Politik Islam : ‘Ibrah Rasulullah

Bismillahirrahmaanirrahim

Pendahuluan

Jika diteliti sirah Rasulullah sehinggalah ke abad ini, politik Islam sentiasa berkembang. Ia membuktikan keanjalan politik di dalam Islam dan tidak bersifat rigid. Penggerak politik di kalangan umat Islam bersifat ‘turun’ dan ‘naik’, sebahagian dariada mereka berjaya menguruskan politik umat Islam dan sebahagian yang lain gagal namun begitu, politik Islam lebih bersifat ‘roda’ yang ada atas dan bawahnya.

Politik Zaman Rasulullah dan Khulafa Al-Rasyidin

Politik zaman Rasulullah perlu diteliti dengan baik, apakah sifat utama yang ditekankan oleh Baginda di era itu. Pemerhatian dan pembacaan penulis, penekanan yang paling besar yang diutamakan oleh Baginda ialah kesatuan. Berdasarkan perlembagaan ataupun Piagam Madinah serta perjanjian-perjanjian yang dilakukan samada bersama kabilah-kabilah atau raja-raja menegaskan kepada kita bahawa Rasulullah merangka strategi dalam mengukuhkan Islam pada masa itu adalah melalui kekuatan kesatuan.

Asas yang dipasak oleh Baginda ini membuka ruang yang baik kepada para sahabat meneruskan legasi Nubuwwah. Pemerintahan khulafa Al-Rasyidin asasnya tidak berubah sepertimana zaman Rasulullah cuma dari sudut pentadbiran dan pengurusan ia bertambah baik memandangkan penguasaan umat Islam ke wilayah-wilayah semakin luas.

Politik Islam Masakini

Jika gerakan Islam yang terlibat secara langsung dalam politik ingin mengambil ‘ibrah sirah Rasulullah, penulis amat menyarankan aspek kesatuan diteliti dengan baik. Sebuah gerakan akan mampu bergerak jauh apabila kesatuan atau pakatan yang dibina makin kuat. Memandangkan Rasulullah juga mengadakan pakatan bagi survival agama Islam maka, bagi gerakan Islam masakini sudah pasti ia satu keperluan.

Gerakan Islam di Malaysia

PAS sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia dilihat sudah lama mengambil langkah kanan dengan membina pakatan bagi menggerakkan objektif mereka. Sifat berpandangan jauh pemimpin gerakan Islam ini membuktikan tahap pemahaman mereka mengenai perjuangan Rasulullah itu jelas. Namun, masih ada segelintir di kalangan ahli-ahli gerakan Islam ini yang agak tersasar pemahaman mereka mengenai politik Islam apabila menyarankan PAS bergerak sendirian.

Saranan seperti ini pada penulis menonjolkan kedangkalan setengah Islamis dalam memahami sirah baginda Rasulullah dari sudut politik. Mereka harus memahami kesatuan ataupun pakatan dalam politik adalah keperluan bagi survival sesuatu gerakan. Oleh itu bagi kelangsungan gerakan Islam dalam masyarakat yang rencam di Malaysia ini pada penulis adalah satu keperluan.

Pakatan di Malaysia

Bagi PAS, pakatan yang dibina kini perlu kepada pengisian. Apa yang dimaksudkan pengisian ialah menguruskan persepsi masyarakat yang memandang prestasi dan dominasi gerakan Islam di dalam pakatan ini. Jika gerakan Islam seperti PAS jauh ketinggalan dari rakan-rakan pakatan yang lain dari sudut dominasi maka ia dibimbangi timbul persepsi gerakan Islam dipergunakan. Beberapa pendekatan seperti menjuarai isu dan dilihat lebih menonjol berbanding rakan-rakan yang lain adalah penting.

Kesimpulan

Oleh itu, pemahaman politik Islam berdasarkan sirah Rasulullah memberi gambaran bahawa pakatan adalah penting bagi kelangsungan gerakan Islam dan agama Islam. Ketajaman dalam politik juga menjadi faktor utama agar gerakan Islam tidak dilihat dipergunakan dan ketinggalan berbanding rakan-rakan yang lain.

Wallahu ta’ala a’lam

Mesir : Masa Depan Politik Islam

Bismillahirrhamaanirrahim

(Ringkasan Penulis dari Diskusi di Astro Awani oleh Dr Mazslee Malik)

–          Pertumbuhan Ekonomi Mesir meningkat khususnya sektor pelancongan yang memberi pulangan lumayan berbanding pemerintahan sebelumnya walaupun dalam masa yang singkat tetapi, laporan di media tidak meluas kerana media di Mesir masih dikuasai oleh golongan Pro-Rejim. Hanya m edia dari pihak Ikhwan sahaja yang melaporkan perkembangan tersebut.

