Dari Pembangkang Kepada Pemerintah

Bismillahirrahmaanirrahim

Antara yang hangat diperkatakan kini ialah mengenai penglibatan gerakan Islam ke dalam proses demokrasi. Ada yang melihat gerakan Islam mula larut dengan demokrasi, yang lebih dahsyat ialah mengharamkan penglibatan umat Islam dalam demokrasi.

Demokrasi memang jelas berasal dari barat. Pepatah yang paling popular berkaitan demokrasi ialah “dari rakyat untuk rakyat”. Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang berasaskan kepada sokongan ramai khususnya daripada rakyat. Namun hakikat yang memerintah bukanlah rakyat keseluruhannya tetapi sebilangan kecil yang terpilih.

Islam dan demokrasi punya persamaan tetapi tidak semua sama. Antara persamaan yang ada di dalam demokrasi ialah kebebasan memilih. Persamaan ini dilihat tidak bertentangan dengan Islam dan Islam memang jelas menganjurkan kebebasan dan tidak menekan atau memaksa manusia membuat pilihan.

Disini penulis tidak akan lagi menyentuh soal demokrasi dan Islam. Soal ini sudah panjang lebar dikaji oleh para pengkaji. Banyak manfaat yang boleh digali dari pengkajian mereka. Cuma penulis rasa tertarik dengan tempoh penglibatan gerakan Islam ke dalam proses demokrasi khususnya di Malaysia.

Penglibatan mereka agak lama sejak diperkenalkan proses pilihanraya di Tanah Melayu. Kedudukan gerakan Islam di Malaysia dari dahulu sehingga kini masih di posisi pembangkang. Namun perubahan kian menyerlah apabila mula ada negeri-negeri di semananjung Malaysia mampu ditawan dan diperintah oleh gerakan Islam seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Walaupun begitu, posisi gerakan Islam hakikatnya di kedudukan pembangkang. Oleh kerana posisi ini, penulis melihat pemikiran pembangkangan itu sudah sebati di jiwa sebahagian ahli mahupun pimpinan mereka. Seharusnya gerakan Islam sedar, dalam dunia demokrasi, kedudukan pembangkang adalah alternatif kepada kerajaan yang sedia ada.

Maksud alternative disini, apabila kerajaan yang memerintah dilihat sudah tidak mampu melaksanakan amanah mereka dengan sempurna maka, pembangkang bakal menjadi pengganti kepada kerajaan yang sedia ada. Oleh itu pembangkang bukan sahaja menjadi pembangkan yang bertanggungjawab tetapi sentiasa bersedia menjadi pemerintah.

Persepsi rakyat kepada gerakan Islam sebagai gerakan yang mampu menggantikan kerajaan yang sedia ada adalah sangat penting dalam dunia demokrasi. Tetapi jika rakyat punya persepsi yang negative, persepsi yang mana gerakan Islam tidak mampu menggantikan kerajaan walaupun terlibat dengan korupsi dan sebagainya maka ia sangat mendukacitakan.

Penulis amat bersetuju dengan beberapa cadangan dari aktivis di dalam gerakan Islam yang telah bergelumang dalam dunia politik negara sejak sekian lama agar ahli-ahli dan khususnya pimpinan untuk ada mentaliti sebagai pemerintah. Untuk ada mentaliti seperti ini ada banyak perkara yang sekian lama menjadi adat di dalam gerakan Islam perlu mengambil pendekatan baru.

Seperti menafikan perlembagaan yang sedia dengan membandingkan perlembagaan asal umat Islam ialah al-Quran. Dari satu aspek ianya benar. Namun ia perlu dinilai dalam banyak konteks samada kefahaman rakyat yang berbilang kaum, sejauhmana persediaan gerakan Islam mengaplikasikan al-Quran sebagai perlembagaan dan lain-lain lagi. Dalam hal ini penulis suka untuk kita merujuk sirah Baginda Rasulullah. Walaupun Rasulullah punya al-Quran tetapi, dalam soal pentadbiran negara Rasulullah menetapkan satu perlembagaan yang dikenali hingga kini sebagai Piagam Madinah.

Retorik seperti inilah yang perlu diubah untuk punya mentaliti pemerintah dan membuktikan kesiap siagaan gerakan Islam menggantikan tempat kerajaan yang sedia ada. Pengorbanan yang besar terutama dalam soal penerimaan pendekatan baru dalam dunia demokrasi masakini dengan mengorbankan adat dan bentuk pemikiran lama.

Penulis sangat berbangga dengan gerakan Islam di Malaysia khususnya yang terlibat di dalam politik kerana selalu menonjol dengan pendekatan-pendekatan yang efektif dan menepati semasa. Penulis yakin soal ini berkait rapat dengan pimpinan yang memimpin dalam gerakan Islam di Malaysia ialah mereka yang terbukti kehebatan mereka samada di peringkat lokal mahupun global.

Wallahu ta’ala a’lam.

Memahami Wacana Semasa

Bismillahirrahmaanirrahim

Saat gelombang kebangkitan Islam melanda dunia sekitar tahun 70 an dan 80 an, umat Islam di Malaysia tidak terkecuali menerima arus tersebut. Pelbagai kesan dapat dilihat samada dari sudut kehidupan harian sehinggalah ke dalam system pemerintahan negara.

