Bersama Pejuang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

Bismillahirrahmaanirrahim

Tanggal 11/9 mungkin ramai warga Amerika yang berduka mengenang kembali tragedi serangan WTC yang berlaku beberapa tahun yang lalu, namun berbeza bagi saya, tanggal ini penuh sejarah dan amat bermakna, sebagai anak bangsa Malaya, saya lebih kenal sejarah bumi tercinta dari pejuang nasionalis kiri yang masih hidup Zainuddin Andika atau panggilan mesranya Pak Din Andika bermula tarikh ini.

Hikmah yang amat besar bercuti raya selama seminggu terawal syawal di Dungun, jika satu minggu terawal itu saya habiskan di Kuala Kangsar, sudah tentu minggu ini saya tak kan bertemu dengan Pak Din, terima kasih juga buat isteri saya kerana memperkenalkan saya dengan Pak Din.

Saya juga tak kan melupakan Abang Mat Sabu kerana kritis membaca sejarah, saya memang suka pemikiran kritis seperti Kassim Ahmad, Hishamuddin Rais, Mat Sabu, Dr Farish Nor dan beberapa tokoh lain lagi, pemikiran kritis saya lihat melahirkan banyak idea baru dan segar mengikut zaman, bangsa yang kritis tidak akan mudah disuap seperti seperti ‘ayam daging’ yang tak ada perasaan melihat pisau di depan mata.

Awal pagi saya dapat panggilan telefon dari Yong (Kakak isteri saya) menjemput kami ke rumah beliau untuk sarapan, alang-alang keluar rumah kami terus menuju ke rumah Pak Din, saya sebenar buntu nak tanya apa bila berhadapan Pak Din, niat dihati hanya sekadar nak bergambar.

Kami disambut oleh menantu Pak Din di bengkel beliau, disitulah Pak Din mencurahkan ilmunya setelah lama belajar bertukang di dalam penjara, Pak Din bukan sahaja pandai bertukang beliau juga pernah dicatatkan dalam Guiness World Book Of Record kerana Berjaya menghasilkan kompang paling banyak di dunia, sehingga kini rekodnya itu belum ada orang memcahkannya.

Saya bersalaman dengan Pak Din, soalan pertama yang saya lontarkan kepada beliau, “betul ke Pak Din ahli PKMM”, soalan itu tidak mengundang kepada soalan kedua, kami biarkan Pak Din mengisahkan keterlibatan beliau dalam PKMM di Kuala Kangsar khususnya bergerak aktif di Padang Rengas, walau sudah dimamah usia, Pak Din bersemangat meneruskan ceritanya.

Banyak-banyak yang diceritakan, saya tertarik dengan kisah pemberontakan yang akan mereka lancarkan pada masa itu, kata Pak Din dia dan rakan-rakan yang lain dapat berita yang ahli-ahli PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin sudah ramai ditangkap, antaranya di Selangor, Pahang dan lain-lain tempat lagi, mereka juga menjangka mereka tidak lama boleh bertahan, sudah tentu British akan mengambil tindakan.

Alang-alang begitu, mereka nekad akan melancarkan pemberontakan bermula di Padang Rengas dengan menyerang estet-estet Inggeris yang dikawal oleh mata-mata Melayu yang bekerja dengan Inggeris, perancangan rapi diatur, mereka memfokuskan gudang-gudang senjata milik British harus dikuasai dan membawa keluar senjata-senjata tersebut.

Pak Din dan rakan-rakan yang lain mengarahkan anak-anak muda kampong agar berkhidmat dengan British menjadi mata-mata menjaga estet-estet, namun tujuan asal adalah mencuri senjata-senjata dari gudang British, tambah Pak Din senjata yang dapat dikumpul memang banyak, dan pemberontakan bersenjata memang akan meletus bila-bila masa.

