Gerakan Modenisme Islam : 1

islamdankemodenanpandanganintelektualislam

Definisi Ringkas

Modenisme adalah sebuah ideologi atau pemikiran. Modenisme boleh ditakrifkan sebagai pemikiran moden.  Moden pula membawa maksud hal ehwal masa sekarang atau berkaitan masakini, yang terbaru, cara (kaedah) baru, mutakhir (Kamaruddin Salleh, 2007). Dr Yusuf al-Qaradhawi mentakrifkan moden sebagai seseorang manusia mesti hidup pada masa dan zamannya dari segi  pemikiran, sikap, nilai-nilai, perilaku dan pandangan hidup. Beliau menambah, pengertian kemodenan adalah menjalani kehidupan sesuai dengan tuntutan keadaan manusia yang hidup di masakini, bukan dengan manusia yang telah lama meninggal dunia. Hidup sesuai dengan situasi dan kondisi semasa, bukan dengan kenangan di masa silam (al-Qaradhawi, 1996).Berdasarkan takrifan umum ini, modenisme adalah bentuk pemikiran yang menyentuh soal semasa, soal cara, pendekatan atau kaedah pada masakini.

Sejarah Modenisme

Kemunculan modenisme boleh diteliti dari sudut sejarah. Kamaruddin Salleh ketika membincangkan di bawah tajuk kemunculan modenisme telah merujuk kepada sejarah modenisme di barat. Penulis beranggapan, pemilihan sejarah barat sebagai objek kajian kepada kemunculan modenisme dalam buku Modenisme Islam Malaysia-Indonesia adalah tepat kerana, modenisme itu sendiri berasal daripada barat. Apa yang boleh disimpulkan daripada bab tersebut, kemunculan modenisme di barat kerana respon golongan pemikir dan juga intelektual seperti A.F Louisy, F.Von Hugel dan G.H.Tyrell terhadap golongan Tradisionalis Kristian ataupun golongan agamawan mereka. Antara isu-isu yang diperdebatkan pada masa itu adalah seperti tafsiran baru terhadap Bible, hal ehwal agama Krisitan, kritikan terhadap Bible dan penyesuaian ajaran agama Kristian dengan suasana baru.

Kemunculan Modenisme di Dunia Islam

Modenisme muncul di dunia Islam ketika era penjajahan. Menurut John L. Esposito (Esposito, 2008) dan Kamaruddin Salleh (Kamaruddin Salleh, 2007) penjajahan yang dimaksudkan ialah pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Dunia barat pada masa itu sedang memperluaskan pengaruh mereka samada dari sudut ekonomi dan juga politik dengan menjajah kawasan lain termasuk dunia Islam. Kedatangan penjajah barat telah membuka mata umat Islam tentang kedudukan mereka yang lemah dan mundur. Umat Islam jelas mundur dari sudut ekonomi, teknologi, pembanguna pendidikan, pentadbiran dan lain-lain. Hal ini menimbulkan beberapa respon dari kalangan umat Islam.  John L. Esposito menyebut terdapat empat reaksi orang Islam yang berbeza terhadap barat terbentuk: 1: penolakan, 2: pengunduran, 3: sekularisme dan pembaratan, 4: pemodenan Islam (Esposito, 2008).

Reaksi Umat Islam Terhadap Modenisme

Berdasarkan empat reaksi ini, penulis klasifikasikan terdapat dua bentuk golongan dari kalangan umat Islam ketika berhadapan barat. Mereka ialah golongan yang menolak secara total apa yang datang daripada barat dan golongan kedua pula adalah mereka yang mengambil manfaat daripada penjajah barat seperti mempelajari ilmu sains teknologi daripada mereka. Klasifikasi ini dikuatkan dengan kenyataan Kamaruddin Salleh dimana beliau menamakan golongan pertama sebagai tradisionalis kerana lebih cenderung menolak segala bentuk pembaratan dan golongan kedua sebagai modenis kerana memanfaatkan kedatangan penjajah (Kamaruddin Salleh, 2007).

Reaksi Keempat

Berdasarkan reaksi keempat, Esposito meletakkan golongan modenis ini berperanan sebagai gerakan merapatkan jurang antara tradisionalis dan reformis sekular (Esposito, 2008).  Jadi, tidak hairanlah jika golongan modenis ini dilihat lebih lunak dengan pendapat ataupun pemikiran barat. Sikap lunak ini, menimbulkan rasa tidak senang dikalangan tradisionalis. Golongan tradisionalis memandang serong sikap golongan modenis dengan melabel mereka dengan pelbagai penglabelan seperti pro-barat, pembawa racun barat, liberalis atau sekularis. Bagi memahami, apakah benar golongan modenis ini terkesan dengan racun barat maka, kita perlulah melihat kepada pandangan ataupun bentuk pemikiran yang dibawa oleh tokoh-tokoh modenis.

Kesimpulan

Modenisme berasal daripada barat. Konotasi modenisme di antara barat dan dunia Islam sangat berbeza. Dunia barat apabila membincangkan modenisme mereka meletakkan asas sekularisme yang memisahkan kuasa tuhan di dalam isu tersebut manakala, Islam memahami modenisme sebagai keadaan waktu sekarang atau masa depan yang memberi manfaat kepada manusia tanpa menolak unsur teologi di dalamnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s