Mungkin Ini Maksud Glokal?

Bismillahirrahmaanirrahim

Pengalaman saya membeli di pasaraya, saat menunggu giliran membayar di kaunter pembayaran, dua orang akak sibuk bercakap dalam bahasa Indonesia, entah apa lagi yang tak cukup sambil mereka membelek-belek barang dalam troli.

Ketika mereka buat pembayaran, saya sempat terpandang dalam beg akak tu IC biru Malaysia, Oh…! Malaysia rupanya, warganegara sama macam saya, bahasa dan dialek sahaja yang berbeza.

Bangla, Indon, Vietnam dan entah dari negara mana lagi dah menjadi fenomena biasa disini, mereka cukup sifat ada mata, hidung, telinga sebijik macam warganegara Malaysia, hidup aman damai malah menimbulkan rasa iri hati bila kedai bakso dan mee ayam mereka dipenuhi oleh pelbagai bangsa termasuk saya sendiri pernah mencuba, pedas…sedap.

Oleh kerana Malaysia adalah negara contoh bagi keharmonian kaum maka memberi taraf kerakyatan kepada mana-mana warga asing bagi saya perlu kerana bertepatan dengan projek GLOKAL cadangan PM kita, malah akan menambah kredit di mata dunia.

Saya mencadangkan kerakyatan dibuka bagi bangsa Argentina, Brazil, German, Spain ataupun Ivory Cost (orangnya besar keras) supaya mutu permainan bolasepak melonjak naik, sekali lagi kredit buat negara akan bertambah.

Mungkin semasa saya beratur mengundi nanti, saya berkesempatan belajar beberapa bahasa dari orang depan atau belakang yang mungkin 1 Malaysia seperti saya, kabarin dongsanggaiaruppa therava… dan lain-lain lagi. Ini satu suasana baru buat rakyat Malaysia asal.

Wallahu ta’ala A’lam

Teladan Sheikh Siti Jenar

Bismillahirrahmaanirrahim

Saya ditangkap cinta membaca buku karangan Achmad Chodjim yang berjudul Syeikh Siti Jenar, walaupun kurang jelas latar belakang penulis, insyallah saya mampu menyaring dengan baik.

Saya sangsi dengan penulis kerana ulasan ada memetik Nourcholis Madjid, tetapi pensyarah subjek Pemikiran Islam saya sem lepas ada mengulas mengenai Norcholis Madjid, selepas itu saya boleh menerima tetapi tidak sepenuh idea beliau.

Jika Prof Naquib al-Attas meletakkan konsep al-’adl sebagai asas perbincangan beliau, Syekh Siti Jenar pula meletakkan konsep kematian dalam memahami Islam dengan baik.

Saya benar-benar kagum dengan penguasaan para alim ulama yang menggunakan satu konsep dalam menghuraikan seribu satu macam mengenai Islam.

Begitu juga Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi yang meletakkan konsep al-Wasatiyyah dalam semua perbincangan beliau, saya yakin sebelum mereka mampu menghuraikan satu konsep sehingga mencakupi semua permasalahan dalam Islam sudah tentulah tahap penguasaan ilmu mereka cukup tinggi, dari situlah saya rasa cukup kerdil malah jauh dari mencium bauan ilmu.

Semoga rakan-rakan penuntut ilmu bertambah semangat menuntut ilmu dan jauh dari khilafan yang sebenarnya menzahirkan kecetekan ilmu kita.

Wallahu Ta’ala A’lam

Interpretasi Kemodenan

Bismillahirrahmaanirrahim

Sepanjang mengajar di KAFA al-Islah, saya cuba membawa pendekatan yang berbeza ketika mengajar, saya tidak mahu metodologi yang saya pelajari sekitar 7-8 tahun yang lalu turut sama saya ulangi pada hari ini.

Pemerhatian awal dari soal jawab secara rawak budak-budak masakini lebih jauh berbeza pemikiran mereka, lebih-lebih lagi demografi mereka yang lebih elit, tidak susah saya ceritakan sesuatu yang agak berat kerana mereka lebih mudah faham seperti ekonomi dan aliran pemikiran semasa.