Malaysia pada masa itu yang dipimpin oleh Dr Mahathir menyedari keadaan ini. Beliau sebagai tokoh negara yang bijak, sentiasa dapat menghidu perubahan dan langkah yang harus dilakukan bagi menangani arus kebangkitan yang melanda itu.

Ketika itu, kebangkitan ini didominasi oleh PAS dan juga ABIM (Comroux, 1996). Melihat kepada keadaan inilah Dr Mahathir merasakan perlu ada cara bagi menghalang dua kelompok ini, khususnya PAS yang menjadi seteru utama politik UMNO menguasai kedaan seterusnya dilihat memimpin masyarakat.

Ini sudah tentu merugikan kerajaan yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Taktik bijak dan meranapkan dominasi pembangkang bermula pada tahun 1982 apabila Anwar yang dijangka memasuki PAS akhirnya bersama-sama barisan kepimpinan Dr Mahathir.

Keadaan mula kendur dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Ketika bersama-sama dengan Dr Mahathir pelbagai idea Islamik diperkenalkan yang mana akhirnya mengubah persepsi masyarakat yang sebelum itu didoktrinkan bahawa kerajaan yang sedia ada adalah secular.

Dr Mahathir dilihat berjaya mengawal keadaan yang melanda negara pada masa itu. Strategi dan kelicikan pemikiran Dr Mahathir diiktiraf sebagai ahli politik yang berjaya. Dari isu ini, penulis dapat menyimpulkan tentang peri penting seorang politikus itu memahami keadaan dan suasana sekeliling mereka.

Kegagalan mengesan perubahan yang berlaku disekeliling mereka, boleh menjadi faktor kegagalan seorang ahli politik meneruskan perjuangan mereka. Bagi ahli politik Islam, Islam sudah sedia mengajar kaedah ini berkaitan ijtihad ataupun fatwa dimana fatwa boleh berubah dengan berubahnya masa dan tempat dan beberapa faktor yang lain.

Antara yang pernah gagal seperti yang berlaku di Turki ketika parti Islam memenangi pilihanraya dan presiden dipegang oleh kalangan Islamis. Namun kegagalan memahami suasana Turki yang kuat berpegang dengan secular sebagai dasar negara mereka dan kedudukan tentera sebagai kuasa tertinggi membuatkan parti Islam tersebut hanya mampu bertahan selama setahun seterusnya digulingkan oleh pihak tentera.

Idea-idea yang mendepani zaman tidak boleh dianggap sebagai ancaman kepada keselesaan sebuah gerakan. Menolak dengan mentah tanpa mengkaji dan menilai adalah tindakan kurang bijak yang akan merugikan gerakan, apatahlagi idea yang datang dari ahli gerakan yang setia membantu. Perkara bijak ialah memanfaatkan idea tersebut seterusnya menilai kerelevanannya untuk dipraktikkan.

Wallahu ta’ala a’lam

Tamadun Islam : Antara Membuka atau Menutup

Bismillahirrahmaanirrahim

Setelah sekian lama umat Islam mencari solusi kepada kelemahan dan kemunduran mereka, kebangkitan itu mula menampakkan kesannya. Umat ini setelah melalui beberapa periode mula terdidik dengan pencerahan yang dibawa oleh pembaharu agama ini di setiap zaman mereka.

Namun ia seperti roda. Jika pada setiap zaman itu pertembungan antara kaum tua dan muda atau progresif dan konservatif wujud, maka di zaman ini perkara itu juga wujud. Seperti mana era tajdid pada zaman Muhammad Bin Abdul Wahab kini gerakan itu menjadi kelompok konservatif kerana pengikutnya tidak meraikan zaman.

Penulis yakin perkara ini akan terus berulang di masa akan datang. Jelas perkara ini terjadi  samada kelemahan sosok itu yang kurang ilmunya atau tidak faham erti sebenar Islam. Perkara ini melambatkan kemenangan atau kebangkitan umat ini.

Dalam soal ini, suka untuk penulis datangkan beberapa kaedah yang mampu dijadikan petunjuk kepada kita mengharungi zaman-zaman yang kian mencabar pada masa akan datang.

Antaranya ialah, Muslim itu menerima apa sahaja perkara walaupun dari musuhnya sendiri  jika sesuatu itu memberi manfaat. Islam mengajar kita melihat kepada apa yang diperkatakan atau sesuatu yang dibawa, bukan kepada orang yang membawanya.

Contoh masakini seperti sentimen kebencian kepada Syiah telah menghalang umat Islam mengambil faedah daripada mereka. Majoriti Syiah kini berada di Iran telah melihatkan kemampuan mereka membangun negara dengan kuasa nuklear. Perkara ini mungkin boleh dipelajari jika mendatangkan manfaat. Atau sistem pemerintahan ulama yang mungkin boleh diterapkan kepada mana-mana negara jika dirasakan sesuai.