–          Media-media Pro-Rejim sentiasa memberi laporan buruk sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap pemerintahan Ikhwan Muslimin (IM). Perkara ini menimbulkan sentimen kebencian rakyat terhadap pemerintahan IM.

–          Ditambah dengan penceramah-penceramah IM yang bersemangat dengan melaungkan isu-isu sensitif (seperti nagara Islam, hudud dll) yang mana isu-isu ini menjadi ‘bola tanggung’ kalangan sekular dan liberal membantai IM.

–          Pemerintahan IM seharusnya menyedari 48% yang menolak mereka dalam pilihanraya adalah peratusan yang tinggi sebelum melakukan apa-apa keputusan yang dilihat tidak memihak majoriti rakyat.

–          Beberapa kesilapan harus dikoreksi oleh pemerintahan IM, mereka mungkin boleh melihat model-model gerakan Islam seperi PAS di Malaysia dan Ennahdah di Tunisia. Apa yang dimaksudkan ialah Power Sharing.

–          Morsi memang telah mengusahakan kearah itu dengan golongan sekular, liberal dan sosialis di Mesir namun ditolak oleh mereka mungkin, atas beberapa faktor seperti wacana yang dibawa oleh ikhwan sangat berbeza dan mereka tidak boleh menerimanya.

–          Kelebihan Power Sharing ialah, apabila berlaku kesilapan di peringkat pemerintahan bukannya IM sahaja yang akan dipersalahkan bahkan juga daripada aliran-aliran yang lain tetapi, hal itu tidak terjadi, IM dilihat punca kepada kesalahan kerana mereka sahaja yang berada di tampuk pemerintahan.

–          IM di Mesir mungkin boleh mengubah wacana mereka agar boleh diterima oleh aliran-aliran lain, sekali lagi hal ini boleh dipelajari daripada PAS atau Ennahdah yang lebih hampir dengan IM.

–          Perubahan wacana boleh dilihat sepertimana yang berlaku di Turki, kudeta tentera di Turki bukan sahaja menggulingkan golongan Islamis bahkan Nasionalis, di Turki mereka yang dilihat tidak sehaluan dengan Kamalisme akan digulingkan oleh pihak tentera.

–          Erdogan mempelajari keadaan ini dan mencuba dengan wacana baharu gerakan Islam dimana ianya berbeza dengan yang sebelum ini dan kini menampakkan keberhasilan yang positif.

–          IM di Mesir sebenarnya bersifat moderat, sentiasa menjunjung proses demokrasi walaupun ada dikalangan mereka yang berputus asa dengan demokrasi dan mengangkat senjata namun mereka tetap terus dengan sifat sederhana tetapi, apabila mereka ditampuk pemerintahan dengan cara demokrasi, barat mula berusaha menjatuhkan mereka.

–          Barat sentiasa bersifat hipokrasi, selalu melaungkan demokrasi namun, apabila gerakan Islam memegang pemerintahan dengan cara yang dilaungkan itu, mereka pula menyokong tindakan yang dilakukan tentera untuk menjatuhkan gerakan Islam.

–          Yang lebih jahat ialah Arab Saudi dan Emirates yang konon nya mendaulatkan Islam tetapi menyokong rampasan kuasa oleh tentera. Jelas mereka berpihak kepada kepentingan barat.

–          Hakikatnya, walau apa cara dan wacana yang dibawa oleh gerakan Islam, mereka tetap akan dipandang sinis dan skeptikal oleh barat.

–          Kini keadaan di Mesir, pemberontak mula berpecah, ramai dikalangan mereka yang asalnya menolak pemerintahan Morsi mula serba salah dengan menolak campur tangan tentera, mereka seolah tidak tahu kemana arah tuju selepas ini, mereka menolak Morsi dalam masa yang sama menolak campur tangan tentera dan akhirnya, mereka perlu menyerahkan kembali pemerintahan kepada keputusan pilihanraya yang sebelum ini.

Wallahu ta’ala a’lam

(Sebarang kesilapan mohon teguran)

Pentelitian Proses Tarbiyyah Gerakan Islam di Malaysia

Bismillahirrahmaanirrahim

Pendahuluan

Kebanyakan proses tarbiyyah kepada ahli gerakan Islam di Malaysia menggunakan sumber daripada Timur Tengah (Sumber Primer atau Skunder). Buku-buku seperti Sayyid Qutb, Said Hawwa, Fathi Yakan, al-Maududi dan seangkatan mereka.

