Tajdid Pemikiran Ibadah : Solat

Bismillahirrahmaanirrahim

Solat salah satu daripada rukun Islam. Baginda Rasulullah menerima solat sebagai satu kurniaan daripada Allah buat umat Nabi Muhammad SAW ketika Isra’ dan Mikraj. Solat yang pada awalnya lima puluh rakaat akhirnya dikurungkan kepada lima waktu atas rahmat Allah.

Barangsiapa yang mengingkari pelaksanaan solat dengan sengaja maka dia dihukum murtad. Pelbagai balasan bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja berbeza mengikut mazhab. Apa pun balasannya amat berat.

Namun setelah 1400 tahun lebih berlalu fatrah kerasulan dan pensyariatan solat, roh, semangat dan kefahaman solat mula menyimpang dari kefahaman asal. Solat mula dilaksanakan sepertimana agama-agama lain yang juga terhakis kefahaman asas kepada ibadah tersebut.

Solat kini dilaksanakan sekadar menunaikannya atas suruhan agama. Solat dilaksanakan sekadar ritual agama. Ibadah solat dengan amalan ritual agama-agama lain tidak kurang bezanya. Amalan ibadah sudah tiada roh.

Allah menggambarkan implikasi solat ialah mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Namun kesan itu tidak dirasai di kalangan masyarakat Melayu Islam kita. Buang anak, dadah, dan banyak lagi yang tak perlu disenaraikan disini.

Analisa yang boleh dibuat samada ramai dikalangan ‘umat’  Islam ini tidak solat atau kemungkinan kedua yang sedang kita bincang ialah kefahaman umat berkaitan solat sudah pincang dari fundamental ajaran Islam.

Permasalahan inilah yang membawa pemikir umat membawa seruan tajdid apabila roh ibadah itu mula luntur atau terpesong dari landasan tujuan sebenarnya. Pemikiran umat ini telah dikecilkan skop pemahaman dalam ruang yang sangat kecil.

Pemahaman solat perlu melangkaui pandangan ia sekadar mentaati suruhan Allah atau ia sekadar memenuhi tuntutan agama. Pemahaman solat yang harus ada perlu punya sudut yang sangat luas dan global.

Solat berkeupayaan menyatukan umat. Solat menyatukan jiwa-jiwa yang berlainan bangsa. Solat menjadikan umat Islam professional bekerja. Solat menguatkan semangat umat menjadi maju apabila faham roh sebenar dari solat itu.

Asas nya bagaimana kita memandang ibadah solat dalam ruang dan konteks yang luas sehingga mampu membangun umat di dunia dan akhirat. Pandangan itu mampu dijana dengan kefahaman fundamental agama dan tuntutan semasa.

Begitulah kefahaman salaf yang tidak pernah memisahkan akhirat dan dunia sehingga mampu mencetuskan tamadun yang diingati sampai sekarang dalam lipatan sejarah. Sejauhmana kita nak mencapai itu bergantung sejauhmana kita berusaha memberi faham perkara ini kepada umat.

Wallahu ta’ala a’lam

Kekeliruan Umat

Bismillahirrahmaanirrahim

Ketika tamat perang dingin pun umat Islam masih lagi mencari solusi kepada kelemahan dan kemunduran mereka. Pada masa itu, barat membangun mencorak pembangunan material mereka.

Umat Islam seolah menghadapi kejutan seperti yang dialami oleh bangsa eropah era perang salib yang terkejut melihat dunia Islam. Begitulah umat Islam dewasa ini cuba menyaingi barat.

Namun amat sedih ketika umat ini cuba bangkit, masih ada yang belum mampu mengenal cabaran utama mereka. Mereka ‘tersesat’ dengan perkara kecil yang merugikan tenaga umat. Teringat penulis berkaitan aduan tahanan ISA kepada SUHAKAM berkaitan layanan buruk, makanan dan suasana penjara yang tidak nyaman, sedang masalah pokok yang wajib diajukan ialah membebaskan diri mereka yang ditahan dibawah tahanan ISA.

Penulis meletakkan kekeliruan ini kerana kecetekan ilmu sehingga gagal membaca perkara besar daripada perkara-perkara kecil. Antara bentuk kekeliruan masakini ialah gagal membezakan antara asas, prinsip dan dasar dengan pendekatan atau cara.