Demi pembangunan tamadun umat Islam juga, seharusnya kita meraikan dialog. Islam dalam kebanyakan nas sangat menyarankan dialog diadakan. Amat menyedihkan jika ada yang melontarkan idea terus dihukum dengan pelbagai tohmahan. Mendahului jemaah, mengharamkan buku, melabel dengan label-label yang kurang menyenangkan. Hal ini menzahirkan kerigidan pemikiran umat Islam, juga menyekat perkembangan idea di kalangan umat.

Umat Islam juga harus bersifat meraikan sesuatu yang tajdid. Mungkin sesuatu idea atau pemikiran itu kelihatan bertentangan dengan adat kebiasaan atau amalan keagamaan, namun ia perlu diteliti dengan baik sebelum diterima atau ditolak.

Penulis yakin, jika umat Islam bersifat terbuka begini, sudah pasti ketamadunan umat mampu dibina dengan baik dan kurang halangannya. Soal halangan dalaman penulis kira sudah selesai jika pemikiran, dogma dan paradigma ini mampu diubah.

Antara Taqlid Sufi dan Salafi

Bismillahirrahmaanirrahim

Ketika mana ramai dikalangan salafi menuduh golongan sufi adalah pentaksub dan taqlid buta kepada syeikh mereka, dalam tidak sedar, golongan salafi apa kurangnya.

Hal ini terjadi apabila mereka berhujah maka, didatangkan kata-kata dari ulama salaf zaman awal atau pertengahan Islam.

Apabila disanggah tentang kata-kata itu tidak menepati tuntutan zaman kini, dengan pantas mereka menyentuh tentang keahlian kita menafikan kata-kata ulama salaf terdahulu.

Lebih tepat golongan seperti ini dilabelkan literalis atau zahiriyyah moden. Mereka tidak sedar yang para ulama mujtahid itu mentafsirkan sesuai dengan zaman mereka. Mereka mujtahid kerana mampu mentelaah dan menterjemah al-Quran dan sunnah itu bertepatan dengan tuntutan zaman mereka sehingga, Islam itu dilihat relevan setiap masa dan tempat.

Perubahan zaman adalah faktor besar kepada perubahan pendapat atau fatwa para ulama. Kita memerlukan ketajaman akal untuk menterjemahkan Islam itu selari dengan zaman kini.

Oleh kerana kebanyakan kita tidak punya ketajaman akal maka, jalan mudah dan pintas ialah bertaqlid. Mengambil pendapat zaman pertengahan dahulu terus diletakkan pada masakini tanpa mempedulikan kesesuaian fatwa tersebut dengan keadaan semasa.

Dengan itu benarlah mengenai sifat taqlid yang ada pada golongan salafi konservatif ini mempunyai persamaan dengan golongan pseudo-sufi.

Wallahu Ta’ala A’lam

Lekuk-Lekuk Perubahan Gerakan Islam

Bismillahirrahmaanirrahim

Keadaan umat Islam pada peringkat gelombang pertama menampakkan mereka kembali kepada Islam. Ketika isu nya berkaitan fundamental Islam. Soal makanan halal dan haram, pakaian yang menutup aurat, biah Islamiyyah selepas arus pembaratan melanda dan juga seruan-seruan kembali kepada agama Islam.

Kesan yang boleh dilihat seperti pemakaian muslim, halaqah-halaqah ataupun usrah-usrah, kewujudan intitusi makanan halal seperti JAKIM dan juga terma-terma dalam bentuk retorika Islam sebagaimana “ Islam jalan penyelesaian” “back to al-Quran” dan “membangun bersama Islam”.

Gelombang kedua memperlihatkan Islam ini perlu diterjemahkan ke alam realiti. Umat Islam khususnya gerakan-gerakan Islam mula sedar bahwa Islam tidak akan kemana jika hanya dikurung di dalam usrah dan dalam bentuk tema-tema retorik semata-mata. Kesedaran ini membawa gerakan Islam kepada demensi baru yang mengubah corak pergerakan mereka.

Antara langkah popular yang diambil oleh gerakan Islam ialah dengan menyertai atau menubuhkan parti politik. Melalui cara ini impaknya lebih besar dan berkesan, contohnya di negeri Kelantan, apabila tampuk pemerintahan diterajui oleh aliran yang berfahaman agama, sedikit sebanyak apa yang menjadi teori sebelum ini sudah boleh diterjemahkan.

Gelombang seterusnya ialah menghapuskan halangan antara muslim dan bukan muslim. Arus ini rancak dibincangkan. Jika dahulu adalah seruan agar umat Islam kembali kepada Islam kini, usaha baru ialah mengimejkan Islam di mata bangsa-bangsa lain dengan imej yang menonjolkan Islam benar-benar membawa jalan penyelesaian.

Dari perbincangan inilah, penulis melihat timbul wacana Islam moderat atau post-islamisme. Bagi mendekatkan bukan muslim kepada Islam, golongan Islamis membawa pendekatan-pendekatan global yang diterima ramai seperti, hak asasi manusia, ekonomi dan kebebasan mengamalkan agama masing-masing. Isu ini diwacanakan kepada bukan muslim khususnya dari perspektif Islam walaupun tiada istilah-istilah Islamik yang digunakan, cukup dengan figur yang membawa isu-isu ini mewakili kepentingan Islam.