Oleh kerana tahap capaian mereka yang baik, saya cuba mengajukan soalan-soalan yang menunutut mereka berfikir sebelum menjawab, malah jawaban yang diberi tidak mampu diciplak atau ditiru dari kawan-kawan mereka kerana jawaban itu adalah hasil kehidupan dan kefahaman mereka seharian.

Saya pernah mengajukan soalan mengenai ” apakah yang kamu faham tentang kemodenan? “, rata-rata mereka menjawab penuh dengan semangat materialistik dan jauh dari unsur kerohanian, saya tidak salahkah mereka mempunyai worldview sebegitu kerana disitulah tugas cikgu meletakkan kembali pemikiran ataupun sisi pandang Islam mengenai kemodenan.

Banyak lagi yang harus saya soal dan membetulkan sudut pandang mereka sebelum meningkat dewasa dan membawa bentuk-bentuk pemikiran yang jelas dan mantap dengan unsur aqidah yang jelas. Namun saya bimbang sejauhmana penguasaan cikgu-cikgu dalam pemikiran Islam bagi menangani dan membetulkan fikrah pelajar-pelajar.

Jika guru sendiri tidak jelas worldview Islam dan misi cikgu dalam pembentukan pelajar maka proses putaran roda senantiasa berputar dengan melahirkan generasi yang sama tidak jelas pandangan mereka. Saya mungkin tidak menelaah habis karangan Prof Syed Naquib al-Attas, khususnya Islam dan Sekularisme, cuma sedikit sebanyak yang saya dapat visi seorang pendidik seharuslah melahirkan generasi beradab.

Generasi yang lahir tidak beradab mungkin letak pada pelajaran, pengajar ataupun sistem pendidikan yang pincang, jika elemen-elemen ini ada kecacatan maka natijah yang diharapkan baik berakhir dengan sebaliknya, suka saya sentuh bagaimana pengamalan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan banyak melahirkan manusia robot yang berohkan materialisme.

Harapan saya buat pendidik agar kita amat jelas dalam dunia pendidikan, sepertimana yang ditekankan oleh banyak pemikir-pemikir Islam seperti Prof Naquib al-Attas, Ismail Faruqi, Dr Abdul Hamid Abu Suleyman dan ramai lagi akan peri pentingnya pendidikan dalam membentuk generasi bertamadun.

Wallahu Ta’ala A’lam

Bulan Penuh Makna Tahun Ini

Bismillahirrahmaanirrahim

Bulan puasa tahun ni adalah yang terbaik bagi saya, tahun pertama berpuasa dengan Fidaiy dan tahun kedua berpuasa bersama zaujah tercinta.

Biasanya puasa-puasa terdahulu banyak masa kosong yang sentiasa ‘membunuh’ saya, tipulah kalau saya katakan setiap saat saya dengan al-Quran dan berzikir tanpa henti, namun tahun ni cukup berbeza dan bermakna untuk saya ceritakan buat anak-anak (insyallah) terutama Fidaiy.

Tahun ni setiap saat dan detik bermula awal pagi sehingga lewat malam dan kembali ke katil tidur hanya selepas terawih di rumah, semuanya dengan sunnah Rasulullah, itulah perangsang yang diberi oleh zaujah saya takala membantu beliau.

Tahun ni kami berniaga di bazar Ramadhan, saya sedar tak banyak saya habiskan masa untuk masjid, tapi saya yakin peluang menabung sebelum sem baru bermula hanya di bulan Ramadhan sebab hidup bukan sesenang membeli cincin berjuta-juta ringgit.

Sebelum sampai di tapak bazar tadi, radio IKIM ada menghebahkan hadith memberi makan orang berpuasa, semoga kami juga orang yang tergolong dalam hadith tersebut, aminn.

Wallahu Ta’ala A’lam

Bina Rumah Bina Bangsa

Bismillahirrahmaanirrahim

“ Dah la, miskin “, itulah ungkapan yang keluar dari mulut seorang pelajar saya hari ini, mereka bergaduh entah apa puncanya, saya tak tertarik nak ambil tahu, cuma ungkapan itu saya tidak suka kerana mungkin saya sekarang hidup serba ada sahaja dan memang perasaan saya benci mendengar perlecehan keatas orang lain.

Usai solat maghrib, ungkapan itu masih terlintas di kepala, saya cuba berfikir kemungkinan perkataan itu boleh terkeluar. Andaian awal saya adalah suasana dan rupa bentuk perumahan mencorakkan tingkah laku mereka.

