Deepavali Bukan Untuk Kaum India

Pendahuluan

Setelah 55 tahun merdeka, Malaysia menghadapi pelbagai cubaan, mehnah dan tribulasi. Sementelah Negara ini menuju sebuah Negara maju, masalah datang dari segenap penjuru, dalam mahupun luar Negara oleh itu, sangat-sangat dituntut pada setiap rakyat nya bersedia dan matang sesuai dengan label Negara maju nanti.

Malaysia diduduki oleh pelbagai lapisan masyarakat. Majoriti nya adalah dari kalangan Melayu, Cina dan India, selebihnya adalah kaum minoriti di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Sebuah Negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti ini tidak lain tidak bukan perlu persefahaman yang tinggi di antara mereka.

Namun, setelah sekian lama merdeka, tahap persefahaman di antara kaum masih boleh dipertikai dan belum memuaskan[1]. Perpaduan antara kaum sukar wujud jika persefahaman di antara mereka tidak wujud. Proses menuju Negara maju sudah pasti terbantut jika masyarakatnya tidak disatukan.

Isu perpaduan kaum bukan isu kecil, ia sebuah isu besar yang mana jika gagal difahami, diuruskan dan diatasi dengan baik ia bakal mengundang petaka besar yang pernah kita lalui pada tanggal 13 Mei 1969 yang lalu. Tulisan ini diharap mampu membuka minda pembaca kepada punca  seterusnya mengorak jalan penyelesaian yang difikirkan sesuai.

Kisah Penulis

Penulis adalah graduan dari Morocco. Sepanjang 4 tahun menuntut ilmu disana, pelbagai pengalaman berharga yang tidak ternilai harganya. Antaranya, penulis pernah berjalan pada suatu hari bersama seorang sahabat, kami disapa oleh seorang pelajar sekolah rendah, pelajar ini bertanyakan adakah kami orang cina?. Kami jelaskan kepada beliau yang kami adalah orang Malaysia. Pelajar ini terus bertanya, adakah kami kafir? Sahabat saya menjawab dengan bertanyakan soalan, adakah dengan berjanggut seperti salafi, berjubah dan berkopiah seperti ini, kami masih dianggap kafir?. Pelajar ini pening untuk menjawab.

Penulis sedar, dalam pemikiran kebanyakan masyarakat Morocco, orang Asia semuanya adalah kafir. Bagi kami, soalan seperti itu menimbulkan kemarahan dan sakit hati. Tetapi tiada tindakan fizikal yang pernah kami lakukan memandangkan kami faham kondisi masyarakat mereka yang jauh ketinggalan dari sudut pendidikan mengenai bangsa-bangsa lain yang ada di dunia ini. Kisah yang pernah dialami penulis ini boleh dijadikan contoh tahap pendidikan, ilmu ataupun pendedahan yang rendah boleh menimbulkan jurang yang besar dan pertelingkahan antara kaum.

Kaum India di Malaysia

Kaum India di Malaysia kebanyakan mereka berasal dari Selatan India dari Negeri Tamil Nadu. Mereka terdiri dari orang Malayalee dan Telugu[2]. Seperti mana juga orang Melayu, terdiri dari orang Jawa, Banjar, Bugis dan lain-lain. Kebanyakan mereka adalah beragama Hindu. Oleh kerana majoriti di Malaysia Kaum India menganut agama Hindu, timbul persepsi orang India itu pasti nya Hindu. Hakikat nya tidak semua kaum India menganut Hinduisme, ada yang beragama Kristian dan Buddha.

Persepsi ini silap, persepsi ini menjuruskan sifat pukul rata di kalangan masyarakat. Persepsi ini juga timbul di kalangan non-malay terhadap Bangsa Melayu. Penulis melihat persepsi ini menjadi dogma yang menghalang masyarakat non-malay mendekati Islam kerana mereka menganggap Islam itu dikhususkan kepada orang Melayu sahaja.

Satu contoh kesan dari sifat pukul rata ialah, penulis pernah diadukan tentang sebuah program wacana dipaksa agar dibatalkan. Alasan nya kerana panelis tidak sehaluan dengan kumpulan disitu dan punya pemikiran dari kumpulan lain. Sedangkan isu yang dibincangkan tiada kaitan dengan perbezaan kumpulan. Persepsi yang menganggap kumpulan lain adalah musuh telah menghalang untuk mereka duduk bersama walaupun memberi manfaat kepada ramai orang.

Punca

Punca kepada masalah ini penulis datangkan dua iaitu :

Pertama : Kurang ilmu. Masyarakat tidak didedahkan dengan kaum lain. Kerajaan Malaysia, selepas tragedi 13 Mei telah cuba mendekatkan jurang antara kaum di Malaysia. Antara usaha yang diperkenalkan ialah sekolah kebangsaan. Usaha ini sangat bagus Cuma, perlu ada penambahbaikan seperti memperkenalkan silibus yang melibatkan pemahaman semua kaum. Pengalaman penulis sebagai guru selama ini masih tidak ada silibus seperti itu.

Kedua : Kegagalan memahami isu. Seperti isu persaingan antara dua parti politik dalam isu pentadbiran Negara. Khilaf di antara mereka tidak menafikan hak persaudaraan sesama Islam seperti ziarah-menziarahi dan sebagainya. Namun, masih ada yang membawa perbezaan dalam isu urus tadbir Negara tadi hingga ke peringkat peribadi. Sampai ada yang sanggup mengharamkan sembelihan musuh politik mereka yang mana tiada kaitan langsung dengan isu politik.

Berpunca dari kurang ilmu membawa kepada kegagalan memahami isu yang berlaku. Seterusnya membawa kepada sifat pukul rata dan akhirnya berlaku perbalahan, pergaduhan dan pertumpahan darah.

Penyelesaian

Perkara asas kepada penyelesaian isu ini ialah ilmu. Masyarakat perlu diberi ilmu tentang kaum-kaum yang wujud di Malaysia ini. Berdasarkan ilmu tadi sudah pasti akan terbit kesedaran di kalangan masyarakat untuk menjaga keamanan dan semangat cintakan Negara ini. Masyarakat juga perlu berfikiran matang, matang yang dimaksudkan disini ialah, tidak mudah terpengaruh dengan emosi dan sentimen-sentimen yang boleh memecah belahkan kesatuan masyarakat, rakyat perlu bijak menilai isu apa sebenarnya yang dimainkan. Seperti di sesetengah Negara maju, rakyatnya akan memilih perwakilan yang mampu mengurus tadbir Negara dengan baik, mereka tidak memilih di atas sentimen ras warna kulit ataupun bangsa apa dia, juga bukan atas dasar budi yang pernah ditaburkan. Berbeza di Negara kita, masih ramai yang memilih YB mereka atas dasar bangsa dan agama, tidak kiralah mereka itu pernah mempunyai rekod buruk dan tidak mampu menjalankan kerja yang penting bangsa aku ataupun agama aku. Marilah kita sama-sama menuju Negara maju dengan pemikiran yang maju juga.

Kesimpulannya, Deepavali bukan untuk kaum India sahaja, kerana tidak semua kaum India beragama Hindu. Deepavali adalah untuk penganut Hinduisme, tidak kira dia Melayu, Cina, India, Mat Saleh dan lain-lain lagi. Begitu juga Hari Raya, bukan untuk Melayu sahaja, juga untuk bangsa-bangsa lain yang beragama Islam. Memahami isu sebenar menegah kita dari bersifat pukul rata. Selamat Hari Deepavali untuk penganut Hindu.

Wallahu ta’ala A’lam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s