Perlu Dicermati

Proses pentarbiyahan daripada sumber-sumber ini pada penulis perlu dicermati dalam konteks suasana di Malaysia. Sebagai contoh, Said Hawwa menyebut di dalam buku Jihad Fi Sabilillah, Komunis, Kapitalis, Zionis, Freemason, Masionari, Gerakan Salibiyyah, kuasa-kuasa besar atau kecil semuanya akan membuat penentangan (terhadap Islam) (Said Hawwa, 2009: 6).

Di dalam buku ini, Said Hawwa meletakkan Komunis di dalam satu bakul penentang kepada Islam. Kedudukan masa dan tempat (Timur Tengah) jelas menunjukkan Komunis adalah musuh nyata umat Islam malah kadang-kadang lebih ganas daripada penjajah tetapi, dalam konteks di Malaysia terdapat agamawan (Islam) di dalam Parti Komunis dan berjuang bersama-sama mereka. Adakah mereka diketegori musuh Islam sedangkan di Malaysia mereka tidak menentang Islam kecuali penjajah.

Mat Indera sebagai contoh, beliau adalah ahli PKM dan berjuang bersama-sama PKM. Beliau tidak dianggap sebagai pengganas tetapi pejuang oleh Parti Islam di Malaysia. Perkara ini dibuktikan dengan tulisan Dr Muhaimi Sulam di dalam buku beliau “ Mat Indera Petualang atau Pejuang”. Beliau menyebut, dari tahun-tahun 40-an hingga 60-an, Komunis dan Gerakan Islam kadangkala bergabung untuk menentang penjajah (Muhaimi, 2012: 68).

Tahaluf Siyasi

Ini membuktikan kerjasama politik (tahaluf siyasi) pernah berlaku di antara Gerakan Islam dan Parti Komunis. Keadaan ini menjelaskan bahawa masa, tempat dan keadaan membezakan tindakan dan keputusan diambil. Oleh itu, bukan sahaja idea-idea barat bahkan, idea-idea daripada pejuang Islam Timur Tengah juga perlu diteliti agar ianya bersesuaian dengan keadaan dan suasana di Malaysia.

Selain itu, proses menanam pemikiran dengan meletakkan kesemua fahaman selain Islam sebagai musuh sepertimana yang dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam di Timur Tengah suatu masa dahulu perlu diubah kerana kadang-kadang gerakan dari fahaman yang berbeza ini boleh menjadi rakan dalam perjuangan (Perlu menjauhi sifat pukul rata).

Kesimpulan

Naqib-naqib usrah mungkin boleh mendatangkan wacana baru Gerakan Islam dan dibincangkan secara ilmiah dengan timbangan al-Quran dan Sunnah ataupun pendapat ulama mu’tabar. Jika ingin berasaskan teks-teks lama usrah juga, penulis dengan rendah diri mencadangkan agar merujuk kepada syarah kepada teks-teks tersebut yang dikarang oleh ulama masakini kerana ia lebih menepati zaman ini seperti syarah kepada Usul 20 karangan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang dibahagikan kepada beberapa buku namun, ia tetap perlu diteliti kerana perbezaan tempat si pensyarah buku dan suasana di Malaysia.

Wallahu ta’ala a’lam

Agar Parti Islam Terus Releven

5349997

Bismillahirrahmaanirrahim

Pendahuluan

Penulis sempat mendapatkan beberapa ayat yang selalu digunakan di dalam usrah. Antaranya ayat 54 – 56 surah al-Mai’dah dan ayat 22 surah al-Mujadalah. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membuat kesimpulan daripada ayat-ayat ini dengan menyebut bahawa, Parti Allah yang dijanjikan kemenangan itu hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut (Abdul Hadi, 2010: 16).

1-      Berjuang untuk menegakkan Syari’ah Allah di dalam negaranya dan mengumpulkan tenaga kearah itu secara berorganisasi.

2-      Menghayati Islam di dalam diri dengan mengerjakan perintah Allah dan berakhlak Islam di samping usaha menghayati secara menyeluruh menurut cara di atas.

3-      Sikap permusuhan dengan musuh Allah dan mengeratkan kasih sayang dengan mereka yang sama-sama melaksanakan perintah Allah.

