Hassan al-Banna dan Kemodenan


Bismillahirrahmaanirrahim

Pengasas

Imam Hassan al-Banna pengasas Ikhwan Muslimin. Setelah menamatkan pengajian, Beliau bertugas sebagai seorang guru. Beliau bercita-cita dan bersemangat menjadi guru kerana melihat profesyen tersebut sebagai peluang menyebarkan fikrah beliau kepada masyarakat. Sebelum menamatkan pengajian lagi, Assyahid sudah bergiat dalam pertubuhan Jama’atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah. Ketika dalam pertubuhan inilah beliau mengenali para pejuang reformis yang lain seperti Rashid Reda, Muhibbudin al-Khatib dan Farid Wajdi.

Dengan semangat menentang imprealis barat yang menjajah tanah airnya, beliau telah menubuhkan Jamaah Ikhwan Muslimin ketika berusia 23 tahun pada 1928. Jemaah Ikhwan pada masa itu menumpukan aspek dakwah kepada masyarakat dengan tujuan menyedarkan masyarakat tentang hakikat penjajahan. Penjajahan barat dilihat oleh Imam Hasan al-Banna sebagai punca kepada kerosakan umat Islam pada masa itu.

Kemunduran Islam

Sepertimana yang telah disebut, Imam Hasan al-Banna meletakkan punca kepada kelemahan dan kemunduran umat Islam adalah kerana penjajahan ataupun imprealisme barat keatas negara umat Islam. Assyahid juga meletakkan golongan pemimpin umat Islam yang berpendidikan barat sebagai sasaran kritikan.

Golongan berpendidikan barat dilihat tidak membantu umat dan agama Islam. Mereka lebih lunak bersama penjajah. Kelunakan bersama penjajah itu membuka ruang kepada mereka memegang tampuk kepimpinan. Walaupun mereka berjaya memegang jawatan-jawatan penting dalam kepimpinan negara,  mereka tetap tidak bebas menetapkan keputusan dan nasib sendiri.

Imam Hasan al-Banna juga melihat umat Islam telah dirasuk oleh budaya-budaya barat yang merosakkan umat Islam. Mereka mula mengamalkan cara hidup seperti barat. Samada dari sudut kehidupan, pakaian malah cara makan. Ini menggambarkan betapa seriusnya umat Islam ketika itu menerima barat dalam kehidupan mereka. . Keadaan inilah yang menguatkan Assyahid untuk berjuang mendaulatkan Islam.

Hujah

Hujah Assyahid menentang dua kelompok ini, khususnya pemimpin umat Islam, dikuatkan dengan kegagalan negara-negara arab dalam perang arab-Israel. Kegagalan ini dilihat sebagai kegagalan sistem sekular mahupun sosialis yang banyak digunapakai oleh negara-negara arab pada masa itu. Selain itu, ditambah lagi masalah pengangguran dan kemiskinan yang tidak dapat diselesaikan oleh pemimpin umat Islam ini. Isu-isu ini dijadikan hujah oleh Ikhwan menentang golonga sekularis dan sosialis yang dianggap boneka barat.

Pemikiran

Walaupun Assyahid dillihat menentang barat dan sekutunya (pemimpin Islam yang berpendidikan barat), beliau tetap relevan dalam menerima sesuatu yang bermanfaat daripada barat. Pemikiran beliau menurut John L.Esposito ialah memodenkan Islam dengan memberi tafsiran moden atau merumuskan semula Islam untuk menghidupkan semula masyarakat dari segi agama dan sosiopolitik (Esposito, 2008 :186).

Formula ataupun bentuk pemikiran yang digunakan oleh Assyahid ialah dengan melihat sumber Islam dahulu kemudian disesuaikan dengan kemodenan masakini. Cara ini berbeza dari golongan modenis yang lebih mendahulukan kemodenan kemudian baru mencari kesesuaian antara kemodenan dan agama Islam. Jelas di sini, Assyahid menentang pembaratan tetapi tidak menolak kemodenan malah memanfaatinya.

Tulisan Sebagai Cara

Imam Assyahid juga berpandangan luas. Beliau cuba membawa bahawa Islam ini meliputi pelbagai aspek. Assyahid membuka minda masyarakat yang dilihat masih lagi dibelenggu dengan pemikiran tradisionalis. Antara metod yang digunakan ialah melalui penulisan di akhbar, menerbitkan buku dan makalah-makalah tertentu dan juga siri-siri kuliah beliau. Bagi menggambarkan keluasan Islam, Assyahid menulis dan membicarakan topik-topik besar seperti ekonomi, politik, hak asasi manusia dan hubungan antara Islam dan negara.

Ikhwan Sebagai Alternatif

Setelah pengaruh Ikhwan mula tersebar dan diterima oleh masyarakat. Timbul persepsi yang mana Ikhwan adalah alternatif kepada sistem kapitalis sekular dan sosialis marxis yang sedia ada pasa masa itu. Persepsi ini timbul kerana melihat kegagalan demi kegagalan yang menimpa negara yang dipimpin oleh golongan sekular. Keadaan ini memberi peluang kepada Ikhwan menonjolkan kekuatan dan menawarkan peluang kepada masyarakat memilih mereka memimpin negara. Pada tahap ini, Ikhwan sudah dianggap telah menggugat status-quo yang dipegang oleh pemerintah.

Kesimpulan

Imam Hasan al-Banna boleh dianggap sebagai tokoh yang bijak dan berkaliber dalam memimpin umat. Kehebatan beliau jelas dilihat dari hasil kesedaran di kalangan masyarakat menolak imprealisme. Imprealisme dilihat oleh Assyahid tidak terhenti kepada menentang penjajahan luar sahaja tetapi, perjuangan menolak imprealisme dalaman juga adalah menjadi keutamaan beliau.

Assyahid sangat jelas dari sudut pemikirannya. Tidak dibelenggu dengan sifat jumud dan taklid. Buktinya, beliau juga memanfaatkan kemodenan yang dibawa oleh barat demi kepentingan umat Islam. Assyahid menyedari dan mengakui bahawa antara kelemahan umat Islam ialah tidak menguasai teknologi ataupun ilmu duniawi. Keseimbangan antara sunnatullah dan syariatullah tidak wujud dikalangan umat Islam. Kerana itulah antara saranan beliau ialah mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat demi kepentingan umat dan agama Islam.

Bagi membangkitkan kesedaran-kesedaran ini, Assyahid menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin seperti, penerbitan buku, tulisan-tulisan di akhbar, ceramah, kuliah-kuliah dan penubuhan Ikhwan itu sendiri. Melalui cara yang disebutkan ini, pemikiran beliau dapat disebar dan difahami oleh semua masyarakat. Secara tidak langsung telah membangkitkan semangat dikalangan umat Islam untuk bebas dari belenggu penjajahan.

Wallahu ta’ala a’lam

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s