Panas bukan sampai ke petang, seawal subuh, rumah-rumah yang dicop sebagai penggerak kepada mobilisasi anak muda di Kuala Kangsar diserebu dan mereka semua ditangkap, termasuklah Pak Din yang mana akhirnya dia ditahan selama 4 tahun lebih, pemberontakan tidak Berjaya diteruskan ekoran penangkapan besar-besaran yang dilakukan British.

Saya cukup teruja mendengar cerita dari Pak Din, sebagai orang muda saya malu menumpang tanah air  yang diperjuangkan dengan air mata dan darah pejuang-pejuang terdahulu, mungkin semangat ini bisa menjadi pengobar saya untuk menentang habis-habisan saki baki penjajah yang masih berleluasa di bumi tercinta Malaya ini.

Wallahu Ta’ala A’lam

(Cerita Pak Din boleh ditonton di sini : http://www.youtube.com/watch?v=sNZzZlVgWxY )

Kampung Ku Kini

Bismillahirrahmaanirrahim

Baru perasan kini dah banyak perubahan, bukan lama tak balik kampung tapi memang sistem kapitalisme mendesak kita bergerak laju kedepan. Kalau ketinggalan selangkah kebelakang kita akan dilihat kolot dan kuno.

Semalam ke masjid, agak terkejut kerana dapat khabar masjid yang sekian lama tempat kami solat jumaat dan terawih di bulan ramadhan akan dirobohkan dan dibina masjid yang baru di atas tapak yang sama.

Itu satu perubahan yang dah lama penyokong dan pendokong masjid tersebut tunggu, dengan pembesaran masjid itu nanti banyaklah program-program yang lebih mantap harus dilakukan sesuai dengan fizikal nya.

Saya melangkah ke dalam masjid, budak yang dulu pernah saya cubit kerana bising dalam masjid kini dah besar panjang malah sebaris dengan orang dewasa mengerjakan sunat, pak cik yang jadi imam solat Isya’ juga dah tiada, dulu lepas 8 rakaat terawih dia dengan perlahan keluar buka kaunter zakat di belakang, kini amil nya dah lain.

Dulu juga ada seorang brader yang sibuk jaga budak-budak dengan rotan, kalau dibuat bising dengan pantas rotan itu diacukan kepada budak-budak sekadar mengugut, mungkin ada seorang dua yang pernah dihinggap kepedihan rotan sakti brader tu, saya tengok dia suka melayan kerenah budak-budak tu dengan rotan persis FRU dengan belantan mereka, sekarang brader tu entah kemana, budak-budak kembali bising macam kambing dapat keluar kandang ke padang rumput.

Mungkin 5,6 tahun lagi makin banyak perubahan yang berlaku, imam yang ada sekarang pun macam dah tak lama nak berganti baru, moga Allah panjangkan umur dalam keredhaanNya insyallah.

Wallahu Ta’ala A’lam

 

Murtad Lagi?

Bismillahirrahmaanirrahim

Saya diminta memberi pandangan oleh pengetua sekolah mengenai driver (seorang berbangsa India) yang beragama Kristian dan suka mendendangkan lagu gereja di corong radionya ketikamana pelajar-pelajar ini ke sekolah di waktu pagi, sehingga ada sebilangan pelajar siap menghafal keseluruhan lagu gereja tersebut.

Saya minta pihak sekolah untuk memberi nasihat yang baik sebelum apa-apa tindakan drastik di lakukan, ini bagi memastikan kedudukan sebenar disebalik perbuatan memasang lagu gereja itu, samada memang berniat ‘jahat’ ataupun mereka tidak tahu apa yang dilakukan itu boleh dikira menyebar ajaran lain kepada orang Islam.

Pengetua bersetuju, nasihat tersebut disampaikan kepada isteri driver terbabit dengan harapan dia lebih tenang dengar dari isterinya bukan orang lain,  cuma yang menyedihkan isteri dia tiba-tiba naik angin, harapkan pagar, pagar yang ini tak boleh juga.

