Warga Pendidik

Pendahuluan

Dewasa ini kita melihat masalah sosial makin meningkat malah makin parah. Sebagai contoh, Riduan Mohd Nor dalam buku beliau menjelaskan mengenai isu murtad dan gerakan swadaya pemurtadan sedang menerjah umat Islam di Malaysia yang semakin merosot kelestarian aqidahnya (2009:vii). Justifikasi seperti ini membuktikan kemerosotan moral di kalangan masyarakat negara ini makin parah dan teruk.

Buang anak, rempit, bohsia, bohjan, anak tak sah taraf, memasukkan dadah kedalam badan, seks bebas, politik lucah, rasuah dan banyak lagi perkara yang menggambarkan kebobrokan ‘adab’ (istilah Prof Naquib al-Attas) yang berlaku khususnya umat Islam di Malaysia. Amat jelek untuk kita ungkapkan satu persatu.

Apakah punca masalah ini?

Ada yang mengatakan kerana kita meninggalkan al-Quran dan sunnah (Hafiz Firdaus,2007:21), ada yang menganggap kerana kita tidak mengamalkan Islam secara syumul (Abdul Halim Mahmud,2007:10), tidak kurang yang mengaitkan pengimportan anasir luar seperti barat (Abdul Halim Ramli,2007:62).

Pelbagai pendapat yang diutarakan dapat kita lihat disini dalam mengaitkan punca kepada kelemahan, kemunduran dan kecelaruan ‘adab’ umat Islam. Suka penulis mengaitkan punca kepada masalah-masalah ini adalah daripada pendidikan. Pendapat ini disokong oleh satu jurnal yang ditulis oleh Prof Nasir Omar yang mana beliau memetik hasil daripada Konferens Dunia Pendidikan Islam yang pertama yang diadakan di Mekah pada 1977, penyebab utama kepada kelemahan ummah adalah kepincangan sistem pendidikan dualisme-tradisional(agama) dan secular (barat).(2001:69).

Kenapa puncanya pendidikan?

Pendidikan dilihat sebagai agen utama yang akan terus berperanan mencorak pemikiran generasi muslim. Dalam konteks di Malaysia sistem pendidikan yang diamalkan dianggap tidak mampu melahirkan seorang muslim yang memahami visi Islam. Malah sistem ini dirasakan tidak akan membawa perubahan kerana berorientasikan peperiksaan yang mana menitik beratkan hafalan bukan kefahaman.

Perkara ini berlaku kerana dikotomi (memisahkan) ilmu di antara ilmu agama dan falsafah ataupun istilah sekarang ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah (Nasir Omar,2001:73). Pelajar yang mempelajari ilmu agama dilihat mempunyai akhlak yang baik, penguasaan agama yang mantap namun apabila diletakkan dalam arus kemodenan semasa mereka tidak dapat bersaing dalam sektor pekerjaan, tidak mampu mentadbir secara efektif, berfikiran sempit, retorik dan sering menyalahkan orang lain (Abdul Halim,2007: 63) matlamat mereka mencapai akhirat sehingga mengambil dunia ala kadar. Manakala pelajar yang beraliran sekular ataupun barat bersikap egoistik, bangga diri, first class kerana ilmu yang dipelajari dan pekerjaan yang diperolehi dengan ukuran gaji yang dianggap hebat. Matlamat mereka adalah imbuhan dan keseronokan dunia.

Dari sudut matlamat kita dapat lihat perbezaan paradigma (cara berfikir) diantara dua aliran tersebut. Aliran agama meletakkan matlamatnya adalah akhirat dan banyak bertawakkal hal dunia, mereka yang beraliran barat pula penuh dengan motivasi mendapatkan habuan dunia sehingga mereka dilihat lebih hebat dan maju kedepan.

Begitulah hasil yang dapat kita lahirkan daripada sistem pendidikan di Malaysia. Perkara ini mendapat penegasan Prof Sidek Baba agar sistem pendidikan di negara ini ditajdidkan. Tajdid dalam ilmu dan pendidikan mempunyai kewajaran untuk terus maju kerana faktor zaman dan cabaran (2010:170). Pendidikan yang perlu menggabungkan diantara akal dan wahyu, fardhu ain dan fardhu kifayah.

Pendidikan yang meletakkan matlamat akhir adalah akhirat dan dunia adalah alat untuk  dimanipulasi mencapai akhirat. Tanpa usaha seperti ini pendidikan negara mampu menghasilkan tenaga pakar (ahli politik,arkitek,ingineer dll) yang memiliki keterampilan tetapi hilang arah dan nilai sehingga penemuan-penemuan yang berlaku tidak mampu membangunkan akal budi manusia dan martabat insan itu sendiri (Sidek Baba,2010:175).

Islamisasi Ilmu

Tokoh-tokoh pemikir Islam seperti Ziauddin Sadar, Ismail Faruqi, Naquib al-Attas, Ali Syariati dan ramai lagi yang mencadangkan agar ilmu-ilmu yang dipelajari dari barat harus diislamkan (Islamization Of Knowledge) sebagai solusi kepada masalah dualisme ilmu tadi.

Bagi mereka dengan cara ini ia mampu melahirkan generasi muslim seperti yang disebutkan oleh Prof Sidek Baba, iaitu mereka yang mencapai akhirat dan umat yang terbaik di dunia. Suasana di seluruh dunia Islam tidak menggambarkan kita adalah umat yang terbaik.

Ismail Faruqi meletakkan dua asas bagi menjayakan proses islamisasi ilmu ini, yang pertama menyatukan dua sistem pendidikan sekular dan barat, dan yang kedua menanam visi Islam dalam sistem pendidikan.(Faruqi,2009:14).

Pada penulis ini satu gagasan yang besar dan kedudukan kita (guru) sudah tentulah tidak mampu melakukan perkara sedemikian melainkan dengan menggerakkan melalui pertubuhan-pertubuhan dan tokoh-tokoh yang mampu memberi pengaruh dalam sistem pendidikan negara.

Seruan Buat Guru-Guru

Penulis beranggapan mencapai matlamat gagasan islamisasi ilmu adalah perkara yang jauh dan sukar untuk dicapai dalam keadaan limitasi yang ada pada kita (guru). Oleh itu penulis menyeru teman-teman yang akan bergelar guru ataupun sudah sedia seorang guru agar mencari alternatif membentuk pelajar-pelajar anda agar mencapai tasawwur Islam. Pemerhatian penulis hampir 80% keluaran Morocco adalah guru dan mengajar di sekolah beraliran sekular. Menjadi tanggungjawab kepada guru-guru pengajian Islam membentuk mentaliti yang bervisikan Islam dengan harapan setelah menamatkan pengajian dan menceburkan diri di alam pekerjaan, mereka sentiasa bermotivasi menaikkan keizzahan Islam dan tidak hanyut dengan arus kemodenan atau post-modernisasi kerana paradigma dan jiwa mereka telah dipasak dengan tasawwur Islam. Itulah kerja yang paling mulia dan bakti seorang guru terhadap agama Islam.

Wallahu Ta’ala A’lam

Muhammad Faiz Mukmin,

Kajang Utama,

Selangor Darul Ehsan,

1 April 2011

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s