Penulis juga mengandaikan wacana Islam moderat boleh menjadi senjata “serampang dua mata”. Selain berdakwah dengan mendekatkan atau memahamkan bukan muslim tentang hakikat Islam, ia juga mampu mempengaruhi bukan Islam untuk menyokong gerakan Islam bagi meraih kemenangan yang lebih besar dan akhirnya memimpin sebuah negara.

Kesimpulan yang dapat penulis katakan disini, realiti semasa memaksa kita menyesuaikan diri dengannya. Tanpa melakukan perubahan kita dilihat ketinggalan zaman kerana tidak mengikut arus perubahan yang berlaku. Tanpa menggadaikan prinsip, kita berasosiasi dengan keadaan yang pantas menongkah masa. Keistimewaan agama ini apabila ia sentiasa relevan sepanjang zaman dan di mana pun ia berada.

Laporan : Gerakan Islam Pasca Arab Spring

Gerakan Islam Pasca-Arab Spring

Tempat : Masjid Abu Bakar Bangsar

Moderator : Dzulkhairi

Ahli Panel 1 : Dr Mujahid

Ahli Panel 2: Dr Mazslee

Pusingan Pertama : Dr Mujahid minta kita pastikan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Arab Spring’. Di dalam bahasa arab ia diistilahkan dengan thaurah, di dalam (bahasa Inggeris) ia juga diistilahkan arab awakening.

Arab Spring seperti domino. Kerana ia berlanjutan. Kemudian Dr Mujahid membangkitkan kenapa ia di Arab? Adakah tempat lain tiada kebangkitan? Jika kita lihat Mesir sekalipun ia berada di Afrika Utara, istilah itu sebenar kerana barat menamakan kawasan tersebut sebagai middle east.

Sepatutnya barat gembira dengan kebangkita ini, kerana merekalah yang mempromosi demokrasi, namun tidak semua demokrasi di senangi barat, kerana melibatkan polisi luar mereka.

Seterusnya Dr Mujahid membawa hadirin melihat perjalanan Mesir sejak kejatuhan Raja Farok sehinggalah Mubarak dan menafsirkannya sebagai keluar mulut singa masuk mulut naga. Di Middle east beberapa babak selepas revolusi pada masa dahulu ialah pertukaran monarki kepada republik, kebanyakan diterajui oleh Janeral tentera seperti Mesir dan Libya.

Dari suasana yang berlaku itu, similarisasi yang boleh dilihat diantara mereka ialah pemerintahan autokrasi (kuku besi) dan tiada ruang demokrasi. Kebangkitan disana faktor utama ialah, berpunca dari ruang demokrasi yang disediakan sangat sempit.

Faktor kedua, ialah kebebesan media. Ketiga ialah penggunaan pihak keselamatan bagi memastikan suara-suara yang menentang pemerintah dihapuskan. Faktor keempat ialah faktor ekonomi, contoh Mesir, ia berpunca dari kemiskinan, apabila lapar mereka akan marah (hak asasi mereka tidak dipenuhi), berbeza di Bahrain mereka menaburkan kekayaan kepada rakyat tetapi kebangkitan tetap berlaku kerana kebebasan ekonomi dikuasai golongan tertentu, demokrasi disekat dan tiada ketelusan media .

Faktor-faktor ini berperanan kepada cepat atau lambat kebangkitan itu berlaku.

Dr Mujahid seterusnya menimbulkan persoalan, apa kaitan semua ini dengan gerakan Islam?

Gerakan Islam menjadi kebimbangan sebagai mereka yang akan memobilisasi massa. Kebangkitan ini melibatkan semua peringkat masyarakat. Cuma sepertimana yang disebut tadi, gerakan Islam mengepalai gerakan kebangkitan dan memanipulasi keadaan tersebut untuk keuntunga politik mereka.

Dr Mujahid membawa contoh gerakan Ikhwan yang mampu untuk terus bernyawa sejak dari pengasasan mereka sehingga sekarang adalah kerana roh perjuangan mereka yang jelas dan kukuh sebagai khalifatullah. Dr Mujahid juga mendatangkan contoh An-Nahdah yang juga jelas dan sama tujuan perjuangan mereka seperti ikhwan. Kedua-duanya bersama dengan massa apabila berlaku kebangkitan, disinilah massa dapat merasai kewujudan mereka seterusnya mendapat sokongan dari semua peringkat.

Jawapan kepada penerimaan mereka oleh masyarakat adalah kerana saat susah, mereka bersama-sama rakyat.

Kini selepas kebangkitan mereka memikirkan bagaimana mengisi kebangkitan itu. Mereka dilihat bijak dengan mengisi kemenangan tersebut dengan mengembalikan demokrasi yang lebih telus (mendahului perkara fundamental agama, kerana mereka sedar rakyat menerima mereka bukan sebab kefahaman dasar perjuangan mereka, tetapi mengharapkan suasana yang lebih harmoni).