” Kenapa kami tak boleh pasang lagu?, itu masjid pasang Quran kuat-kuat kami tadak marah pon ” Saya mungkin terkedu kalau ditanya  begini, mujurlah pengetua kami seorang yang hebat dan penuh pengelaman, ” saya hanya menerima panggilan dan aduan dari ibu bapa tentang hal ini, jadi saya bertanggungjawab bagitahu kepada kamu”. Dia mula reda.

Apa yang saya dapat tahu, pihak taman perumahan disitu telah bersepakat akan membuat laporan ke pejabat agama Islam jika driver tersebut tetap tidak mahu berubah.Dalam hal ini saya dapat rasakan perasaan tidak puas hati kepada umat Islam, yang membimbangkan pelajar-pelajar di dalam van tersbut, bimbang diperlakukan sesuka hati, kini saya hanya memerhati perkembangan seterusnya, apa yang boleh saya tolong saya akan tolong. Semoga semuanya berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dan ancaman insyallah.

Wallahu ta’ala a’lam

Mungkin Ini Maksud Glokal?

Bismillahirrahmaanirrahim

Pengalaman saya membeli di pasaraya, saat menunggu giliran membayar di kaunter pembayaran, dua orang akak sibuk bercakap dalam bahasa Indonesia, entah apa lagi yang tak cukup sambil mereka membelek-belek barang dalam troli.

Ketika mereka buat pembayaran, saya sempat terpandang dalam beg akak tu IC biru Malaysia, Oh…! Malaysia rupanya, warganegara sama macam saya, bahasa dan dialek sahaja yang berbeza.

Bangla, Indon, Vietnam dan entah dari negara mana lagi dah menjadi fenomena biasa disini, mereka cukup sifat ada mata, hidung, telinga sebijik macam warganegara Malaysia, hidup aman damai malah menimbulkan rasa iri hati bila kedai bakso dan mee ayam mereka dipenuhi oleh pelbagai bangsa termasuk saya sendiri pernah mencuba, pedas…sedap.

Oleh kerana Malaysia adalah negara contoh bagi keharmonian kaum maka memberi taraf kerakyatan kepada mana-mana warga asing bagi saya perlu kerana bertepatan dengan projek GLOKAL cadangan PM kita, malah akan menambah kredit di mata dunia.

Saya mencadangkan kerakyatan dibuka bagi bangsa Argentina, Brazil, German, Spain ataupun Ivory Cost (orangnya besar keras) supaya mutu permainan bolasepak melonjak naik, sekali lagi kredit buat negara akan bertambah.

Mungkin semasa saya beratur mengundi nanti, saya berkesempatan belajar beberapa bahasa dari orang depan atau belakang yang mungkin 1 Malaysia seperti saya, kabarin dongsanggaiaruppa therava… dan lain-lain lagi. Ini satu suasana baru buat rakyat Malaysia asal.

Wallahu ta’ala A’lam

Interpretasi Kemodenan

Bismillahirrahmaanirrahim

Sepanjang mengajar di KAFA al-Islah, saya cuba membawa pendekatan yang berbeza ketika mengajar, saya tidak mahu metodologi yang saya pelajari sekitar 7-8 tahun yang lalu turut sama saya ulangi pada hari ini.

Pemerhatian awal dari soal jawab secara rawak budak-budak masakini lebih jauh berbeza pemikiran mereka, lebih-lebih lagi demografi mereka yang lebih elit, tidak susah saya ceritakan sesuatu yang agak berat kerana mereka lebih mudah faham seperti ekonomi dan aliran pemikiran semasa.

Oleh kerana tahap capaian mereka yang baik, saya cuba mengajukan soalan-soalan yang menunutut mereka berfikir sebelum menjawab, malah jawaban yang diberi tidak mampu diciplak atau ditiru dari kawan-kawan mereka kerana jawaban itu adalah hasil kehidupan dan kefahaman mereka seharian.

Saya pernah mengajukan soalan mengenai ” apakah yang kamu faham tentang kemodenan? “, rata-rata mereka menjawab penuh dengan semangat materialistik dan jauh dari unsur kerohanian, saya tidak salahkah mereka mempunyai worldview sebegitu kerana disitulah tugas cikgu meletakkan kembali pemikiran ataupun sisi pandang Islam mengenai kemodenan.

