Jangan Beretorik Lagi

Bismillahirrahmaanirrahim

Peristiwa yang berlaku di Syria dan Myanmar sekarang menjadi berita paling hangat. Paling teruk mereka yang terlibat ialah umat Islam. Mereka dibunuh, diskriminasi dan dihalau dari kampung halaman mereka.

Kejadian-kejadian ini membuktikan umat Islam sangat lemah. OIC yang dianggotai oleh negara-negara Islam tidak mampu melakukan apa-apa kecuali sekadar melihat dan menyatakan ketidak setujuan mereka.

Ini sangat menyalahi ayat al-Quran yang menggambarkan umat Islam adalah sebaik-baik umat. Masakan sebaik-baik umat ditindas, dihina, dicerca, diperlakukan sesuka hati oleh orang lain begitu rupa. Ini adalah selemah-lemah umat.

Ramai dikalangan umat Islam melaungkan “ Islam jalan penyelesaian “, “Kembalikan khalifah”, “Kembali kepada al-Quran dan sunnah” dan banyak lagi laungan-laungan yang bersifat retorik. Penulis katakan ia bersifat retorik kerana, ada di antara gerakan Islam apabila diberi tampuk pemerintahan mereka gagal melaksanakan dengan baik dan ditolak oleh rakyat.

Sepertimana isu atlet muslim yang beraksi di Olimpik. Adakah mereka dibenarkan berbuka atau perlu terus berpuasa. Sebagai atlet sudah tentu mereka menagih satu solusi kepada permasalahan ini. Setelah beberapa mufti di Malaysia mengeluarkan fatwa mereka, ramai dikalangan ahli gerakan Islam yang bersikap sinikal dengan fatwa tersebut. Menyedihkan kebanyakan mereka adalah dikalangan orang agama dalam gerakan Islam.

Tidakah mereka tahu bagi mufti jika salah fatwa mereka sekalipun satu pahala sudah dijanjikan. Tetapi dengan sikap menghina dan melabel mufti tersebut sebagai ulama kerajaan dan sebagainya sudah menambah dosa di dalam kantung mereka.

Jika sikap seperti ini dipegang oleh kebanyakan ahli dalam gerakan Islam, berapa ramai dikalangan rakyat sanggup menerima gerakan Islam memimpin mereka. Gerakan Islam dilihat sampai bila-bila di posisi pembangkang. Gerakan Islam juga dilihat anti kepada atlet kerana mempertikai solusi buat mereka. Gerakan Islam dilihat tidak mesra rakyat kerana sentiasa menafikan kebenaran dengan akhlak negatif yang datang dari musuh mereka.

Sikap-sikap inilah sentiasa menafikan hak Islam itu untuk bangkit dan diterima ramai. Bukan silap pada Islam, Islam itu suci. Silap pada manusia yang tidak faham sejelasnya apa itu Islam. Membawa Islam dengan cara mereka yang tidak jelas itu sebenarnya memadamkan cahaya Islam.

Pemikiran ini kembali kepada sistem pendidikan yang ada dalam dunia umat Islam. Seperti al-Azhar Mesir, pendidikan nya dilihat beku. Jika ada pemikiran baru yang ingin terbit menerusi dunia akademik, penjaga-penjaga tua akan mencabut tunasnya sebelum sebelum ia mempunyai peluang mengakar (Zaid, 2009: 221). Perkara ini bukan sahaja berlaku di Mesir, malah kebanyakan dunia Islam.

Pendidikan nya adalah syarahan kepada apa yang telah diajar sejak berkurun-kurun yang lepas. Tiada penemuan baru. Apa yang baru hanya lah bahasa yang diolah lebih moden berbanding yang lama. Apabila ada usaha mengharmonikan antara dunia moden dan nilai-nilai spiritual dalam agama ia pasti ditolak kerana luar dari legasi pemikiran penjaga-penjaga tua ini.

Baru-baru ini, cadangan meletakkan pimpinan tertinggi dari kalangan bukan Islam dalam sebuah gerakan Islam. Idea ini mendapat reaksi keras dari golongan konservatif dalam gerakan Islam. Sepertimana biasa, mereka akan mula dengan penghinaan dan cercaan. Sikap yang merugikan gerakan Islam. Kemudian menyusul tulisan ilmiah menolak idea tersebut.

Sepanjang isu itu berlangsung, penulis hanya mendapati satu tulisan sahaja yang dihasilkan, ia bersikap ilmiah, dari pelbagai rujukan dan kata-kata ulama muktabar namun rujukan-rujukan si penulis adalah dari abad pertengahan Islam. Bagaimana keadaan sistem yang lama (monarki) menolak idea dalam sistem moden (demokrasi).

Tidak semua nya silap dalam tulisan tersebut cuma, ia sangat lemah untuk menolak idea masakini. Penulisan tersebut hanya menyalin semula pendapat-pendapat zaman lampau dan membuat kesimpulan yang sudah dijangka. Inilah kesan daripada sistem pendidikan beku tadi. Ia menghasilkan penulis beku yang membuat kesimpulan dari masa lampau untuk dunia sekarang. Sangat tidak sesuai.

Kesimpulannya, menyeru kembali kepada Islam atau Islam sahaja penyelesaian nya tak semudah yang diucap. Persoalannya bagaimana ingin mengembalikan kegemilangan Islam dengan sikap konservatif yang diamalkan, bukan sahaja menjauhkan bukan muslim malah orang Islam itu sendiri. Islam tidak akan mampu bergerak jauh jika dipimpin dengan sikap taqlid. Perlu reformasi dan tajdid.

Wallahu ta’ala a’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s