Seterusnya Dr Mujahid membangkitkan, kenapa gerakan Islam menjadi kebimbangan Amerika? Kebimbangan itu wujud kerana melihat kondisi Israel pasti akan tergugat jika kebangkitan rakyat itu berakhir dengan pemerintahan dari gerakan Islam. Israel menjadi kuasa pengimbang Amerika kepada dunia Islam yang berpusat di middle east. Contoh Mesir, selama ini negara Mesir lah yang banyak menyalurkan minyak ke Israel, kini telah diputuskan oleh kerajaan Mesir yang baru.

Pusingan Kedua : Dr Mazslee memulakan dengan pengalaman beliau dijemput Astro Awani mengenai perbincangan bila Mubarak nak jatuh, dalam masa yang sama di Libya Muammar Ghadafi menyatakan tidak mungkin kebangkitan yang berlaku di Mesir merebak ke Libya tetapi hakikatnya sudah jatuh sekarang.

Kejayaan yang berlaku ini mungkin tidak sesuai meletakkan Al Banna sebagai asas rujukan kebangkitan, tetapi ada susur galur nya sebelum Hasan Al Banna. Dr Mazslee melihat buku Tabai Istibdad sangat signifikan membuktikan keadaan ini yang terlebih dahulu membahaskan keadaan yang berlaku, juga buku Ummu al-Qura, kedua-duanya karangan Abdul Rahman Al-Kawakibi.

Dr Mazslee sempat menceritakan kedudukan Hasan Al-Banna yang kuat membaca sehingga bacaan beliau melangkaui buku-buku penulis Islam dengan membaca buku-buku penulis barat. Seperti buku Baina Ams wa al-Yaum yang banyak terkesan dengan era kebangkitan eropah menentang pemerintahan teokrasi.

Dr Mazslee kemudian membawa satu joke, antara Anwar Sadat, Jamal Abdel Nasir dan Mubarak. Mereka bertanya sesama sendiri kenapa mereka berkumpul di neraka. Anwar Sadat memberitahu dia ditembak, Jamal pula memberitahu dia diracun, Mubarak mengambil masa untuk menjawab sambil berfikir, jawapannya… facebook.

Dr Mazslee bersetuju, bukan faktor ekonomi yang mencetuskan kebangkitan, jika faktor ekonomi, kerajaan-kerajaan kuku besi ini sebenarnya telah banyak melakukan transformasi ekonomi agar dilihat rakyat yang mereka sedang berusaha membaiki taraf kehidupan. Bagi Dr Mazslee faktornya berbalik kepada kata Abdul Rahman Al-Kawakibi, dimana bila manusia pandai maka mereka akan bebas memilih, tiada paksaan. Pendidikan seperti ini sangat penting. Pendidikan yang memberi pencerahan kepada rakyat.

Contoh yang terbaik ialah tivi al-jazeera berjaya mendidik penonton bebas memilih pilihan mereka, tivi al-Jazeera mempunya polisi pemberitaan yang baik, tidak bias kepada mana-mana kepentingan, kerana itulah menurut Dr Mazslee, warga ceruk kampung di middle east lebih hebat memberi hujah jika nak dibandingkan sesetengah ahli parlimen di Malaysia yang kadang-kadang merapu kerana menonton al-Jazeera.

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, kebangkitan mereka ialah kerana kebebasan media yang membuka pemikiran rakyat yang selama ini hanya disogok dengan satu arah sahaja iaitu pihak kerajaan demi kepentingan mereka.

Seterusnya Dr Mazslee mula membincangkan kenapa gerakan Islam diterima oleh masyarakat di timur tengah.Ianya kerana gerakan Islam disana timbul dari akar umbi, dari rakyat untuk rakyat. Mereka juga bergerak di kalangan rakyat dan rakyat mudah mendekati mereka.

Soal polisi luar Amerika, Dr Mazslee membawa satu keadaan ketika era Bush. Amerika ketika itu ingin dilihat sebagai pembawa keamanan di rantau Asia Barat, Condolise Rize diutuskan dan mengutarakan the new middle east, yang pelik mereka tidak bercakap soal tukar pemimpin yang mengamalkan sistem kuku besi. The new middle east tidak lebih dari kosmetik politik.

Apa yang cuba dibuat oleh Amerika ialah agar rakyat melihat ruang demokrasi memang disediakan oleh pimpinan kuku besi. Natijah dari ruang demokrasi yang dibuka sedikit kita dapat melihat Ikhwan menang beberapa kerusi di Mesir dan Hamas memenangi pilihanraya di Palestin.

Walaupun ia kosmetik, gerakan Islam berjaya memanipulasi ruang dan keadaan itu. Mereka menggunakan model pendekatan AKP.Antara yang terawal mengambil model AKP ialah parti An Nahdah. Kemudian Ikhwan Muslimin.

Yang lebih menarik, Jamaatul Dakwah Salafiyyah nama asal kepada Parti An Nur juga dilihat mula mengorak langkah dengan menyertai politik. Apabila diajukan soalan kenapa salafi memilih demokrasi. Mereka menjawab pada pada zaman Mubarak, tiada ruang buat mereka, namun kini sudah berubah, dan jika tidak diisi, ianya menjadi kebimbangan akan diambil peluang oleh golongan liberal dan sekular.