Saya fikirkan begitu kerana, kawasan perumahan disitu mempunyai beberapa jenis rumah, ada banglo, rumah teres dua tingkat, satu tingkat dan flat dalam satu taman. Apabila anak-anak disitu berkumpul dalam satu sekolah, maka ungkapan seperti itu tidak mustahil akan keluar apabila mereka bergaduh.

Andaian ini berasaskan apa yang saya pelajari di roketkini.com, satu ruangan mengenai budaya dibincangkan dengan baik, di antara yang menarik ialah bagaimana seni bina dapat mempengaruhi pembentukan pemikiran, sifat dan perasaan sesuatu tamadun.

Perkara yang sama juga berlaku semasa saya mengajar satu ketika masa dahulu, perbezaan ketara di antara pelajar yang tinggal di flat di mana mereka lebih nakal berbanding teman-teman mereka yang tinggal di rumah teres mahupun semi D, mutu pelajaran dan akhlak mereka juga berbeza.

Saya amat yakin jika soal seni bina yang bermatlamatkan membina tamadun bangsa selain memikirkan keuntungan pemodal, sudah tentu perkara ini mampu dibendung, lebih membimbangkan perbezaan ketara di antara bangsa yang menghuni kawasan perumahan yang mana bila-bila masa boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati dan mudah mencetuskan api perkauman.

Perkara ini perlu dititik beratkan khususnya golongan pemerintah jika ingin melihat keamanan dan kestabilan Negara terjamin, namun soal membina tamadun bangsa saya lihat tidak lebih sebagai retorika, kerana pelaksanaan jelas songsang dengan apa yang dibesar-besarkan.

Saya tidak pasti peranan orang agama dalam konteks ini, apa yang jelas mewujudkan keamanan dan keselamatan kepada sekalian manusia adalah tuntutan di dalam agama Islam, melihat Islam di seputar agama adalah satu kesilapan besar dan pengkhianatan kerana menyempitkan ruang yang sedia ada.

Gagal melihat keutamaan yang lebih besar seperti menjaga maslahah umum semua manusia dari ditipu dan dizalimi berbanding mendamaikan sebahagian umat Islam yang berselisih di atas perbezaan aliran dan pendapat adalah gambaran buruk terhadap kemampuan Islam dalam mendepani dan menyelesaikan isu umat manusia sejagat.

Saya berkeinginan melihat pembinaan tamadun bangsa seperti yang pernah dibina di Cordova menjadi kenyataan suatu hari nanti. Zaman siapakah menjadi perdana menteri? Sudah tentu saya bangga dapat hidup pada zaman itu.

Wallahu ta’ala A’lam

Nostalgia Dr Lo’lo’ Dan Peminat Senyap

Bismillahirrahmaanirrahim

Suasana hiba, itulah yang boleh saya gambarkan di sekitar tanah perkuburan Datuk Keramat pagi tadi. Kami sampai tepat 10:30 am, kata mereka disana, jenazah sudah dibawa ke kubur.
Saya ditunjukkan jalan keluar dari Datuk Keramat menuju jalan Jelatek oleh seorang pak cik yang juga menuju kesana, tidak ada apa yang dapat saya harungi kecuali jem samada kereta dan motor, juga lautan manusia yang berjalan kaki, siapakah sosok ini sehingga begitu mulia kematiaannya?
Beliaulah Dr Lo’lo’, srikandi yang memperjuangkan kemuliaan manusia yang dilahirkan dari perut ibu dalam keadaan merdeka, khususnya isu Kg Baru di atas platform Parti Islam. Petah berpidato dan teguh pegangan dan semangatnya.
Memang selayaknya orang seperti beliau yang tidak kenal penat lelah dalam berjuang, mendapat kemuliaan dari Allah dengan kunjungan yang tidak kenal lapisan masyarakat dan latar politik. Beberapa keping gambar sempat saya rakamkan sebagai tonik bagi kami yang masih hijau mengenal erti perjuangan.
Sekitar jam 11 malam merayau di internet, saya temukan berita pemergian Dr Lo’lo’ di Harakahdaily, orang pertama yang saya khabarkan adalah isteri saya, walaupun sedang tidur isteri saya bingkas terjaga dan terkejut dengan pemergian Allahyarhamah.
Sehinggalah keesokan pagi Isteri saya beriya-iya sampaikan berita pada Ayah dan mak nya, dengan harapan Ayah dan Mak menziarahi Allahyarhamah buat kali terakhir, atas kekangan menjaga dua orang bayi, isteri saya wakilkan kami pergi.
Sebentar tadi, saat tulisan ini dicoretkan, barulah saya faham kenapa isteri saya terkejut dan beriya-iya menyuruh kami ke tanah perkuburan pagi tadi, Isteri saya adalah seorang peminat senyap Dr Lo’lo saat dibangku sekolah lagi selepas melihat karekteristik Allahyarhamah yang gigih berjuang namun tetap memelihara peribadi sebagai seorang muslimah.
Malah isteri saya mencorak hidupnya sehingga di peringkat universiti ke arah menjadi seperti idolanya itu, saya sedar mata isteri saya mula berkaca, apa yang diceritakan bukan sahaja meniti di bibir tapi lahir dari hati.
” Abang tahu kenapa email sayang doc_girl? ” tanya isteri saya, ” tak tahu, kenapa? ” saya kembali bertanya ” sebab…email Dr Lo’lo’ doc_women ” sambil mata isteri saya hampir menitiskan air mata.
Wallahu ta’ala A’lam

