Muktamar PAS 2015 : Kempen Terkotor

Bismillahirrahmaanirrahim

Tidak dinafikan apabila wujud pertandingan ataupun pemilihan maka wujudlah lobi melobi. Dalam mana-mana organisasi perkara ini adalah normal. Cuma bentuk lobi yang bagaimana menjadi pilihan?

Kali ini kita disaksikan dengan lobi yang paling kotor dalam sejarah PAS. Belum pernah calon-calon yang layak bertanding kerusi kepimpinan PAS dihina sebegini rupa.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat difitnah / dihina dengan gambar beliau bersama seorang aktivis Rara. Gambar tersebut dikatakan Suhaizan bersentuh / ikhitlat dengan Rara. Pada penulis, kalaulah betul sekalipun, bagi sebuah gerakan Islam tidak patut ada ahli yang berakhlak seperti itu. Ia tidak kurang seperti “matlamat menghalalkan cara”.

Begitu juga nasib Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Gambar beliau bersama Raja Petra di UK telah dimanipulasi sebagai bersekongkol dengan kelompok liberal. Jika penulis seorang aktivis atau pendokong gerakan Islam PAS ini, penulis dapat bayangkan betapa kecewa dan sedihnya melihat suasana dan keadaan yang amat kotor yang berlaku di dalam PAS masakini.

Wallahu ta’ala a’lam.

Advertisements

PRK Permatang Pauh

Selepas penyandang Parlimen Permatang Pauh Dato Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara atas pertuduhan meliwat maka kerusi tersebut terpaksa dikosongkan dan kini PRK terpaksa diadakan.

Setelah PKR mengumumkan calon yang bertanding adalah Datin Seri Wan Azizah, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang telah mengejutkan suasana politik Malaysia dengan pengumuman memboikot PRK Permatang Pauh dan tidak ada jentera yang akan bertugas atas alasan sikap biadap AMK Pulau Pinang kepada presiden PAS.

Campur tangan PAS Pusat berjaya meredakan seketika ketegangan yang berlaku. Arahan pusat mengarahkan supaya sebahagian jentera PAS membantu memenangkan calon PKR yang bertanding di Permatang Pauh.

Episod ketegangan ini nampaknya tidak berhenti setakat ini, usai solat jumaat yang lepas, sebahagian kecil ahli PAS kawasan Permatang Pauh melancarkan demostrasi bagi mendesak pihak PKR memohon maaf di atas kebiadapan mereka kepada Presiden PAS.

Suasana ini dilihat mampu mengurangkan peratus kemenangan PKR dalam PRK kali ini. Kemungkinan besar, akan berlaku protes senyap daripada ahli-ahli PAS di kawasan terbabit samada dalam bentuk undi rosak atau tidak keluar mengundi.

Wallahu ta’ala a’lam

Hudud Di Rompin

Pusingan terakhir bagi PRK Rompin memperlihatkan PAS menggunakan isu hudud sebagai peluru terakhir (http://www.malaysiakini.com/news/297184). Kurang 24 jam daripada sekarang, isu hudud menjadi pilihan menarik sokongan pengundi Rompin.

Isu yang ditonjolkan menjelaskan pendirian tegas PAS memperjuangkan hudud. Ketegasan ini mengukuhkan bahawa PAS memang benar-benar sebuah ‘gerakan Islam’. Bagi gerakan Islam yang terlibat dengan politik hanya dua isu besar yang membezakan mereka dengan parti-parti lain iaitu, i- Negara Islam, ii- Pelaksanaan Syariat Islam.

Maka pendekatan menarik pengundi dengan isu hudud memang sesuai sekali bagi PAS. Apakah juga sesuai bagi pengundi? Itu tidak penting memandangkan tugas menyampaikan bagi petugas/aktivis/amilin PAS sudah selesai. Manakala UMNO dilihat menggunakan umpan pembangunan dan kebajikan. UMNO menawarkan rumah murah kepada genarasi ke-2 dan ke-3 warga felda.

Selain isu hudud, PAS sebenarnya mampu memusatkan kekuatan kepada isu GST dan kebajikan warga felda memandangkan kedua isu ini adalah yang paling hangat pada masakini dan paling dekat dengan rakyat. Apa pun, selamat berjuang PAS di Rompin.

Wallahu ta’ala a’lam

PAS dan Muktamar 2015

Bismillahirrahmaanirrahim

Gerakan Islam PAS dilihat sedang bergolak. Apa pun nama dua blok yang sedang bertembung itu samada UG Vs Erdogan, Ulama Vs Profesional, Konservatif Vs Progresif atau lain-lain, pertembungan ini dilihat tidak pernah sepi di sepanjang sejarah PAS.

Kita sedia maklum, pertembungan blok ini akan timbul apabila pemilihan semula jawatan pimpinan pusat bakal berlangsung. Kumpulan yang berjaya menguasai peringkat akar umbi khususnya di peringkat cawangan dan kawasan mempunyai peluang cerah.

Sehingga kini, pencalonan dari kawasan dilihat jelas memihak kepada kumpulan pro-Ulama. Ini petanda dan peluang cerah kepada blok ulama dalam pemilihan kali ini. Apa pun ia terserah kepada kecerdikan perwakilan menentukan kemana hala tuju dan masa depan gerakan Islam PAS ingin dibawa.

Selamat Bermuktamar PAS.