Jika perkara ini membuat kita bertelagah, mengatasi saingan utama kita adalah jauh sekali mencapai kejayaannya.

Wallahu ta’ala a’lam

Ideologi Semasa

Bismillahirrahmaanirrahim

Sepanjang melayari kehidupan selepas tamatnya sem 2 pengajian siswazah, saya banyak mengambil peluang membaca buku-buku yang saya tetapkan untuk dihabiskan dan saya pilih memberi kesan yang besar dari saya membaca buku-buku yang kurang memberi impak.

Sepanjang pembacaan, saya temui sesuatu yang baru, itulah perkara yang membuatkan saya berasa kurangnya ilmu apabila banyak perkara yang saya perolehi. Oleh kerana penumpuan pembacaan saya lebih kepada pemikiran, falsafah dan isu semasa maka, kesitulah perbincangan yang melingkari saya.

Beberapa pemikiran semasa yang saya temui yang mana jarang didengari oleh masharakat Malaysia yang agak kurang membaca. Pertama saya jumpa ideologi Wilsonisme dan kedua Libertarianisme. Kedua-dua pemikiran memberi kesan yang besar kepada masharakat, agama dan khususnya pentadbiran negara.

Apa yang saya bimbang ialah gerakan Islam di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia mengenai sejauhmana kepantasan kita menguasai isu-isu dan pemikiran seperti ini, sedang pemikiran atau ideologi ini menjadi pengamalan kepada negara. Tanpa memahami dan mendalaminya sudah pasti mudah dimanipulasi musuh.

Pemerkasaan dari sektor ilmu sangat penting dititik beratkan. Khususnya ilmu-ilmu semasa yang memberi gambaran kepada sebuah gerakan untuk bergerak dalam arus modenisasi dan globalisasi. Kita tidak mahu gerakan Islam dipandang dengan imej ketinggalan kerana kegagalan kita menguasai ilmu-ilmu semasa.

Kejayaan Rasulullah yang memberi imej yang yakin kepada masharakat pada masa itu adalah bukti bagaimana Baginda memahami tuntutan zaman pada masa itu. Itulah antara elemen penting yang harus diteladani gerakan Islam jika ingin mencapai kejayaan, kerana Islam itu bergerak dengan landasan Sunnatullah dan Syariatullah.

Wallahu ta’ala a’lam

Post Islamisme : Landasan Baru Gerakan Islam

Contoh idea post-islamisme yang baik

Moderetor : Dr Muhaimin Sulam

Ahli Panel : Prof Madya Badlisham

Ahli Panel : Prof Dato Dr Redzuan

Ahli Panel : Dr Maszlee Malik

Moderator Dr Muhaimin Sulam mengajukan soalan kepada ahli panel pertama Dr Mazslee mengenai  apa itu Post Islamisme.

Dr Mazslee agak tidak bersetuju istilah Post Islamisme yang digambarkan oleh penulis barat seolah-olah selepas post Islamisme maka berakhirlah fasa kebangkitan Islam.

Antara gambaran penulis barat mengenai Post Islamisme ialah seperti berakhirnya ideologi atau pendekatan salafi yang lebih menumpukan kepada perkara fundamental dalam agama kepada isu demokrasi, hak asasi, kebebasan bersuara dan beragama yang dianggap lebih lunak.

Dr Mazslee melanjutkan perbahasan mengenai perubahan-perubahan ini adalah perkara normal yang berlaku dalam mana-mana gerakan. Fenomena atau isu yang sedang berlaku pada zaman itu memberi kesan kepada perubahan pendekatan gerakan Islam.

Konsep atau prinsip tetap kekal, hanya pendekatan itu berubah dan diterima pakai selagimana tidak bertentangan dengan syariat. (Mereka yang tidak dapat membaca perubahan yang berlaku pada zaman mereka, sudah pasti akan menganggap gerakan Islam itu sudah lari dari prinsip perjuangan mereka, sedang mereka tidak dapat membeza antara prinsip dan pendekatan ; penulis).

Dr Mazslee membawa kronologi sedari pemerintahan Baginda Rasulullah sehingga fasa moden Rachid Ganouchi dan Tayyib Erdogan sebagai contoh kepada perubahan pendekatan yang berlaku kepada Gerakan Islam.

