Bersama Pejuang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

Bismillahirrahmaanirrahim

Tanggal 11/9 mungkin ramai warga Amerika yang berduka mengenang kembali tragedi serangan WTC yang berlaku beberapa tahun yang lalu, namun berbeza bagi saya, tanggal ini penuh sejarah dan amat bermakna, sebagai anak bangsa Malaya, saya lebih kenal sejarah bumi tercinta dari pejuang nasionalis kiri yang masih hidup Zainuddin Andika atau panggilan mesranya Pak Din Andika bermula tarikh ini.

Hikmah yang amat besar bercuti raya selama seminggu terawal syawal di Dungun, jika satu minggu terawal itu saya habiskan di Kuala Kangsar, sudah tentu minggu ini saya tak kan bertemu dengan Pak Din, terima kasih juga buat isteri saya kerana memperkenalkan saya dengan Pak Din.

Saya juga tak kan melupakan Abang Mat Sabu kerana kritis membaca sejarah, saya memang suka pemikiran kritis seperti Kassim Ahmad, Hishamuddin Rais, Mat Sabu, Dr Farish Nor dan beberapa tokoh lain lagi, pemikiran kritis saya lihat melahirkan banyak idea baru dan segar mengikut zaman, bangsa yang kritis tidak akan mudah disuap seperti seperti ‘ayam daging’ yang tak ada perasaan melihat pisau di depan mata.

Awal pagi saya dapat panggilan telefon dari Yong (Kakak isteri saya) menjemput kami ke rumah beliau untuk sarapan, alang-alang keluar rumah kami terus menuju ke rumah Pak Din, saya sebenar buntu nak tanya apa bila berhadapan Pak Din, niat dihati hanya sekadar nak bergambar.

Kami disambut oleh menantu Pak Din di bengkel beliau, disitulah Pak Din mencurahkan ilmunya setelah lama belajar bertukang di dalam penjara, Pak Din bukan sahaja pandai bertukang beliau juga pernah dicatatkan dalam Guiness World Book Of Record kerana Berjaya menghasilkan kompang paling banyak di dunia, sehingga kini rekodnya itu belum ada orang memcahkannya.

Saya bersalaman dengan Pak Din, soalan pertama yang saya lontarkan kepada beliau, “betul ke Pak Din ahli PKMM”, soalan itu tidak mengundang kepada soalan kedua, kami biarkan Pak Din mengisahkan keterlibatan beliau dalam PKMM di Kuala Kangsar khususnya bergerak aktif di Padang Rengas, walau sudah dimamah usia, Pak Din bersemangat meneruskan ceritanya.

Banyak-banyak yang diceritakan, saya tertarik dengan kisah pemberontakan yang akan mereka lancarkan pada masa itu, kata Pak Din dia dan rakan-rakan yang lain dapat berita yang ahli-ahli PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin sudah ramai ditangkap, antaranya di Selangor, Pahang dan lain-lain tempat lagi, mereka juga menjangka mereka tidak lama boleh bertahan, sudah tentu British akan mengambil tindakan.

Alang-alang begitu, mereka nekad akan melancarkan pemberontakan bermula di Padang Rengas dengan menyerang estet-estet Inggeris yang dikawal oleh mata-mata Melayu yang bekerja dengan Inggeris, perancangan rapi diatur, mereka memfokuskan gudang-gudang senjata milik British harus dikuasai dan membawa keluar senjata-senjata tersebut.

Pak Din dan rakan-rakan yang lain mengarahkan anak-anak muda kampong agar berkhidmat dengan British menjadi mata-mata menjaga estet-estet, namun tujuan asal adalah mencuri senjata-senjata dari gudang British, tambah Pak Din senjata yang dapat dikumpul memang banyak, dan pemberontakan bersenjata memang akan meletus bila-bila masa.

Panas bukan sampai ke petang, seawal subuh, rumah-rumah yang dicop sebagai penggerak kepada mobilisasi anak muda di Kuala Kangsar diserebu dan mereka semua ditangkap, termasuklah Pak Din yang mana akhirnya dia ditahan selama 4 tahun lebih, pemberontakan tidak Berjaya diteruskan ekoran penangkapan besar-besaran yang dilakukan British.

Saya cukup teruja mendengar cerita dari Pak Din, sebagai orang muda saya malu menumpang tanah air  yang diperjuangkan dengan air mata dan darah pejuang-pejuang terdahulu, mungkin semangat ini bisa menjadi pengobar saya untuk menentang habis-habisan saki baki penjajah yang masih berleluasa di bumi tercinta Malaya ini.

Wallahu Ta’ala A’lam

(Cerita Pak Din boleh ditonton di sini : http://www.youtube.com/watch?v=sNZzZlVgWxY )

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s