Kekeliruan

Kekeliruan yang selalu timbul berdasarkan syarat pertama yang disebutkan ini ialah, memahami bahawa sebuah Negara Islam perlu dibentuk sepertimana Negara Islam Madinah terbentuk.

Pemahaman secara literal tanpa melihat aspek demografi dan sosio masyarakat mengakibatkan objektif menegakkan Syariah Allah menemui kegagalan. Sekadar memahamkan masyarakat dengan Islam tanpa cuba mengasimilasikan Islam kedalam budaya setempat yang telah mendarah daging di dalam diri mereka maka, ia akan menemui jalan buntu.

Dr Dzulkifli Ahmad

Pengalaman ketika menghadiri program bersama Dr Dzulkifli Ahmad di Pelabuhan Klang membuka minda penulis bahawa sosok ini memahami bagaimana Islam perlu diasimilasi ke dalam masyarakat setempat. Sebelum program bermula, soalan yang diajukan, “disini audiens ramai UMNO atau PAS? Kalau ramai UMNO saya pakai songkok, kalau ramai PAS saya pakai kopiah”. Walaupun perkaranya kecil, tetapi kopiah dan songkok lah yang sebati di dalam jiwa kedua-dua ahli parti ini. Soalnya, bagaimana membeli kepercayaan mad’u sebelum perkataan kita diterima.

Bayangkan, bagaimana ustaz-ustaz yang tidak sanggup melucutkan sebentar kopiah ataupun serban kerana takut dianggap tidak thiqah dan menggadaikan prinsip ataupun maruah, atau rasa kurang keimanan dengan menanggalkan kedua nya itu berhadapan dengan golongan remaja atau anak muda yang sudah sedia skeptikal kepada mereka?

Aspek Dakwah

Sahabat penulis pernah menceritakan bagaimana mereka akan mula hidupkan enjin motor bila lihat golongan tabligh berjalan menuju kearah mereka daripada jauh. Bila agak sudah dekat, mereka terus cabut dengan memberi makan asap kepada golongan tabligh tadi.

Pendekatan golongan tabligh tadi yang tidak study dahulu budaya dan perasaan orang muda di situ dengan hanya mengharapkan mereka menerima seruan dakwah adalah tindakan yang gopoh dan tidak berstrategi.

Aspek Politik

Sementelah aspek politik, ia menuntut strategi dan sudut pandang yang lebih luas. Dr Kalim Siddiqui di dalam buku beliau Stages of Islamic Revolution menyebut, kita mungkin perlu mengorbankan kepentingan jangka pendek demi mendapat kepentingan jangka panjang (Kalim, 2005: 30). Ini antara bentuk strategi yang boleh diaplikasikan oleh Gerakan Islam.

Erdogan

Erdogan mengaplikasikan pandangan ini. Samada beliau memang mengetahui nya ataupun tidak. Erdogan di awal pemerintahan mengumumkan untuk meneruskan dasar sekularisme. Walaupun ia kelihatan menggadai prinsip Islam dengan mengangkat sekularism tetapi demi kepentingan jangka panjang beliau sanggup mengorbankan terma-terma Islam yang menyekat kemaraan menuju objektif menegakkan syariah Allah.

Natijahnya kini, wanita di Turki bebas memakai tudung, tahap ekonomi makin meningkat dan yang terbaru, beliau mencadangkan membina Institusi pendidikan berasaskan hafaz al-Quran. Ia satu perkembangan sihat membina sebuah Negara yang menegakkan syariah Islam. Langkah yang diambil tidak terburu-buru dan berstrategi.

Malaysia

Kita di Malaysia baru sahaja melalui Pilihanraya Umum ke-13. Penulis tertarik dengan isu pertindihan kerusi di Kota Damansara. Isu tersebut bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga agama. Rakyat rugi kerana regim terus memerintah, dan agama juga rugi kerana jalan menegakkan syariah Allah yang sepatutnya senang sudah disulitkan. Jika parti Islam sanggup mengalah disitu dengan membantu memberi kemenangan kepada rakan dalam gabungan mereka, sudah pasti peluang membina Negara yang berasaskan syariah Allah lebih dekat untuk dicapai. Memberi laluan mudah kepada regim menang sebenarnya menyukarkan Gerakan Islam mencapai cita-cita Dawlah Islamiah kerana sebuah regim sudah pasti tidak akan menegakkan syariah Islam.

