Sejarah Baru Tercipta II

Orang ramai mula bertempiaran lari, bapa mertuaku yang berpenyakit asma tidak mampu lagi meneruskan perjalanan, diarahnya saya dengan isyarat tangan agar terus ke depan. Bapa mertuaku tidak pernah terlepas demo-demo penting seperti ISA, Bersih 1.0, PPSMI dan juga demo di hadapan kedutaan Sweden, beliau yang tidak lekang dengan dalil-dalil al-Quran mengenai perjuangan membuat aku rasa kerdil walaupun belajar jauh di bumi matahari terbenam.

Hati serba salah meninggalkan beliau, saya tetap gagahi bersama anak muda yang sebaya memekik laungan ‘hidup rakyat’ dan ‘bersih, bersih…hidup bersih’ dihadapan aparat keamanan. Saya cuba menoleh kebelakang, sosok tua bapa mertuaku sudah tidak ada lagi disitu, saya bulatkan tekad perjalanan ini harus diteruskan. Saat itulah saya bertemu teman-teman sepengajian di Kelantan dahulu, walaupun kami antara pelajar yang ‘nakal’ di sekolah, namun didikan Ayah Zik di Pulau Melaka melahirkan kami yang tidak pernah terlepas menyertai demo.

Muen dan Syuk, rokok sudah menjadi peneman hidup mereka, tapi kecintaan pada Islam meletakkan mereka sebaris dengan Unit Amal di bahagian hadapan, merekalah antara sahabat yang sama-sama memeningkan kepala ustaz dahulu, tetapi kini menjadi kebanggaan di kalangan sahabat-sahabat atas keberanian dalam setiap demo yang disertai. Kami mengambil peluang bergambar untuk dikenang-kenang anak cucu nanti.

Ketika itulah saya dihidangkan dengan situasi seperti di Mesir, sebilangan anak muda dipimpin oleh seorang Pak Cik mengerjakan solat ditengah orang ramai yang dihadapkan di hadapan pasukan FRU dan Trak Water Cannon. Orang ramai mengambil kesempatan merakamkan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini seingat saya dimana-mana demo. Sekali lagi serbuan dilakukan dengan pancutan air trak FRU dan tembakan gas CF.

Demonstran melewati Puduraya mengambil langkah seribu, apakan daya tempat kami dikepung, kami benar-benar berada ditengah kepungan anggota polis, kumpulan kami tidak dipimpin oleh mana-mana pimpinan, sebilangan kecil rakyat mengambil inisiatif menghidupkan suasana dengan lagu Negaraku dan takbir yang bersahutan dikalangan peserta demonstrasi yang hadir.

Polis mula bergerak rapat membuatkan kami tersepit, tiada jalan lain melainkan memasuki Hospital Tung Shin, kami yakin pihak polis tidak akan melanggar undang-undang dengan menyerang demonstran di dalam premis persendirian, telahan aku meleset sama sekali, “ tengok atas “ jerit seorang peserta demonstrasi, saya cuba mengelak peluru itu hinggap di kepala, air gatal pula tidak sudah-sudah dipancut dari trak water cannon, yang terpancul dimulut saya pada masa itu adalah “subhanallah”, hujan rahmat dari Allah makin lebat mencurahi bumi, asap dan air water cannon berjaya dibendung dengan pertolongan tentera Allah.

Disitulah saya bertemu Pok Oud, rakan sekelas dan sebilik ketika belajar dahulu, saya berikan buku yang dikirim 3 bulan lepas, basah kuyup, redha sahajalah dalam situasi macam tu, orang ramai mula memanjat pagar dan mendaki bukit di belakang hospital, saya dan Pok Oud juga mengambil kesempatan memanjat pagar kawat berduri, seorang brader cina mengambil kotak dilapikkan diatas kawat sebelum kami memanjat, hatiku tersentuh dengan pertolongannya.

Orang ramai bergerak dicelah-celah bangunan mengelak dari dicekup aparat keamanan, semua kedai tutup, kami  agak dahaga, mujurlah ada juga kedai yang buka, saya jamin keuntungan berlipat ganda yang diperolehi oleh peniaga tersebut, bayangkan jika air yang berharga 2 ringgit dibeli oleh  10000 ribu pembeli, dalam masa beberapa minit sahaja boleh mendapat keuntungan sebanyak itu,   masakan tidak dengan kerumunan manusia seperti semut mendapat gula, cuma yang saya  amati, hanya kedai Mamak yang berani dibuka, dimana Melayu? Oh!…lupa, Bandar besar seperti Kuala Lumpur tiada tempat untuk bangsa Melayu yang tidak punya modal, tanah mereka digadai oleh bangsa sendiri.

Kami meneruskan perjalanan, demonstran tidak tahu kemana harus dituju, saya hanya mengikut arus, terus berjalan dan berjalan, agak susah bila tiada yang memimpin, sehinggalah kami bertembung dengan satu kumpulan besar yang dipimpin oleh bekas Menteri Kesihatan Malaysia, masa itu jugalah kaki ku yang dah lama tak bersukan ni nak krem, Pok Oud yang dari awal tadi tetap bersama saya agak blur  nak buat apa, mujurlah seorang amoi sudi mengajar Pok Oud apa yang harus dilakukan, sekali lagi hatiku tersentuh dengan ikatan ukhuwah masyarakat Malaysia. Saya fikir kalau Pok Oud tiada, polis tiba-tiba terjah, memang saya jadi keropok lekor, dilekor-lekornya sampai lunyai.

Laungan “KLCC…KLCC..KLCC” menandakan kami sedang menuju ke KLCC. Saya berjalan dengan kaki terhenjut-henjut menahan kesakitan. Sampai disana kami diminta duduk bagi mendengar ucapan pimpinan, apa yang saya nampak dari jauh adalah lautan manusia yang sudah tentu melebihi 5000 ataupun 6000 orang, hati ku sebak mengenangkan kesusahan rakyat marhaen yang inginkan perubahan, mungkin ramai-ramai yang ada disitu ada anak peneroka datang demi  membela arwah bapa mereka yang diperkuda oleh FELDA mahupun FELCRA.

Mungkin juga yang datang bagi mengubah nasib mereka dan anak cucu mereka nanti di Gebeng yang tidak dihiraukan oleh aparat pemerintah yang hanya melihat keuntungan dengan alasan meningkatkan ekonomi rakyat, padahal impilikasi yang ditanggung adalah rakyat, bukan kalangan pemerintah yang bersenang di mahligai indah mereka.

Seribu satu macam alasan yang boleh dikutip dari para demonstran yang hadir, yang muncul entah dari mana setelah pelbagai provokasi dan sekatan yang akhirnya berjaya ditembusi mereka, namun matlamat kami adalah sama, matlamat kami adalah satu, kami ingin melihat hegemoni yang telah lama mengkhianati amanah rakyat ini ditumbangkan melalui demokrasi yang adil.

Cerita ini mungkin tidak akan ditulis di dalam buku-buku sejarah, pelajar-pelajar tidak akan dihidangkan dengan kisah perjuangan rakyat, mereka hanya akan tahu kisah-kisah heroic aparat pemerintah yang penuh dengan rasisme seperti buku Interlok, kerana itulah saya akan terus bercerita kisah ini 10,20,30 tahun kedepan untuk didengari paling kurang anak, cucu dan cicit saya sendiri.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s