Dr Mazslee juga memperincikan kejayaan Ikhwan di Mesir dan AKP di Turki dengan pendekatan-pendekatan mereka yang jika dilihat dengan pandangan literal sudah pasti menganggap mereka menyimpang dari prinsip Islam. Hakikat politik adalah sukar untuk dibaca oleh golongan yang cetek bacaan politiknya apatah lagi jauh dari mendalami dan berpartisipasi dengan isu politik.

Dr Mazslee juga membawa contoh karya-karya politik yang berjaya diterjemahkan kepada realiti semasa dan mengikut zaman mereka seperti, Ummu al-Qura karangan al-Kawakibi kesinambungan dari karya asal Tabi’ al-Istidlal yang kini diaplikasikan oleh Ikhwan di Mesir.

Seterusnya ahli panel yang kedua, Prof Madya Badlisham meneruskan wacana dengan member penumpuan kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam Pas. Sejak Zaman Dato’ Asri sehingga kini.

Prof Bad mengketegorikan perubahan yang berlaku kepada Pas atas tiga faktor. Pertama, semangat melayu, kedua, dakwah dan ketiga, Post Islamisme.

Pendekatana Pas pasca kemerdekaan lebih menekankan isu Melayu dan kepentingan orang Melayu. Pimpinan Pas era Dr Zulkifli, Dr Burhanuddin Helmi dilihat berjaya membaca keutamaan yang harus dibawa pada masa itu.

Prof Bad kemudian membawa kepada era Dato’ Asri, dimana Dato’ Asri dianggap figur penting kepada proses penyatuan Pas dan Umno dalam kerajaan campuran pada masa itu. Prof Bad memuji Pas yang lebih awal mempraktikkan Power Sharing sedang Ikhwan dan beberapa gerakan Islam lain dunia baru mula mempelajarinya. (Penulis teringatkan TGHH terus ke Mesir saat PRU disana bakal berlangsung menasihati Ikhwan tentang Power Sharing).

Prof Bad menyatakan pendirian gerakan Islam masakini menjadi gugatan kepada barat khususnya Amerika yang menjadi kuasa besar imprealisme dunia kerana kesannya membuka mata masyarakat dunia (Muslim atau non-muslim). Gerakan Islam masakini bijak memanipulasi sistem barat sepertimana yang berjaya dilakukan seperti Ibnu Sina, al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Rusyd.

Seterusnya ahli panel ketiga,Prof Redzuan menyambung perbincangan dengan satu fakta yang agak mengejutkan hasil temubual beliau dan Mehdi Akiv, dimana Ikhwan menawarkan kepada kerajaan pemerintahan Hosni Mubarak tentang kerajaan campuran tetapi ditolak.

Ini menunjukkan Ikhwan berani melakukan perubahan-perubahan drastik yang dinilai mampu memberi manfaat buat umat Islam.

Prof Redzuan sebelum memaparkan hasil kajian, beliau menceritakan bagaimana persepsi masyarakat amat penting dalam menentukan kejayaan gerakan Islam. Beliau membawa contoh FIS di Alegria antara gerakan yang mengalami kemerosotan imej teruk dan sukar untuk pulih kerana terlibat dengan siri pembunuhan.

Sepertimana yang disebut oleh Prof Bad mengenai Power Sharing tadi, Prof Redzuan menambah antara kegagalan FIS juga ialah menafikan perkongsian kuasa dengan gerakan lain dimana mereka terkapai-kapai memenangi hati rakyat Algeria.

Seterusnya Prof Redzuan memaparkan kepada kami hasil kajian beliau mengenai persepsi masyarakat di tiga buah negeri, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak berkaitan persepsi mereka tentang hudud, Pas sebagai parti alternatif berbanding kerajaan memerintah dan persepsi mengikut jantina dan umur.

Pas sebagai alternatif di ketiga-tiga buah negeri mencatatkan keputusan yang memberangsangkan, slogan Pas Ganti Umno adalah wajar, releven dan harus diteruskan kempenan nya menurut sarana Prof Redzuan.