Meruntuhkan Jahiliyyah dan Menaikkan Jahiliyyah yang Baru

Hal ini sentiasa juga dicanang di dalam mana-mana usrah. Kalimah ini benar, tapi perlu perincian. Bukan memahami secara mudah. Mungkin benar, jika regim di Malaysia tumbang, bukan kerajaan Islam yang akan naik cuma, golongan Islamis perlu sedar, keadaan di Malaysia tidak meletakkan sesiapa di dalam kedudukan yang sempurna baik.  Keadaan masakini memaksa kita memilih mungkin mengambil maslahah yang kecil dan menolak mudharat yang lebih besar (regim). Penulis meletakkan regim adalah mudharat yang lebih besar kerana kemudharatan yang dilakukan melibatkan agama, nyawa, harta, tanah air dan banyak lagi.

Mengambil contoh aspek tanah air pun sudah cukup. Bagaimana Negara kita dengan mudah dikuasai oleh pelabur-pelabur asing, penjualan hak kerakyatan dan penentuan polisi Negara dipengaruhi oleh Negara Luar. Apabila tiba saat Negara ini benar-benar terjual kepada ‘Orang Luar’, bukan sahaja solat, nak mandi wajib belum tentu lunas.

Kesimpulan

Gerakan Islam perlu memandang aspek demografi dan sosio masyarakat jika ingin menarik sokongan massa kepada mereka. Tindakan memberi faham tentang Islam tanpa merangka dahulu usaha membeli kepercayaan masyarakat akan menyukarkan Islam itu diterima. Gerakan Islam masakini kadang perlu mengorbankan isu-isu fundemental perjuangan mereka demi kepentingan masa hadapan Islam itu sendiri. Kaedah terbaik meyakini dan membeli kepercayaan rakyat kepada Gerakan Islam ialah dengan menunjukkan kejayaan-kejayaan yang berjaya dicapai, bukan sahaja dari sudut agama Islam sahaja tetapi pencapaian material seperti urus tadbir yang sentiasa menangani masalah rakyat khususnya aspek asas seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan. Penumpuan kearah ini kerana, rakyat Malaysia bukan sahaja meliputi orang Islam bahkan orang bukan Islam.

Wallahu ta’ala a’lam

Pluralisme Agama : Punca dan Kesannya

Pluralisme Agama

Bismillahirrahmaanirrahim

Pendahuluan

Tamadun barat bermula dengan Zaman Kebangkitan, Zaman Pencerahan, Zaman Industri dan lain-lain lagi. Asas kebangkitan mereka adalah dengan memisahkan agama dari kehidupan, sekularisme. Kesan daripada itu, agama pada orang barat hanyalah perkara peribadi, kesan yang lain, menurut seorang professor dalam kajian agama dari Amerika dalam syarahan di UKM mengatakan bahawa di Amerika, peningkatan orang yang tidak berpegang pada agama mula meningkat. Semua keadaan ini bermula dengan asas sekularisme.

Pluralisme Agama

Pluralisme Agama adalah kesan sekularisme. Sekularisme telah mengakibatkan agama bersifat boleh diubah. Idea pluralisme agama ini menyogok doktrin yang menganggap perbezaan agama akan menyebabkan pergaduhan. Golongan seperti Wilfred Cantwell Smith dan John Hick adalah dari kalangan yang mempromosikan pluralisme agama ini. Menurut mereka, fahaman bahawa agama itu bersifat sakral telah melahirkan golongan fundamentalis agama yang mempertahankan ajaran-ajaran agama tersebut. Golongan fundamentalis ini menjadikan agama itu seolah bersifat eksklusif dan mewujudkan perasaan syak wasangka terhadap agama lain.

Oleh itu, mereka mula mempromosikan Pluralisme Agama.  Pada pandangan mereka, dengan menyamakan agama-agama yang ada di dunia dibawah satu agama dengan istilah ‘Teologi Sedunia’ menjadikan dunia aman damai tanpa perselisihan akibat perbezaan agama. Namun pandangan mereka ini jelas menampakkan samada kecetekan ilmu tentang sesebuah agama ataupun mempunyai tujuan tertentu.

Perbezaan

Perbezaan di dalam Islam diajar untuk melihatnya dengan cara positif. Kerana itulah ungkapan “ikhtilaf adalah satu rahmat” diajar kepada umat Islam. Setiap manusia harus menerima hakikat bahawa setiap yang ada dunia ini mempunyai perbezaan di antara satu sama lain. Melihat perbezaan itu dari sudut pertembungan dan pertelingkahan maka natijahnya adalah pepecahan. Apatahlagi usaha menyamakan agama sebenarnya melanggar norma realiti kehidupan.