Kemenangan dilihat memihak kepada mereka dibelakang Ikhwan Muslimin. Penerimaan masyarakat kepada mereka kerana pendekatan kebajikan golongan salafi kepada masyarakat seperti yang dilakukan oleh Ikhwan dilihat berkesan, berbanding golongan liberal dan secular yang lebih menggunakan pendekatan facebook dan twitter tanpa turun dilapangan.

Golongan radikal juga mengisi ruang demokrasi ini. Apabila ditanya, alasan mereka tiada pilihan pada masa itu melainkan senjata, namun kini mereka ada ruang apabila demokrasi dilaksanakan secara tulen.

Isu antara konservatif dan progresif atau reformis dalam gerakan Islam. Bagi Dr Mazslee ianya adalah satu lumrah yang wujud dalam gerakan Islam walau dimana-mana, samada Hamas, Ikhwan, an-Nahdah dan Pas sendiri. Namun perkara itu tidak menjadi masalah jika dilihat dari aspek dinamika gerakan Islam. Bagi yang tidak memahami situasi ini, akan melihat ia sebagai satu perpecahan atau ancaman dalam gerakan. Bagi Dr Mazslee lagi, kewujudan dua golongan ini di dalam sebuah gerakan Islam sebagai pengimbang di antara satu sama lain. Sudah pasti golongan konservatif gagal tanpa pertolongan dari kalangan reformis dan begitulah sebaliknya.

Hasil wacana kali ini, penulis dapat mengetahui faktor-faktor yang mencetuskan kebangkitan di Asia Barat, namun faktor-faktor itu berbeza mengikut tempat masing-masing dan faktor-faktor itu juga menentukan lambat atau cepat kebangkitan itu terjadi. Selain itu, kebebasan media menjadi faktor penting menurut Dr Mazslee sebagai mekanisme pendidikan yang paling berkesan mendidik rakyat bebas mendapat maklumat dan membuat pilihan. Selain itu, aliran yang wujud di dalam gerakan Islam antara konservatif dan progresif adalah pelengkap di antara satu sama lain. Mana-mana yang melihat dua aliran ini sebagai satu pertembungan, sudah pasti wujud disini kesalah fahaman atau kekurangan ilmu.

Wallahu Ta’ala A’lam

Jamal Abdul Naser, Anwar Sadat Dan Hosni Mubarak

Bismillahirrahmaanirrahim

Jamal Abdel Naser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak adalah tiga orang bekas presiden Mesir.

Ketiga-tiga mereka dikisahkan berkumpul di dalam neraka. Jamal Abdel Naser sedia diketahui mati kerana diracun, Anwar Sadat ditembak oleh Khalid Islambouli. Manakala yang ketiga iaitu Hosni Mubarak menjadi tanda tanya kepada dua orang bekas presiden Mesir yang terawal padanya.

Kedua-dua mereka mengajukan soalan bagaimana Hosni Mubarak juga berada disitu bersama mereka. Hosni Mubarak diam sambil berfikir. Jawabnya FACEBOOK.

Dia berada di neraka bersama kedua-dua bekas presiden itu kerana facebook. Kedua-dua presiden itu yang memang tak tahu apa itu facebook hanya terpinga-pinga.

(Ini adalah cerita lucu pasca revolusi Mesir baru-baru ini yang dipopularkan. Moralnya ialah, apabila ruang atau kebebasan media wujud, maka rakyat akan terdidik dan terpelajar seterusnya mencetuskan satu kebangkitan).

Wallahu Ta’ala A’lam

 

Punca Islam Diperkuda

Bismillahirrahmaanirrahim

Setelah tamat peperangan di Afghanistan, ramai di kalangan mereka yang berbangsa arab pulang ketanah air masing-masing. Mereka datang dari Arab Saudi, Yaman dan beberapa buah negara arab lain lagi.

Kebanyakan mereka mempunyai pegangan salaf yang hebat. Semangat jihad yang sangat tinggi. Setelah tragedi September 11, mereka jugalah antara golongan yang menjadi mangsa ‘kambing hitam’ kepada kerajaan-kerajaan yang ingin menzahirkan kesetiaan mereka kepada Amerika.

Menarik di Yaman, Presiden Abdullah Saleh menjalin hubungan dengan golongan jihadis aliran salaf ini. Hubungan yang dijalinkan sebenarnya demi kepentingan survivur politik beliau. Bagi Abdullah Saleh, ancaman sebenar kepada tampuk pemerintahan nya ialah golongan Syiah yang mendapat dokongan dari kerajaan Iran.

Aliran Salafi amat sentimental apabila menyentuh soal syiah. Perkara ini memudahkan Abdullah Saleh mempergunakan mereka demi mempertahankan kedudukan dan melindungi dirinya dari ancaman syiah.

Ketika rakyat Yaman bangkit menentang kezaliman Abdullah Saleh, golongan Salafi mula tersepit antara memberi sokongan kepada kerajaan dan bersama rakyat dalam revolusi yang tercetus hasil kekejaman kerajaan sendiri. Sehingga ada yang mengharamkan demonstrasi apatah lagi sebuah revolusi.