Kurang Kasih Sayang

Bismillahirrahmaanirrahim

Saya memulakan sesi pengajaran saya pada hari jumaat 15hb Julai. Saya perlu sampai awal,sudah tentulah sebagai seorang guru perlu sampai awal, ianya proses pendidikan kepada anak-anak sedari kecil agar berdisiplin.

Saya diberi ruang seluasnya bagaimana kaedah pembelajaran nanti, sejak menerima telefon mengenai permohonan saya diterima untuk mengajar di Sekolah Kafa Al-Islah, pelbagai bentuk pembelajaran saya ingin lakukan.

Syukur semuanya berjalan dengan baik, tiada masalah sangat, pelajar juga dengar kata, mereka yang berumur 10 dan 11 tahun tidak menjadi beban pada saya untuk mengawal mereka.

Hasil pengalaman mengajar dahulu di Pelabuhan Klang, saya dapat mengenal pasti pelajar yang banyak membuat kecoh di dalam kelas pasti pelajar yang banyak masalah peribadi.

Seorang pelajar tahun 4 dalam kelas saya banyak melakukan provokasi, saya terpaksa mendendanya, namun tetap nakal, pada waktu rehat saya ambil masa untuk mengenali pelajar terbabit.

Hasil temu bual yang boleh saya simpulkan, pelajar ini cukup membenci ibunya dan tidak kisah tentang ayahnya. Ibunya dibenci kerana kuat meleter, manakala ayahnya selalu tiada di rumah.

Ayahnya seorang pramugara, selalu terbang sana kemari, ibunya juga terbang sana kemari sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, pelajar ini ditinggalkan di taska, setiap kali pulang dari sekolah rumahnya adalah taska.

Saya boleh katakan pelajar ini kurang kasih sayang, melakukan onar agar mendapat perhatian, melalui cara ini mungkin dia rasa perhatian akan lebih diberikan.

Akibat ibubapa yang tidak menghiraukan anak, si anak dengan mudah boleh terjebak dengan masalah, si anak cuba mencari perhatian agar rasa diambil cakna itu wujud dalam diri mereka.

Fenomena politik negara mungkin begini juga bentuknya, PM sebagai bapa yang mengepalai negara ini wajib berlaku adil tanpa sempadan warna kulit, agama dan kecendurangan mereka. Namun realitinya segelintir kecil sahaja diambil cakna dan diabaikan sebilangan besar rakyat.

Oleh kerana sebilangan besar rakyat cuba menyampaikan suara mereka dengan pelbagai instrumen tetapi tidak dilayan (selalu ditipu), maka kuasa rakyat telah menghimpunkan ratusan ribu melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Inilah satu cara yang dibenarkan oleh demokrasi bagi menarik perhatian ‘bapa’ yang sudah banyak kali mencabul kedaulatan dan hak rakyat, jika perkara ini tidak dihiraukan juga, saya bayangkan perkara yang lebih besar lahir dari perasaan tidak puas hati tadi akan meletus.