Persepsi tentang hudud pula mencatatkan peratusan tinggi dikalangan Melayu di ketiga-tiga negeri tetapi peratusan di kalangan Bangsa Cina sangat membimbangkan, oleh itu saranan agar Pas tidak menyentuh soal hudud dalam kempen mereka.

Mengikut jantina, lelaki lebih tinggi menyokong Pas berbanding wanita, kemungkinan Umno meletakkan calon wanita lebih ramai adalah tinggi.

(Penulis merumuskan perbincangan Post Islamisme pada malam itu menumpukan kepada perubahan pendekatan yang berlaku di dalam gerakan Islam dan sifir dunia politik bukan memberi bacaan hitam putih, seterusnya menuntut ketajaman figur-figur Islam dalam membaca suasana dunia).

Wallahu Ta’ala A’lam

Respon Umat Islam : Antara Modenis dan Fundementalis

Bismillahirrahmaanirrahim

Umat Islam mendapat gambaran yang buruk. Di peringkat antarabangsa kita dapat melihat kedudukan negara-negara termiskin adalah dari kalangan negara umat Islam, negara yang tidak selamat juga negara umat Islam, negara yang buruk pemerintahan juga negara umat Islam. Umat Islam dalam krisis.

Berbeza negara yang paling aman di dunia, negara paling kaya, negara yang terbaik pentadbiran dan pemerintahan (Good Governance) adalah negara barat. Negara yang kita label kafir dan kekal dalam api neraka. Benarlah ungkapan yang mengatakan “ aku dapati muslim yang tiada Islam nya di barat dan Islam yang tiada muslim di timur “.

Sedang umat ini sentiasa berdoa dalam doa mereka “ hasanah fi dunia, hasanah fi al-akhirah”. Namun realiti tidak membuktikan kedudukan kita hasanah fi dunia. Kita bimbang, belum tentu kita hasanah fi al-akhirah. Cukup merugikan.

Said Hawwa dalam karya beliau Jundullah Thaqafatan wa akhlaqan (2005) menyebut bahawa, umat Islam mendiami bumi yang banyak hasil mahsul dan bahan galian yang diperlukan oleh penduduk bumi. Seperti minyak mentah yang diperlukan oleh kebanyakan sektor, banyak di perut bumi negara-negara arab tetapi, amat menyedihkan apabila mengeksploitasi demi kegunaan sendiri pun kita terpaksa bergantung dengan teknologi luar.

Dr Abdul Hamid Abu Sulaiman (1994) memandang ini sebagai krisis yang dialami oleh umat Islam. Bagi Dr Khalif Muammar (t,t), rentetan keadaan ini akhirnya menimbulkan beberapa respon di kalangan umat Islam seperti, golongan traditionalis, modenis dan fundementalis.

Kemunduran umat Islam diketegorikan puncanya oleh Dr Khalif kepada dua, penjajahan dan keduanyakelemahan umat Islam dalam banyak sektor. Prof Naquib al-Attas lebih mendasar melihat kemunduran umat Islam berpunca daripada epistimologi ilmu. Kepincangan umat Islam dalam memahami ilmu seperti dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin dan Islam dan Sekularisme.

Setelah tamat era penjajahan, era kolonialisme, umat Islam kekal dengan kemunduran yang ditinggalkan penjajah. Umat Islam di ceruk dunia Islam mula memain peranan membaiki kedudukan yang naïf ini. Pelbagai solusi diaju dan diaplikasi. Bagi golongan modenis atau sekularis, kiblat mereka adalah barat. Mereka secara sengaja atau tidak telah diprogramkan dengan worldview barat. Ingin membaiki kemunduran dan kelemahan ini perlu diterapkan pengamalan atau budaya barat secara total sepertimana barat yang terbukti bangkit dari kelemahan mereka.

Namun penerapan ini terbukti gagal. Turki adalah contoh terbaik pengamalan budaya atau sistem barat secara total. Sepanjang dilaksanakan amalan barat di Turki tiada perubahan malah umat lebih teruk dengan kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi. Mengatasi barat dari pelbagai sudut jauh lagi nak diperkatakan. Pengamalan barat dianggap gagal.

