Memoir Memali

Bismillahirrahmaanirrahim

Azam ke Memali saya tanam sejak berakhirnya Ijtima’ Tarbawi di Terengganu. Usai majlis penutup Ijtima’, Ustaz Riduan Mohd Nor membuat satu pengumuman penting. ” Sahabat-sahabat sekalian…insyallah tanggal 19-21 November kita akan sekali lagi berkumpul di Memali sempena memperingati as Syahid Ustaz Ibrahim Libya “.

Hati ini bergelojak menunggu hari yang dinantikan. 19hb malam sebahagian sahabat sudah mula bertolak menaiki kereta. Hati ini sikit sedih tidak dapat bersama sahabat pada malam itu. Pun begitu azam ini tidak pernah padam. Saya tekad, esok hari selesai mengajar saya akan bersiap ke Memali.

Pulang dari Kajang saya terus menyiapkan pakaian ala kada. Saya hubungi seorang sahabat yang akan bersama bergilir memandu nanti. Tepat jam 10 malam kami mula bertolak. Avanza terus memacu laju menuju ke utara tanah air. Kami berbual menghilangkan rasa mengantuk.

Sampai di R&R Tapah kami berehat mencari tenaga. Giliran Sharif memandu, saya ambil tempat di kiri pemandu. Mata ini tidak tahan lama, belum jauh Avanza bergerak mata sudah terkatup. Sedar-sedar di Butterworth, saat itu saya tidak boleh nak tidur lagi.

Kami ambil susur keluar Sg Petani Baling. Dari Tol Sg Petani menuju ke Baling terasa sangat jauh, sampai di Bandar Baling ke Kg Memali sekali lagi perasaan jauh menerjah di hati. Alang-alang celup pekasam biar sampai ke pangkal lengan, akhirnya kami tiba di KG MEMALI jam empat pagi.

” Macam mana diorang boleh bunuh Ust Ibrahim Libya sedang dia duduk jauh macam ni “. Itulah persoalan yang terpacul dari mulut saya kepada Sharif ketika sampai di sana. SMS dihantar untuk mengetahui lokasi sahabat-sahabat yang terlebih dahulu sampai. ” Ust naik tingkat tiga madrasah ada tempat tidur”. SMS yang saya terima dari Hafizi.

Dewan Tidur Peserta

 

Perjalanan yang memakan masa hampir satu malam membuatkan kami penat. Kami harus tidur juga kerana esok program penting di rumah as Syahid Ustaz Ibrahim Libya. Azan berkumandang mematikan mimpi kami. Mata yang kurang tidur dipaksa bangun menunaikan tuntutan yang lebih besar dari dunia dan segala isinya.

Selesai solat subuh kami tidak boleh melelapkan mata. Pelbagai soalan saya ajukan mengenai program yang tak sempat saya hadiri semalam nya. Pagi yang sejuk diselangi hujan gerimis seolah menangisi pemergian para shuhada cukup menenangkan jiwa.

Usai sarapan pagi kami kembali ke madrasah. Saya mengambil peluang membaca buku MEMOIR TRGEDI MEMALI yang ditulis oleh Ust Riduan Mohd Nor. Saya cuba menghayati setiap pengkisahan yang diceritakan di dalam buku tersebut, pelbagai perasaan timbul, sedih, marah, benci, dan lain-lain.

Rumah As Syahid Tempat Kejadian

 

Tepat jam 9 am kami bergegas ke rumah as Syahid yang tidak sampai 500 meter dari madrasah. Program hampir bermula. Saya mengambil tempat duduk dihadapan. Saya tidak mahu terlepas walau satu detik cerita yang akan disampaikan sendiri oleh balu as Syahid Puan Soleha.

Puan Solehah

 

Selepas beberapa orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung mengkisahkan kembali pengalaman mereka bersama as Syahid, kini tibalah giliran Puan Soleha. Hati ini kagum melihat Puan Soleha, sudah tentu berat bagi beliau menerima apa yang terjadi pada saat kejadian itu.