Seorang bapa yang baik dan bagus tidak akan membiarkan anak-anak mereka dalam perasaan ‘bengke’ ‘. Perlu ambil tahu kenapa anak-anak mereka lakukan seperti itu dan ini, kerana masakan pokok bergoyang tanpa sebab.

Seorang bapa perlu mencurahkan kasih sayang dengan menyenangkan anak-anak mereka melalui kebajikan, bukan menipu anak-anak dengan pergi bermain golf ataupun makan yang sedap-sedap di restoran sedang isteri dan anak dibiarkan nasi dingin yang semalam.

Nasihat yang boleh diambil pusing oleh PM kita agar perasaan dipendam rakyat tidak meletus sehingga merosakkan keamanam ialah dengan menjaga kebajikan dan mendengar luahan rakyat dengan adil,  jika perkara ini diabaikan mungkin suatu hari nanti ‘anak-anak’ ini akan buat onar lagi.

Wallahu Ta’ala A’lam

Adakan Debat Isu Lynas

Selesai mengemas bilik sempena program “Situasi Libya”, kami AJK pelaksana mengambil masa untuk berehat dan berborak mengenai isu semasa dalam negara, sudah tentu sebagai pelajar IPT kami tidak mahu dilihat hanya sebagai keperluan pasaran kapitalis dengan ketinggalan isu-isu yang hangat diperkatakan.

Kami tinggalkan isu 9 Julai, masing-masing saya lihat ada pendirian dan hujah tersendiri, kami saling menghormati dengan pandangan dan pendapat yang dilontarkan, perbincangan perhimpunan tersebut lebih berkisar bagaiman pendekatan perhimpunan itu harus dijalankan, matlamat ataupun lapan tuntutan daripada perhimpunan itu pula saya rasa kami punya kata sepakat.

Isu seterusnya yang menjadi perbincangan kami adalah kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng. Saya menyatakan ketidak setujuan saya dan implikasi yang bakal menimpa penduduk di sekitar kawasan terbabit, kenyataan saya mendapat sokongan dari seorang sahabat yang mencelah dengan mengatakan bahawa nilai tanah di kawasan tersebut sudah jatuh sebanyak 30%.

Seorang sahabat mengutarakan pendapat yang diperolehinya hasil perbincangan dengan seorang Dr pakar dalam bidang nuclear bahawa terdapat beberapa kesan positif yang mampu kita perolehi dari pembinaan kilang pemprosesan terbabit selain daripada peluang pekerjaan. Antaranya ialah, Negara-negara maju di dunia telah lama menggunakan sumber tenaga nuclear tanpa bergantung dengan sumber asas seperti petroleum dan arang batu.

Beliau menyanggah kebarangkalian berlaku kebocoran dengan kata-kata Dr tersebut bahawa teknologi masakini jauh lebih baik bagi menangkis berlaku kebocoran, beliau juga menolak apa yang berlaku di Jepun dengan alasan skala gempa bumi terlalu tinggi sehingga melewati teknologi yang ada dan sudah tentu Malaysia jauh lebih selamat kerana kita luar dari lingkaran api pasifik.

Saya juga tertarik dengan hujah kenapa pemprosesan itu tidak dilakukan di Negara asal mereka kerana air yang diperlukan untuk proses itu nanti tidak cukup kuat dan banyak, berbeza di Gebeng kerana disini berdekatan dengan empangan (saya lupa apa nama empangan tersebut). Saya mampu menjadi pendengar setia dengan hujah-hujah yang dilontarkan.

Paling menarik adalah apabila pemprosesan itu berjaya dilaksanakan, rakyat akan mendapat manfaat seperti kos elektrik yang lebih murah, dalam hal ini saya mampu tersenyum kerana saya sedar pihak pemerintah yang ada sekarang tidak betul-betul ikhlas. Siapa saya untuk mengukur keikhlasan orang? Apa kayu ukur yang saya guna bagi mengukur keikhlasan tersebut?

Saya mengukur dengan kes-kes dan sejarah lampau, lihat sahaja pembalakan di Sarawak, kini kawasan di Sarawak hampir sebesar Singapura sudah siap ditebang, pembalakan yang tidak terkawal ini sudah tentu didalangi oleh pembalakan haram, sehingga kini tidak ada tangkapan dibuat.

