Bayangkan seorang ayah yang kehabisan duit diahadapan anak-anak dan isteri.

Si ayah dengan tebal muka pergi ke rumah saudara belah isterinya untuk pinjam wang cukup-cukup untuk pulang ke Kajang. Penulis agak tersentuh dengan cerita pelajar ini. Rasa nak turunkan duit yuran kelas mengaji pun ada.

Penulis terfikir-fikir bagaimana menteri-menteri yang memegang amanah menjaga wang rakyat dengan berhemah sanggup menggunakan wang tersebut atas urusan peribadi sedang rakyat setiap hari diperah wang mereka sehingga poket kosong.

Wallahu Ta’ala A’lam

Bersatu Demi Survival Muslim

Bismillahirrahmaanirrahim

Daulah kafir bersatu di atas pelbagai nama, ada yang namanya kesatuan eropah, nato dan lain-lain lagi. Saya memandang kesatuan mereka lebih kepada konsep bantu-membantu sesama mereka dalam hal ekonomi.

Sebagai contoh nato, dimana pertubuhan ini suka masuk campur urusan Negara orang lain dan menghulur bantuan ketenteraan seperti di Libya. Mereka masuk campur khususnya di Negara Asia Tengah kerana minyak, dalam nato ada Perancis, UK dan banyak lagi, mereka yang nak bersama dalam perang akan dapat pulangan minyak.

Perancangan kesatuan mereka yang strategik ini demi survival ekonomi , tanpa kerjasama seperti itu sudah tentu kuasa lain akan menguasainya dan mereka tidak lagi mampu meneruskan hidup, kerana kehidupan mereka adalah asas materialism.

Disitulah mereka melihat penting nya BERSATU jika ingin terus hidup. Bagaimana umat Islam? Negara umat Islam yang kaya terus kaya dan kaya, Negara umat Islam yang miskin terus miskin dan miskin, kenapa?

Jangan kita asyik menyalahkan anasir luar yang memecahkan kita sedang usaha kearah kesatuan itu ada. Jadi tanyalah diri sendiri. Konsep bantu-membantu sepatutnya lebih awal kita praktikkan namun, kita gagal menjadikan ianya reality.

Mana-mana Negara Islam perlu memikirkan konsep kesatuan dan bantu membantu, apabila ada Negara umat Islam yang miskin perlukan bantuan, Negara kaya perlu memainkan peranan membantu, saya yakin jika soal ini mampu dilaksanakan, hegemoni barat akan tergugat dan perancangan baru akan menyusul.

Kata senang mengusul bicara, soal perlaksanaan nya, ya! Satu tugas yang besar dan berat, perlu datang dari kesedaran dan fikrah yang jelas. Kekaburan fikrah Islamiyyah tidak akan mendatangkan kesedaran untuk bersatu.

Wallahu Ta’ala A’lam

Ada apa dengan demo?

Bismillahirrahmaanirrahim

Lama tidak bersua setelah dan masih sibuk dengan kerja kursus di kuliah dan period raya, mangsanya diri sendiri kerana kelebihan menulis akan makin malap.

Kali ni saya tertarik dengan aksi demo-demo yang berligar di seluruh dunia, golongan ini sudah tidak tahan lagi dengan ekonomi dunia yang terus tidak adil pengagihan kekayaan nya.

Golongan pemodal terus menguasai 2/3 kekayaan dunia sedangkan mereka adalah golongan minoriti di mana-mana negara sekalipun, majoriti penduduk dunia terus tertindas kerana sistem yang ada sekarang hanya mengemukkan golongan minoriti tadi.

Saya pernah dengar sindiran sinis keatas golongan yang keluar berdemo sebagai rendah mentaliti mereka,mungkin dia ada hujah tersendiri untuk kata begit, bagi saya demo adalah platform golongan massa meluahkan perasaan mereka untuk didengari.

Kebanyakan kaum pemodal memagang tampuk pimpinan negara, kalau tidak pun mereka memegang kepala-kepala pimpinan negara sebagai boneka. Dari situ saya tidak nampak ruang yang adil bagi massa mengambil jalan selain demo.

Saya kadang tertanya kenapa massa yang ramai selalu ditindas oleh komuniti kecil yang kaya? Ramai lawan sikit logikalnya ramai yang menang, namun hakikat adalah sebalik. Beberapa aspek seperti konkongan minda,ruang keterbukaan sempit, tiada kebebasan saluran maklumat dsb, mengakibatkan ramai yang tidak berani malah tidak tahu untuk apa mereka perlu bangkit.

Banyak peranan yang perlu dimainkan oleh agamawan, ahli akademik, para siswa dan golongan terpelajar bagi menyedarkan hakikat keadaan disekeliling massa mengenai penindasan yang sedang berjalan ini.

Akhirnya saya ingin kita sama-sama memikirkan mengenai satu sistem pekerjaan yang jelas berleluasa di mana-mana sektor pekerjaan di negara kita iaitu sistem kontrak, teramat sikit majikan yang ingin mengambil pekerja sebagai tetap, sistem ini diamalkan demi mengerah keringat pekerja sehabisnya dan habuan yang besar mereka perolehi tanpa menghiraukan kesusahan pekerja mereka.

Sistem kontrak ini telah mengakibatkan ramai pekerja terpaksa menerima  :

- tak ada gaji minima
- tak ada overtime
- tak ada cuti tahunan
- tak ada perubatan
- tak ada kwsp
- tak ada pencen

(Sumber : http://tukartiub.blogspot.com )

Mereka yang bekerja secara kontrak terdedah kepada bila-bila masa untuk dibuang tanpa sebarang pampasan dan syarikat tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

Seorang demonstran di Amerika yang dibuang kerja mengangkat sepanduk yang ditulisnya sendiri, maksudnya lebih kurang ” Saya ada seorang isteri dan dua orang anak untuk ditanggung “. Cukup menyentuh perasaan, suatu hari mungkin kita akan mengalaminya pula, jadi jangan biarkan ia terjadi, kita perlu bangkit menukar sistem ini.

Wallahu Ta’ala A’lam