Banyak lagi yang harus saya soal dan membetulkan sudut pandang mereka sebelum meningkat dewasa dan membawa bentuk-bentuk pemikiran yang jelas dan mantap dengan unsur aqidah yang jelas. Namun saya bimbang sejauhmana penguasaan cikgu-cikgu dalam pemikiran Islam bagi menangani dan membetulkan fikrah pelajar-pelajar.

Jika guru sendiri tidak jelas worldview Islam dan misi cikgu dalam pembentukan pelajar maka proses putaran roda senantiasa berputar dengan melahirkan generasi yang sama tidak jelas pandangan mereka. Saya mungkin tidak menelaah habis karangan Prof Syed Naquib al-Attas, khususnya Islam dan Sekularisme, cuma sedikit sebanyak yang saya dapat visi seorang pendidik seharuslah melahirkan generasi beradab.

Generasi yang lahir tidak beradab mungkin letak pada pelajaran, pengajar ataupun sistem pendidikan yang pincang, jika elemen-elemen ini ada kecacatan maka natijah yang diharapkan baik berakhir dengan sebaliknya, suka saya sentuh bagaimana pengamalan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan banyak melahirkan manusia robot yang berohkan materialisme.

Harapan saya buat pendidik agar kita amat jelas dalam dunia pendidikan, sepertimana yang ditekankan oleh banyak pemikir-pemikir Islam seperti Prof Naquib al-Attas, Ismail Faruqi, Dr Abdul Hamid Abu Suleyman dan ramai lagi akan peri pentingnya pendidikan dalam membentuk generasi bertamadun.

Wallahu Ta’ala A’lam

Bina Rumah Bina Bangsa

Bismillahirrahmaanirrahim

“ Dah la, miskin “, itulah ungkapan yang keluar dari mulut seorang pelajar saya hari ini, mereka bergaduh entah apa puncanya, saya tak tertarik nak ambil tahu, cuma ungkapan itu saya tidak suka kerana mungkin saya sekarang hidup serba ada sahaja dan memang perasaan saya benci mendengar perlecehan keatas orang lain.

Usai solat maghrib, ungkapan itu masih terlintas di kepala, saya cuba berfikir kemungkinan perkataan itu boleh terkeluar. Andaian awal saya adalah suasana dan rupa bentuk perumahan mencorakkan tingkah laku mereka.

Saya fikirkan begitu kerana, kawasan perumahan disitu mempunyai beberapa jenis rumah, ada banglo, rumah teres dua tingkat, satu tingkat dan flat dalam satu taman. Apabila anak-anak disitu berkumpul dalam satu sekolah, maka ungkapan seperti itu tidak mustahil akan keluar apabila mereka bergaduh.

Andaian ini berasaskan apa yang saya pelajari di roketkini.com, satu ruangan mengenai budaya dibincangkan dengan baik, di antara yang menarik ialah bagaimana seni bina dapat mempengaruhi pembentukan pemikiran, sifat dan perasaan sesuatu tamadun.

Perkara yang sama juga berlaku semasa saya mengajar satu ketika masa dahulu, perbezaan ketara di antara pelajar yang tinggal di flat di mana mereka lebih nakal berbanding teman-teman mereka yang tinggal di rumah teres mahupun semi D, mutu pelajaran dan akhlak mereka juga berbeza.

Saya amat yakin jika soal seni bina yang bermatlamatkan membina tamadun bangsa selain memikirkan keuntungan pemodal, sudah tentu perkara ini mampu dibendung, lebih membimbangkan perbezaan ketara di antara bangsa yang menghuni kawasan perumahan yang mana bila-bila masa boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati dan mudah mencetuskan api perkauman.

Perkara ini perlu dititik beratkan khususnya golongan pemerintah jika ingin melihat keamanan dan kestabilan Negara terjamin, namun soal membina tamadun bangsa saya lihat tidak lebih sebagai retorika, kerana pelaksanaan jelas songsang dengan apa yang dibesar-besarkan.