Yang lebih memelikkan lagi,  hutan simpan di Sabah yang mana sudah tentu di wartakan sebagai tempat larangan kawasan pembalakan juga diterobos dan sekarang kawasan tersebut dijadikan ladang kelapa sawit. Dari situlah saya menilai keikhlasan pihak kerajaan dalam membina kilang kepunyaan Lynas di Gebeng.

Walau apa pun hujah dan alasan yang dilontarkan sahabat saya, sebenarnya dia cuba mengajar kami untuk bersikap neutral dan menimbang dengan bijak di antara dua belah pihak. Sudah tentu perkara ini menjadi asas kepada penuntut ilmu dan ahli akademik agar tidak bersikap bias dan mampu memberi kesimpulan yang baik. Akhir sekali kami bersetuju jika perbincangan ini mampu dipanjangkan dalam debat, wacana, forum dan sebagainya agar perkara ini mampu pula dinilai oleh rakyat.

Sejarah Baru Tercipta II

Orang ramai mula bertempiaran lari, bapa mertuaku yang berpenyakit asma tidak mampu lagi meneruskan perjalanan, diarahnya saya dengan isyarat tangan agar terus ke depan. Bapa mertuaku tidak pernah terlepas demo-demo penting seperti ISA, Bersih 1.0, PPSMI dan juga demo di hadapan kedutaan Sweden, beliau yang tidak lekang dengan dalil-dalil al-Quran mengenai perjuangan membuat aku rasa kerdil walaupun belajar jauh di bumi matahari terbenam.

Hati serba salah meninggalkan beliau, saya tetap gagahi bersama anak muda yang sebaya memekik laungan ‘hidup rakyat’ dan ‘bersih, bersih…hidup bersih’ dihadapan aparat keamanan. Saya cuba menoleh kebelakang, sosok tua bapa mertuaku sudah tidak ada lagi disitu, saya bulatkan tekad perjalanan ini harus diteruskan. Saat itulah saya bertemu teman-teman sepengajian di Kelantan dahulu, walaupun kami antara pelajar yang ‘nakal’ di sekolah, namun didikan Ayah Zik di Pulau Melaka melahirkan kami yang tidak pernah terlepas menyertai demo.

Muen dan Syuk, rokok sudah menjadi peneman hidup mereka, tapi kecintaan pada Islam meletakkan mereka sebaris dengan Unit Amal di bahagian hadapan, merekalah antara sahabat yang sama-sama memeningkan kepala ustaz dahulu, tetapi kini menjadi kebanggaan di kalangan sahabat-sahabat atas keberanian dalam setiap demo yang disertai. Kami mengambil peluang bergambar untuk dikenang-kenang anak cucu nanti.

Ketika itulah saya dihidangkan dengan situasi seperti di Mesir, sebilangan anak muda dipimpin oleh seorang Pak Cik mengerjakan solat ditengah orang ramai yang dihadapkan di hadapan pasukan FRU dan Trak Water Cannon. Orang ramai mengambil kesempatan merakamkan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini seingat saya dimana-mana demo. Sekali lagi serbuan dilakukan dengan pancutan air trak FRU dan tembakan gas CF.

Demonstran melewati Puduraya mengambil langkah seribu, apakan daya tempat kami dikepung, kami benar-benar berada ditengah kepungan anggota polis, kumpulan kami tidak dipimpin oleh mana-mana pimpinan, sebilangan kecil rakyat mengambil inisiatif menghidupkan suasana dengan lagu Negaraku dan takbir yang bersahutan dikalangan peserta demonstrasi yang hadir.

Polis mula bergerak rapat membuatkan kami tersepit, tiada jalan lain melainkan memasuki Hospital Tung Shin, kami yakin pihak polis tidak akan melanggar undang-undang dengan menyerang demonstran di dalam premis persendirian, telahan aku meleset sama sekali, “ tengok atas “ jerit seorang peserta demonstrasi, saya cuba mengelak peluru itu hinggap di kepala, air gatal pula tidak sudah-sudah dipancut dari trak water cannon, yang terpancul dimulut saya pada masa itu adalah “subhanallah”, hujan rahmat dari Allah makin lebat mencurahi bumi, asap dan air water cannon berjaya dibendung dengan pertolongan tentera Allah.