Dalam masa yang sama seruan kembali kepada Islam bergema di kalangan mereka yang digelar fundementalis. Konotasi fundementalis pada sudut pandang barat adalah negetif kerana mereka dibina di atas asas menolak agama. Muhammad Abu Bakar (1987) dalam menggunakan perkataan fundementalis memberi interpertasi sisi pandang Islam. Dari sini penulis dapat menilai istilah fundementalisme tidak boleh dipandang dari sebelah pihak sedang dipihak yang lain diabaikan. Penulis lebih bersetuju dengan istilah yang digunakan oleh John L. Esposito dengan label Aktivisme Islam atau Kebangkitan Orang Islam.

Gerakan Kebangkitan Islam berbeza pendekatan mereka mengikut lokaliti dan suasana ditempat mereka. Tujuan mereka sama iaitu mendaulatkan agama Islam. Pada mereka, dengan tertegaknya agama Islam secara otomatisnya umat ini akan maju dan bangkit dari kelemahan. Sepertimana gerakan Wahabi yang digerakkan oleh Muhammad Bin Abdul Wahab menumpukan kepada memerangi khurafat yang dilihat sebagai punca kemunduran dan kemerosotan umat Islam di semenanjung arab pada masa itu.

Berbeza pula di Mesir. Gerakan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hassan al-Banna lebih syumul perjuangan mereka dengan tumpuan kepada mereka lebih kepada sektor pendidikan, kebajikan, ekonomi, politik dan sehingga terlibat dalam sektor ketenteraan. Pengurusan mereka lebih teratur dan mengikut keperluan semasa.

Mungkin pendekatan mereka yang agak serasi dengan fenomena Malaysia pada masa itu dan ramai pelajar-pelajar melayu yang belajar di Al-Azhar menjadi faktor pengaruh Ikhwan di kalangan gerakan dan aktivisme tanah air berkembang dan mudah diterima di Tanah Melayu. Tidak dinafikan akhir-akhir ini pengaruh pelajar dari Saudi dan sealiran mereka mula menambah rencam aktiviti gerakan agama di Malaysia.

Kerencaman ini berbeza menurut pendekatan yang diguna pakai oleh mereka. Ada yang melihat tumpuan harus diberikan kepada politik dan pentadbiran negara, dengan kuasa pelbagai sektor mampu diubah dan direformasi. Ada juga yang memandang penekanan kepada pendidikan adalah lebih penting, setelah umat ini mendapat kefahaman yang jitu seruan kepada kembali kepada Islam itu akan diterima dengan baik.

Dapat disimpulkan Kebangkitan Orang Islam ini berbeza mengikut tempat dan tuntutan semasa namun berkongsi tujuan yang sama iaitu mendaulatkan Islam dan secara otomatisnya umat Islam akan kembali sepertimana zaman keagungan mereka. Penulis juga memandang perbezaan yang ada diantara gerakan-gerakan Islam adalah pelengkap kepada kebangkitan orang Islam tetapi, jika perseteruan berlaku di antara gerakan Islam penulis beranggapan asas pembentukan gerakan tersebut bukan berpaksikan tujuan kebangkitan Islam, mungkin kerana tidak berpuas hati atau cetek dalam memandang suasana dunia umat Islam.

Wallahut ta’ala a’lam.

Wanita, antara kemodenan dan maruah

Bismillahirrahmaanirrahim

Wanita adalah ciptaan yang cukup istimewa dari perspektif Islam. Kedudukan nya dimuliakan dan ditempat yang istimewa. Pelbagai ganjaran yang berganda setiap amalan yang dilakukan oleh kaum wanita, dengan kata mudah mereka mudah memperoleh syurga.

Sejak dari zaman Greek dan Yunani lagi, perbahasa wanita menampakkan diskriminasi dan kedudukan yang jelek dan hina.  Wanita pada bangasa-bangsa lain juga agama mereka seperti wang atau barangan yang boleh ditukar milik. Nilai harga mereka seperti barangan yang boleh dibeli di pasar.

Tanpa penghormatan yang sebaiknya buat wanita, pelbagai masalah dan gejala yang merosakkan institusi masyarakat. Wanita yang diletakkan nilai mereka tidak lebih sebagai barangan yang boleh dijual beli dengan sendirinya mencorakkan kehidupan masyarakat yang huru-hara.