Perkara ini mengingatkan bagaimana keturunan Saud di Arab Saudi diangkat menjadi pemimpin Arabia pada masa dahulu dan kekal sehingga kini. Maryam Jameelah menjelaskan isu ini, dimana Raja Saud berjaya mempengaruhi gerakan Muhammad Bin Abdul Wahab bersama-sama beliau menentang kerajaan Turki Uthmaniyyah dengan sentimen sufi. Sehinggalah berakhirnya sistem khilafah (perlu diingat kerajaan Turki Uthmaniyyah tumbang bukan dengan sebab ini sahaja).

Dari dua keadaan ini, terdapat satu persamaan iaitu, golongan politik berjaya menggunakan mereka yang ikhlas dalam perjuangan mereka. Oleh kerana hakikat kekuasaan mengatasi sentimen keagamaan, maka selalu sahajalah orang politik menggunakan orang agama.

Maka, golongan agama seharusnya peka dengan situasi sebenar politik selain menekankan soal agama. Perkara ini mengelakkan golongan agama selalu diperkudakan kerana kelemahan diri sendiri dalam memahami dan menguasai dunia dek menekankan sentimen agama sahaja.

Kerana itulah Islam datang dengan sifat Wasatiyyah. Penguasaan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi mampu mengelakkan kita dari terjerumus kedalam lubang buat kedua, ketiga dan keempat kalinya. Moga Allah membuka pintu hikmahNya buat kita.

Wallahu Ta’ala A’lam

Tajdid Pemikiran : Gerakan Islam

Bismillahirrahmaanirrahim

Sejak umat Islam mengalami kemunduran, pelbagai aliran, gerakan dan individu yang merespon keadaan ini. Mereka semua ingin kembali sepertimana abad pertengahan Islam yang selalu meniti dibibir tentang keagungan dan penguasaan Islam di seluruh dunia.

Antara yang merespon adalah dari golongan modernis Islam. Mereka sedar, dunia sekarang tantangan utama adalah barat. Baik ilmu, budaya dan teknologi mereka. Oleh kerana tentangan ini sudah terbina sejak sekian ratusan tahun maka tidak mudah menghadapi dan mengatasi mereka.

Ingin melihat umat ini mengatasi mana-mana bangsa lain dan menguasai dunia sehingga memberi keamanan dan rahmat keseluruhan perlu mengetahui punca kelemahan yang dialami umat ini. Ibarat doktor yang ingin mengubat penyakit harus tahu simpton-simpton yang mengakibatkan penyakit tersebut.

Pemikir-pemikir umat seperti Al-Afghani, Abduh, Rashid Reda, Maududi, Al-Banna, Abdul Rahman al-Kawakibi, Iqbal, Fazlur Rahman, Naquib al-Attas, Ismail Faruqi, sehinggalah masakini seperti Tariq Ramadan, Qardhawi dan Rachid Ghannouchi memahami punca kepada kemunduran umat pada pemikiran yang perlu dibetulkan.

Antara kelemahan pemikiran umat ini, khususnya barisan penggerak umat dari gerakan-gerakan Islam ialah gagal memahami keadaan semasa dan bergantung semata-mata dengan ijtihad ulama abad pertengahan, dengan alasan siapa kita berbanding ulama tersebut. Sepertimana pada satu ketika umat Islam maju dalam bidang muzik, setelah muzik yang asalnya harus membawa kepada kelalaian maka para ulama pada masa itu menghukumkan haram beberapa alatan muzik yang dikira boleh membawa kepada kemungkaran.

Hukum pengharaman itu sesuai dengan keadaan pada masa itu yang dilihat oleh para ulama lebih membawa kepada mafsadah. Namun ijtihad pengharaman itu jika di kondisi zaman sekarang perlu dinilai semula. Adakah hukum itu sesuai pada masakini. Namun kesilapan dari kalangan fundamentalis dan tradisionalis agama yang mana pemikiran mereka hanya bergantung dengan ijtihad-ijtihad abad pertengahan, terus mengambil dan menerima secara bulat dan berhukum haram kepada muzik-muzik pada zaman sekarang.

Perkara ini menimbulkan ketidak senangan dari kalangan pencinta seni khusus dibidang muzik. Malah pengharaman ini menimbulkan pandangan skeptikal golongan fundamentalis agama terhadap pengamal seni selain nasyid. Pandangan balas dari golongan seni ialah, Islam itu jumud, ketinggalan zaman, tidak mengikut arus zaman dan tidak berani berfikir sendiri. Perkara ini bersalahan dengan, Islam sesuai mengikut zaman dan dimana pun ia berada.