” Masa kejadian tu kami muslimat baca Yassin, polis mula tembak gas pemedih mata, kami tak tahu berapa banyak. Ramai yang tak tahan ambil kain dan basahkan sapu kemuka. Anak saya yang paling kecil baru 10 bulan ada bersama saya. Mata dia dah mula berair, saya bimbangkan anak saya. Datang seorang remaja mintak anak saya nak tunjuk pada polis yang dalam rumah ini ada bayi kecil dengan harapan polis menghentikan serangan. Lepas tu saya tak tahu kemana anak saya dibawa ” Puan Soleha mula membuka cerita. Hadirin khusyuk mendengar.

” Ustaz turun kemudian bagi kami daun kopi, dia suruh kami kunyah daun tersebut untuk hilangkan rasa pedih sebab asap gas, saya bagitahu kami muslimat ni macam mana, kata ustaz kalau takut meniarap sahaja, ustaz tinggalkan kami, lepas tu saya dengar bunyi tembakan yang memekakkan telinga, tembakan yang bertalu-talu tanpa henti. Selesai tembakan satu suara mengatakan ustaz dah kena tembak ” Mata Puan Soleha mula berkaca.

” Saya terus berlari dapatkan ustaz, masa tu ada seseorang sedang memaku ustaz, saya ambil ustaz dari dia, air mata saya tak mampu dibendung lagi saya tengok banyak kesan tembakan di tubuh ustaz seperti kena cucuh api rokok, saya katakan pada ustaz dah tercapai cita-cita abang selama ini. Ustaz buka mata dia kemudian tanya apa yang terjadi, saya katakan abang kena tembak, ustaz ucap alhamdulillah ” Puan Soleha teresak-esak menangis. Tangisan dari hadirin juga bertalu-talu.

” Ketika saya memaku ustaz darah keluar dari peha ustaz macam air paip keluar dari paip, laju mengalir. Datang dua tiga orang muslimat mohon maaf dan mintak halal dari ustaz sambil menangis-nangis. Seorang polis datang mengacu senapang mintak saya menyerah diri kalau tidak dia akan tembak. Saya katakan pada dia kalau nak tembak tembaklah, masa tu saya memang tak fikir apa-apa ” Puan Soleha terus bercerita dalam sedunya.

Halaman Rumah Tempat Orang Kampung Ditembak

” Setelah beberapa ketika saya angkat tangan dan menyerah diri. Dan itulah kali terakhir saya melihat as Syahid. Ketika saya dibawa keluar menuju ke trak saya lihat ramai orang kampung bergelimpangan di halaman rumah, antara mereka ada yang mendapat syahid. Saya dibawa ke penjara dan disoal dengan macam-macam soalan. Antaranya mereka suruh saya mengaku yang as Syahid mengajar kami syahadah yang pelik iaitu tiada tuhan melainkan Allah dan Ibrahim Rasulullah. Alhamdulillah semua yang disoal tidak mengaku seperti yang disuruh. Kami dalam penjara teruk diseksa. Paling teruk adalah kaum lelaki, mereka dibelasah secukupnya di dalam lokap ” Puan Soleha menambah apa yang terjadi ketika ditahan di dalam penjara.

Kesan Tembakan

Sebaknya hati ini membayangkan apa yang terjadi di dalam rumah yang sedang saya duduk itu. Apa salah as Syahid? Beliau hanya mengajar agama, beliau hanya ingin melihat agama Allah tertegak di tanah airnya. Kenapa perundingan antara komunis dan kerajaan yang juga berlaku di Baling tidak menumpahkan darah sedang mereka yang seagama ditembak tidak berperikemanusiaan.

Cerita ini akan diwarisi oleh setiap generasi. Kezaliman akhirnya akan tetap kecundang. Hanya masa yang menentukannya. Darah syuhada akan menjadi pembangkit semangat bagi generasi muda yang cintakan agamanya. Bagi generasi yang rindukan Islam tertegak di bumi Allah ini.

Hari ketiga program berlangsung saya mengambil keputusan untuk pulang lebih awal. Lagipun aktiviti banyak yang tidak melibatkan pemuda. Saya meninggalkan bumi Memali dengan seribu satu kenangan dan iktibar yang tidak akan saya lupakan dengan azam semangat ini akan diwarisi oleh anakku yang mengjangkau lima bulan di dalam perut insyallah. Takbirr!!!

Wallahu Ta’ala A’lam

Advertisements

2 thoughts on “Memoir Memali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s