Gerakan Modenisme Islam : 2

Image

Pendahuluan

Pada tulisan yang lepas kita sudah melihat definisi, sejarah kemunculan dan reaksi umat Islam terhadap modenisme. Kali ini kita akan menilai sejauhmana tokoh-tokoh Islam mengaplikasikan modenisme sehingga dianggap sesat dan terkeluar dari landasan Islam. Adakah benar begitu? Penulis akan cuba merungkai permasalahan ini dalam tulisan kali ini.

Al- Afghani : Father of Islamic Modenism

Antara tokoh modenis Islam ialah Al-Afghani dan Abduh (Jaffary Awang, Kamaruddin Salleh, 2007), malah Al-Afghani digelar father of Islamic modernism (Ibrahim Kalin, t.th.) . Beliau atau nama sebenarnya Sayyid Jamaluddin al-Afghani atau Sayyid Jamaluddin Asadabadi[1] mula mendapat pendidikan awal di sekolah tempatan ketika berumur lima hingga sepuluh tahun. Apabila umurnya mencapai usia lapan belas tahun, beliau telahpun habis belajar secara praktikal keseluruhan tahap pendidikan Islam. Beliau juga menguasai pelbagai bahasa seperti Afghan, Parsi, Turki, Arab, Perancis, Inggeris dan juga Rusia (Azman Md Zain, Mahyuddin Abu Bakar, 2007). Berdasarkan tulisan mereka lagi, Al-Afghani merupakan seorang pengembara yang hebat. Beliau telah melawat banyak negara-negara di Asia dan Eropah. Pengembaraan telah membuka minda dan mematangkan diri beliau tentang kedudukan umat Islam. Pengalaman yang luas telah membentuk pemikiran Al-Afghani. Antara pemikiran beliau ialah anti-imprealisme, pan-Islamisme dan seruan kepada kebangkitan umat dengan menguasai ilmu-ilmu sains dan teknologi.

Pemikiran kemodenan Al-Afghani boleh disimpulkan sepertimana yang disebut oleh Esposito katanya, bagi Al-Afghani, matlamat untuk menggerakkan semula masyarakat yang dikuasai tidak mungkin tercapai hanya sekadar dengan bersikap tidak mempedulikan atau menolak Barat tetapi dapat dicapai dengan berhadapan dan berkonfrontasi secara aktif (Esposito, John L, 2008). Apa yang difahami dari kesimpulan ini, Al-Afghani bukan seorang tradisionalis yang menolak keseluruhannya dari barat, beliau juga bukan seorang yang menerima secara total apa yang datang daripada barat, hal ini berdasarkan ayat ‘berkonfrontasi secara aktif’ yang menggambarkan usaha menerima dan memanfaatkan sumber daripada barat dengan selektif ataupun berhati-hati. Usaha ataupun cara yang dilakukan ini diharapkan mampu mengeluarkan umat Islam dari terus bergantung dengan kuasa penjajah.

Muhammad Abduh : Sheikhul Azhar yang Kritis

Muhammad Abduh pula merupakan pengasas dimensi reformasi intelektual dan sosial modenisme Islam (Esposito, John L, 2008). Beliau yang lahir dan mendapat pendidikan di Mesir telah bersama-sama dengan Jamaluddin al-Afghani menggerakkan usaha menentang imprealisme di bumi umat Islam. Beliau merupakan murid Al-Afghani yang paling menonjol.  Abduh percaya bahawa pendidikan adalah jalan terbaik merealisasikan matlamat mereformasi bangsa Mesir dan umat Islam dari kemunduran kepada kemajuan (Anon, 2012). Pemikiran beliau ini dipengaruhi dari gurunya sendiri al-Afghani walaupun pendekatan yang digunapakai mereka berbeza. Abduh dilihat lebih menumpukan dalam bidang pendidikan manakala al-Afghani memberi penekanan dari sudut politik umat Islam. Namun tujuan kedua-dua mereka tetap sama iaitu memberi kesedaran umat Islam dari terus dikongkong imprealisme barat.

Pemikiran dan sifat Abduh mengenai kemodenan boleh dilihat dari kritikan beliau kepada beberapa isu dalam Islam. Sepertimana kritikan beliau terhadap isu poligami, beliau menyangkal amalan poligami pada masa itu kerana dianggap tidak sesuai dan berbeza dengan zaman Rasulullah. Seruan sebenar Islam dalam al-Quran adalah monogami (Esposito, John L, 2008). Alasan Abduh ini banyak digunapakai oleh aktivis yang menolak poligami dalam Islam. Dari pandangan beliau, Abduh menonjolkan dirinya sebagai muslim yang kritis terhadap agama. Tidak bersifat taqlid dan mendatangkan tafsiran-tafsiran baru yang dianggap sesuai dengan zaman dan keadaan pada masa itu. Sikap ini menyamai golongan modenis barat yang juga bersikap kritikal terhadap agama mereka namun, Abduh kekal relevan sepertimana al-Afghani yang menerima secara selektif sikap, pemikiran dan teknologi barat yang dianggap sesuai dengan Islam.

Sikap kritikal beliau ini disokong dengan amalan pendidikan yang diperkenalkan ketika menjawat jawatan Sheikhul Azhar. Beliau merombak sistem persekolahan dan pengajaran dan memperkenalkan subjek humanis, falsafah, sejarah dan mewajibkan mata pelajaran sains di kuliah (Nabil Ahmad, 2012) Perubahan pendidikan yang dibawa Abduh ini mencetuskan pemikiran Islah dikalangan penuntut di Al-Azhar. Abduh memanfaat sepenuhnya kedudukannya sebagai Sheikul Azhar bagi merealisasikan pendekatan dan cita-cita beliau memberi solusi kepada permasalahan umat Islam melalui pendidikan.

Kesimpulan

Kedua-dua tokoh ini menyedari kelemahan yang dialami umat Islam. Mereka mengunjurkan solusi yang dianggap sesuai bagi mengatasi kelemahan yang melanda umat Islam. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut, dalam menyelesaikan masalah umat Islam, kita wajib memahami keadaan zaman yang sedang kita tempuh sekarang ini secara terperinci, benar dan mendalam. Kerana, jika kita tidak mengerti dan tidak mengenal “wajah zaman” kini dengan sebenar dan mendalam, maka  akan mengakibatkan terjadinya perkara yang sangat buruk, seperti seorang pakar perubatan yang mencadangkan ubat yang mahal untuk untuk seorang pesakit, namun dia tidak melakukan pemeriksaan dan diagnose yang teliti dan benar kepada pesakitnya terlebih dahulu. Boleh jadi ubat tersebut boleh menambah buruk keadaan si pesakit atau juga menyebabkan kematian (al-Qaradhawi, 1999). Al-Afghani dan Abduh dilihat berjaya membaca dan memahami keadaan yang berlaku kepada umat Islam pada masa itu seterusnya menawarkan penyelesaian yang terbaik.

Wallahu ta’ala A’lam


[1] Asadabad adalah tempat kelahiran beliau, namun terdapat perselisihan tempat sebenar kelahiran al-Afghani, perkara tersebut boleh dirujuk dalam artikel Jurnal Pengajian Umum Bil.8 dibawah tajuk Pemikiran Politik Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s