Disitulah saya bertemu Pok Oud, rakan sekelas dan sebilik ketika belajar dahulu, saya berikan buku yang dikirim 3 bulan lepas, basah kuyup, redha sahajalah dalam situasi macam tu, orang ramai mula memanjat pagar dan mendaki bukit di belakang hospital, saya dan Pok Oud juga mengambil kesempatan memanjat pagar kawat berduri, seorang brader cina mengambil kotak dilapikkan diatas kawat sebelum kami memanjat, hatiku tersentuh dengan pertolongannya.

Orang ramai bergerak dicelah-celah bangunan mengelak dari dicekup aparat keamanan, semua kedai tutup, kami  agak dahaga, mujurlah ada juga kedai yang buka, saya jamin keuntungan berlipat ganda yang diperolehi oleh peniaga tersebut, bayangkan jika air yang berharga 2 ringgit dibeli oleh  10000 ribu pembeli, dalam masa beberapa minit sahaja boleh mendapat keuntungan sebanyak itu,   masakan tidak dengan kerumunan manusia seperti semut mendapat gula, cuma yang saya  amati, hanya kedai Mamak yang berani dibuka, dimana Melayu? Oh!…lupa, Bandar besar seperti Kuala Lumpur tiada tempat untuk bangsa Melayu yang tidak punya modal, tanah mereka digadai oleh bangsa sendiri.

Kami meneruskan perjalanan, demonstran tidak tahu kemana harus dituju, saya hanya mengikut arus, terus berjalan dan berjalan, agak susah bila tiada yang memimpin, sehinggalah kami bertembung dengan satu kumpulan besar yang dipimpin oleh bekas Menteri Kesihatan Malaysia, masa itu jugalah kaki ku yang dah lama tak bersukan ni nak krem, Pok Oud yang dari awal tadi tetap bersama saya agak blur  nak buat apa, mujurlah seorang amoi sudi mengajar Pok Oud apa yang harus dilakukan, sekali lagi hatiku tersentuh dengan ikatan ukhuwah masyarakat Malaysia. Saya fikir kalau Pok Oud tiada, polis tiba-tiba terjah, memang saya jadi keropok lekor, dilekor-lekornya sampai lunyai.

Laungan “KLCC…KLCC..KLCC” menandakan kami sedang menuju ke KLCC. Saya berjalan dengan kaki terhenjut-henjut menahan kesakitan. Sampai disana kami diminta duduk bagi mendengar ucapan pimpinan, apa yang saya nampak dari jauh adalah lautan manusia yang sudah tentu melebihi 5000 ataupun 6000 orang, hati ku sebak mengenangkan kesusahan rakyat marhaen yang inginkan perubahan, mungkin ramai-ramai yang ada disitu ada anak peneroka datang demi  membela arwah bapa mereka yang diperkuda oleh FELDA mahupun FELCRA.

Mungkin juga yang datang bagi mengubah nasib mereka dan anak cucu mereka nanti di Gebeng yang tidak dihiraukan oleh aparat pemerintah yang hanya melihat keuntungan dengan alasan meningkatkan ekonomi rakyat, padahal impilikasi yang ditanggung adalah rakyat, bukan kalangan pemerintah yang bersenang di mahligai indah mereka.

Seribu satu macam alasan yang boleh dikutip dari para demonstran yang hadir, yang muncul entah dari mana setelah pelbagai provokasi dan sekatan yang akhirnya berjaya ditembusi mereka, namun matlamat kami adalah sama, matlamat kami adalah satu, kami ingin melihat hegemoni yang telah lama mengkhianati amanah rakyat ini ditumbangkan melalui demokrasi yang adil.

Cerita ini mungkin tidak akan ditulis di dalam buku-buku sejarah, pelajar-pelajar tidak akan dihidangkan dengan kisah perjuangan rakyat, mereka hanya akan tahu kisah-kisah heroic aparat pemerintah yang penuh dengan rasisme seperti buku Interlok, kerana itulah saya akan terus bercerita kisah ini 10,20,30 tahun kedepan untuk didengari paling kurang anak, cucu dan cicit saya sendiri.