Saya tidak pasti peranan orang agama dalam konteks ini, apa yang jelas mewujudkan keamanan dan keselamatan kepada sekalian manusia adalah tuntutan di dalam agama Islam, melihat Islam di seputar agama adalah satu kesilapan besar dan pengkhianatan kerana menyempitkan ruang yang sedia ada.

Gagal melihat keutamaan yang lebih besar seperti menjaga maslahah umum semua manusia dari ditipu dan dizalimi berbanding mendamaikan sebahagian umat Islam yang berselisih di atas perbezaan aliran dan pendapat adalah gambaran buruk terhadap kemampuan Islam dalam mendepani dan menyelesaikan isu umat manusia sejagat.

Saya berkeinginan melihat pembinaan tamadun bangsa seperti yang pernah dibina di Cordova menjadi kenyataan suatu hari nanti. Zaman siapakah menjadi perdana menteri? Sudah tentu saya bangga dapat hidup pada zaman itu.

Wallahu ta’ala A’lam

Nostalgia Dr Lo’lo’ Dan Peminat Senyap

Bismillahirrahmaanirrahim

Suasana hiba, itulah yang boleh saya gambarkan di sekitar tanah perkuburan Datuk Keramat pagi tadi. Kami sampai tepat 10:30 am, kata mereka disana, jenazah sudah dibawa ke kubur.
Saya ditunjukkan jalan keluar dari Datuk Keramat menuju jalan Jelatek oleh seorang pak cik yang juga menuju kesana, tidak ada apa yang dapat saya harungi kecuali jem samada kereta dan motor, juga lautan manusia yang berjalan kaki, siapakah sosok ini sehingga begitu mulia kematiaannya?
Beliaulah Dr Lo’lo’, srikandi yang memperjuangkan kemuliaan manusia yang dilahirkan dari perut ibu dalam keadaan merdeka, khususnya isu Kg Baru di atas platform Parti Islam. Petah berpidato dan teguh pegangan dan semangatnya.
Memang selayaknya orang seperti beliau yang tidak kenal penat lelah dalam berjuang, mendapat kemuliaan dari Allah dengan kunjungan yang tidak kenal lapisan masyarakat dan latar politik. Beberapa keping gambar sempat saya rakamkan sebagai tonik bagi kami yang masih hijau mengenal erti perjuangan.
Sekitar jam 11 malam merayau di internet, saya temukan berita pemergian Dr Lo’lo’ di Harakahdaily, orang pertama yang saya khabarkan adalah isteri saya, walaupun sedang tidur isteri saya bingkas terjaga dan terkejut dengan pemergian Allahyarhamah.
Sehinggalah keesokan pagi Isteri saya beriya-iya sampaikan berita pada Ayah dan mak nya, dengan harapan Ayah dan Mak menziarahi Allahyarhamah buat kali terakhir, atas kekangan menjaga dua orang bayi, isteri saya wakilkan kami pergi.
Sebentar tadi, saat tulisan ini dicoretkan, barulah saya faham kenapa isteri saya terkejut dan beriya-iya menyuruh kami ke tanah perkuburan pagi tadi, Isteri saya adalah seorang peminat senyap Dr Lo’lo saat dibangku sekolah lagi selepas melihat karekteristik Allahyarhamah yang gigih berjuang namun tetap memelihara peribadi sebagai seorang muslimah.
Malah isteri saya mencorak hidupnya sehingga di peringkat universiti ke arah menjadi seperti idolanya itu, saya sedar mata isteri saya mula berkaca, apa yang diceritakan bukan sahaja meniti di bibir tapi lahir dari hati.
” Abang tahu kenapa email sayang doc_girl? ” tanya isteri saya, ” tak tahu, kenapa? ” saya kembali bertanya ” sebab…email Dr Lo’lo’ doc_women ” sambil mata isteri saya hampir menitiskan air mata.
Wallahu ta’ala A’lam