Kedatangan Islam memberi cahaya dan rahmat buat kaum wanita. Mereka diletakkan ditempat yang sepatutnya. Kedudukan amal mereka dipertanggungjawabkan sama seperti kaum lelaki. Banyak nas dari al-Quran dan hadith memberi penekanan kepada kemuliaan kaum wanita.

Namun masakini, disebalik retorik kebebasan wanita, perjuangan hak wanita dan lauangan tuntutan kuasa buat wanita, sedarkah mereka penjajahan baru bermula. Wanita masakini diprogram dan disogok agar menerima secara mutlak bahawa harga diri mereka terletak pada paras rupa yang cantik dan jelita, muda, tubuh badan yang langsing, diselimuti pakaian yang berjenama dan perhiasan yang anggun.

Maka akhirnya wanita masakini sibuk dengan berbelanja bagi melengkapi semua itu. Mahu dianggap moden dan berjaya. Melanggan pelbagai produk kecantikan, menghabiskan ribuan ringgit untuk terapi kecantikan dalaman dan luaran, malah ada yang sanggup melakukan pembedahan plastik. Kesemuanya memberi keuntungan buat kaum pemodal yang berjaya memprogramkan harga diri mereka terletak pada nilai material.

Kaum wanita di manapun mereka berada, baik negara maju, membangun mahupun negara mundur, terjerat dalam krisis identiti diri. Mereka lupa tentang harga diri sebenar mereka. Mereka keliru kedudukan mereka sebagai wanita. Mereka berjaya diprogramkan dengan nilai baru buat diri mereka.

Wanita di barat yang dikatakan mendapat kebebasan telah dieksploitasi secukupnya dengan menggunakan mereka dalam pelbagai sektor terutama pengiklanan. Apa yang menyedihkan ramai dikalangan wanita Islam yang berjaya dikaburkan dengan laungan kebebasan barat sedang mereka sendiri tidak pernah cuba mencari kebebasan wanita dalam Islam.

Wanita Islam di abad moden ini perlu jelas kedudukan, kebebasan, kemuliaan, maruah mereka yang digariskan Allah buat mereka. Allah sebagai pencipta sudah pasti menyediakan yang terbaik buat hambaNya. Tetapi sejauhmana umat ini mampu menterjemahkan kebaikan Islam itu terletak di atas penguasaan penganutnya terhadap ilmu.

Wallahu ta’ala a’lam

Kuasa Melayu Terhakis?

Bismillahirrahmaanirrahim

Ramai orang memperkatakan mengenai kuasa, keistimewaan dan kelebihan yang diterima orang Melayu.

Namun sedarkah kita, semua itu makin hari makin terhakis. Cukup parah dan membimbangkan keadaan nya.

Lihat sahaja penguasaan kaum lain dalam sektor-sektor di Malaysia. Ekonomi, pendidikan, sukan, tak lama lagi juga politik.

Bangsa Melayu begitu terasing di bumi sendiri, kurang penambahan dari sudut kualiti dan kuantiti dalam pelbagai bidang kecuali jenayah.

Penulis melihat puncanya pada proses pembangunan insani bangsa Melayu tidak berjaya dan gagal. Soal melahirkan modal insan berkait dengan peranan kerajaan yang dikuasai sebilangan besar bangsa Melayu.

Dalam bahasa mudah adalah golongan politikus. Mereka adalah kelompok yang merancana pembangunan material dan juga insani di Malaysia.

Tidak dinafikan memang ada usaha dijalankan bagi membangunkan bangsa Melayu seperti projek DEB. Namun perlaksanaan yang dijalankan oleh golongan politik nepotalisme menggagalkan projek tersebut.

Jelaslah peranan ahli politik Melayu yang gagal melihat tujuan sebenar kedudukan mereka bagi membantu bangsa Melayu adalah punca kemerosotan bangsa ini.

Akhirnya kuasa Melayu terhakis dan bakal lenyap selamanya kerana tiada modal insan yang mampu menggalas mana-mana tanggungjawab memimpin negara ini. Ketika itulah kepercayaan rakyat akan mula beralih kepada bangsa lain.

Politikus yang bermotifkan kekuasaan dan harta, mengatasi usaha pembangunan agama, bangsa dan negara wajib ditolak oleh rakyat jika ingin lihat bangsa ini bangkit.

Wallahu Ta’ala A’lam