Seharusnya bagi gerakan Islam yang dinamakan oleh Dr Karim Siddiqui sebagai ‘Mini Islamic State’ perlu digerakkan oleh mereka yang mengambil manfaat kejayaan silam demi mengukuhkan kedudukan Islam pada masakini. Bukan mengambil iktibar dari kegemilangan lampau tetapi umat terus merudum. Seperti harapkan tikus baiki labu. Kelemahan disini adalah kecelaruan dan kelemahan pemikiran pimpinan umat ini memahami Islam itu sendiri. Memahami dan mengambil dari sudut model abad pertengahan adalah satu tindakan yang gagal. Umat ini sepatutnya perlu memahami dari nilai-nilai yang boleh dikembangkan sesuai dengan keadaan pada zaman mereka.

Juga kelemahan pemikiran umat, malah ditahap yang sangat kritikal ialah tidak mampu membezakan antara perkara prinsip dan ijtihad dalam Islam. Perkara ijtihad dipertahankan seolah itu perkara prinsip, tiada kompromi dan ruang perbincangan. Melabel adalah perkara mudah menghapuskan hujah orang lain seperti menuduh pro-barat, pro-syiah dan Wahabi. Malah ada yang menggunakan kedudukan sebagai ustaz ataupun ulama menyokong hujah mereka yang jelas salah.

Satu lagi imej Islam tercalar dengan sifat dan sikap seperti ini. Mereka yang memerhati perkara ini akan terhakis kepercayaan mereka kepada institusi agama, ulama dan ustaz. Atas kelemahan penguasaan ilmu, tanpa disedari kita menjadi racun buat Islam. Perkara ini juga membawa ghuluw dalam beragama, asas nya kerana ada yang sanggup meletakkan beberapa soal politik yang jelas-jelas dalam cakupan ijtihadiyyat diletakkan dalam hal qathiyyat bithubut dan dilalah. Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitab kaifa nata’amul ma’a sunnah nabawiyyah melabelkan mereka sebagai orang yang mengharamkan perkara yang halal.

Asasnya adalah ilmu yang jelas. Dari ilmu akan lahir pemikiran yang jelas. Natijahnya perbincangan berasaskan ilmu akan lahir kebenaran. Kesesatan akan berlaku apabila kurang ilmu, kurang faham dan kurang jelas dan bercakap dengan sentimen. Semoga Allah melindungi kita dari kekurangan ini.

Wallahu ta’ala a’lam

Tajdid Pemikiran Ibadah : Solat

Bismillahirrahmaanirrahim

Solat salah satu daripada rukun Islam. Baginda Rasulullah menerima solat sebagai satu kurniaan daripada Allah buat umat Nabi Muhammad SAW ketika Isra’ dan Mikraj. Solat yang pada awalnya lima puluh rakaat akhirnya dikurungkan kepada lima waktu atas rahmat Allah.

Barangsiapa yang mengingkari pelaksanaan solat dengan sengaja maka dia dihukum murtad. Pelbagai balasan bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja berbeza mengikut mazhab. Apa pun balasannya amat berat.

Namun setelah 1400 tahun lebih berlalu fatrah kerasulan dan pensyariatan solat, roh, semangat dan kefahaman solat mula menyimpang dari kefahaman asal. Solat mula dilaksanakan sepertimana agama-agama lain yang juga terhakis kefahaman asas kepada ibadah tersebut.

Solat kini dilaksanakan sekadar menunaikannya atas suruhan agama. Solat dilaksanakan sekadar ritual agama. Ibadah solat dengan amalan ritual agama-agama lain tidak kurang bezanya. Amalan ibadah sudah tiada roh.

Allah menggambarkan implikasi solat ialah mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Namun kesan itu tidak dirasai di kalangan masyarakat Melayu Islam kita. Buang anak, dadah, dan banyak lagi yang tak perlu disenaraikan disini.

Analisa yang boleh dibuat samada ramai dikalangan ‘umat’  Islam ini tidak solat atau kemungkinan kedua yang sedang kita bincang ialah kefahaman umat berkaitan solat sudah pincang dari fundamental ajaran Islam.

Permasalahan inilah yang membawa pemikir umat membawa seruan tajdid apabila roh ibadah itu mula luntur atau terpesong dari landasan tujuan sebenarnya. Pemikiran umat ini telah dikecilkan skop pemahaman dalam ruang yang sangat kecil.

Pemahaman solat perlu melangkaui pandangan ia sekadar mentaati suruhan Allah atau ia sekadar memenuhi tuntutan agama. Pemahaman solat yang harus ada perlu punya sudut yang sangat luas dan global.

Solat berkeupayaan menyatukan umat. Solat menyatukan jiwa-jiwa yang berlainan bangsa. Solat menjadikan umat Islam professional bekerja. Solat menguatkan semangat umat menjadi maju apabila faham roh sebenar dari solat itu.

Asas nya bagaimana kita memandang ibadah solat dalam ruang dan konteks yang luas sehingga mampu membangun umat di dunia dan akhirat. Pandangan itu mampu dijana dengan kefahaman fundamental agama dan tuntutan semasa.

Begitulah kefahaman salaf yang tidak pernah memisahkan akhirat dan dunia sehingga mampu mencetuskan tamadun yang diingati sampai sekarang dalam lipatan sejarah. Sejauhmana kita nak mencapai itu bergantung sejauhmana kita berusaha memberi faham perkara ini kepada umat.

Wallahu ta’ala a’lam