Sejarah Baru Tercipta

Bismillahirrahmaanirrahim

Malam sebelum perhimpunan, mata ni sukar lelap, saya sengaja lewatkan solat isya’ malam tu, apabila anak dan isteri sudah tidur, saya ambil masa untuk bermunajat setelah usai solat, semuanya saya jadikan sebagai kekuatan untuk sebuah sejarah yang bakal tercipta esok.

Cadangnya seawal subuh ingin bertolak ke Masjid Negara, bimbang laluan masuk ke Ibu Kota disekat, perkara ini saya tidak rela  terjadi, kerana sebelum barisan ahli jawatan kuasa perhimpunan umumkan tarikh saya dah persiapkan kelengkapan dan diri.

Sekitar jam 10 pagi, saya dan bapa mertua menuju ke stesyen KTM, dua orang polis kelihatan tercegat mengawal di mesin pembelian tiket, saya cuba tampil dengan ‘slumber’ walaupun dalam hati ada kerisauan, mana mungkin saya lenyapkan kerisauan ini kerana dalam beg adalah baju haram, “begitu dangkal politik negaraku” gumam ku keseorangan.

” Boleh buka beg, kami nak buat pemeriksaan biasa ” kata salah seorang polis tadi, ” Boleh “, jawabku ringkas dan yakin. Selesai melihat isi dalam beg, saya dibenarkan melepasi pagar. Memang perkara ini saya jangka dari awal, mujurlah pengalaman di asrama dahulu bisa mengaburi mata polis.

Kami jumpa beberapa orang yang turut menuju ketempat yang sama, kami berbual dengan bahasa isyarat, kami sedar berdekatan kami ada mata-mata ‘nakal’ yang sedang melihat dan mencuri dengar perbualan kami.

Saat KTM meluncur laju ke tengah ibu kota, banyak SMS menghujani telefon mengkhabarkan keadaan semasa, saya difahamkan KL Sentral ada tangkapan dan pemeriksaan sedang dijalankan. Kepala ini mula ligat memikirkan ‘lubang’ menembusi Ibu Kota dengan selamat.

Mid Valley, Yah! itulah satu-satunya setesyen kedua terakhir sebelum sampai Masjid Negara jika ingin dekat dengan bandar Kuala Lumpur. Saya kejutkan bapa mertua, kami turun di Mid Valley, sangkaan ku benar, tiada seorang polis pun disana. Kami mengambil masa untuk sarapan dan membeli belah.

Hand phone ku masih belum puas membunyikan deringan tanda SMS masuk, perkembangan terbaru adalah 21 orang ditangkap di Masjid Negara. Jam 12 pm, kami mula bergerak dari Mid Valley mencari teksi, beberapa buah teksi tidak sudi berhenti sehinggalah seorang pemandu teksi Indon mengambil kami, namun lokasi sebenar kami bermain ‘flip-flop’ dengan agar dia tidak menolak menghantar kami.

Kami diturunkan sekitar setengah kilometer daripada Masjid Negara, saat itu kelihatan orang mula berkumpul, kurang daripada setengah jam, kawasan luar Stesyen KTM Kuala Lumpur sudah dipenuhi dengan ribuan orang. Saya turut bergabung dalam kelompok yang ramai itu.

Saat itulah saya berani ‘menjaharkan’ baju haram yang akan meningkat nilainya oleh pengumpul barang antik 20,30 tahun akan datang. Mungkin juga pihak muzium negara di bawah Pakatan Rakyat suatu hari nanti akan mempamerkannya.

Saya tidak terus memakainya, sekadar melambai-lambai, saya diingatkan dengan SB yang ramai mungkin berada di sekeliling kita, saya tidak mahu ditangkap awal sebelum merayakan hari yang bersejarah, saya nekad kali ini polis tidak akan menyentuh saya.

Kami menuju ke arah Puduraya, alhamdulillah laluan dibuka oleh pihak berkuasa (yang ada hanya polis traffic) walaupun pada awalnya jalan di situ ditutup, setibanya di Puduraya kami mula bergabung dengan ribuan lagi peserta yang sudah sedia berhimpun, tidak sampai 5 minit menghilangkan lelah, air pancut water cannon disusuli dengan tembakan gas pemedih mata merosakkan suasana.

bersambung…