Dialog Harmoni

Dialog Harmoni yang disiarkan di TV al-Hijrah adalah usaha terbaik membumikan saranan al-Quran agar “berdebat dengan baik” ataupun berhikmah. Sesi dialog ini menampilkan pemuka-pemuka terkenal setiap agama dan membincangkan satu topik dari sudut pandang agama masing-masing. Apa yang dicari ialah titik persamaan antara agama dengan harapan penganut setiap agama memahami saranan agama masing-masing. Dan penonton pula boleh menilai sendiri agama yang dirasakan paling relevan di dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Cara sebegini adalah antara cara terbaik meraikan perbezaan diantara agama yang wujud khususnya di Malaysia ini. Mencari persamaan dari setiap agama kemudian membentuk sebuah agama baru sebenarnya satu tindakan yang tidak bijak kerana ia akan melahirkan golongan ekstremis agama yang akan bertindak agresif dan ganas. Tidak dapat dinafikan di dalam setiap agama pasti ada golongan fundamentalis yang mempertahankan agama mereka, menodai agama dengan mewujudkan agama baru adalah kesilapan besar yang mencetuskan kemarahan golongan fundamentalis tadi.

Kesimpulan

Antara punca lahirnya golongan ekstemis sehingga berlaku gerakan keganasan adalah berpunca dari usaha mereka yang tidak bertanggungjawab menodai agama dengan mewujudkan agama baru iaitu pluralisme agama.  Perbezaan di antara agama bukan ditangani dengan mewujudkan agama baru kerana setiap orang apatahlagi agama memang mempunyai perbezaan tetapi mencari titik persamaan dengan mengadakan dialog yang dinilai sendiri oleh para penonton. Oleh itu, umat Islam perlu dipasakkan dengan aqidah yang kukuh kerana, usaha golongan liberal membawa doktrin tidak akan berhenti setakat ini untuk menyesatkan umat Islam.

 

Islam Menyatukan Sunnatullah dan Syariatullah : Politik Islam

4244551

Bismillahirrahmaanirrahim

Pendahuluan

Timbul beberapa isu apabila pilihanraya kian hampir. Antara isu yang sempat penulis lihat ialah mensyiahkan pemimpin parti lawan. Isu ini sudah lama dimainkan namun, sehingga kini tidak ada lagi bukti kukuh yang dapat menjustifikasikan pemimpin tersebut sebagai syiah. Tulisan kali ini akan mengambil kes ini bagi memberi pencerahan dari aspek politik Islam.

Sunnatullah dan Syariatullah

Di dalam Islam, sunnatullah dan syariatullah adalah satu perkara yang saling melengkapi. Syed Qutb di dalam Ma’alim fi al-Toriq menekankan permasalahan ini diawal buku beliau. Penulis mengira, penekanan Syed Qutb adalah kerana kondisi pada masa itu amat mendesak untuk diaplikasikan teori-teori yang dikemukakan agar ia tidak terus berlegar dalam ruang idealisme sahaja.

Berdasarkan isu mensyiahkan pemimpin sebuah parti politik ini, penulis menjumpai antara saranan-saranan mereka yang membenci syiah ialah agar pemimpin ini dipecat daripada parti yang didukung nya itu kerana dianggap membawa fahaman syiah. Saranan ini tidak bijak kerana, yang paling asas ialah tiada bukti sehingga kini pemimpin ini adalah syiah, kedua, ia membaca dari aspek syariatullah sahaja, atas cinta nya pada agama Islam maka, beliau membawa sentiment itu tanpa menilai dari sudut sunnatullah.

Walaupun ia mencintai agama Islam dari dikotori unsur syiah, pemberi saranan ini harus melihat beberapa aspek sunnatullah antaranya :

  1. Pengikut yang meminati beliau.
  2. Memahami platform yang diduduki tokoh tersebut adalah sebuah parti politik

Pengikut Yang Meminati Beliau

Penulis mengaitkan soal kepengikutan kerana, setiap figur masyarakat pasti mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Berdasarkan penglibatan tokoh ini di dalam politik di Malaysia, ia sudah menarik ratusan ribu orang untuk meminati beliau dari generasi yang lama sehinggalah kepada genarasi yang baru. Berbeza dengan tokoh yang naik bukan berasaskan undi kepengikutan tetapi lantikan seperti  bekas Timbalan Presiden parti ini yang dipecat dimana tiada kesan kepada ahli-ahli di peringkat bawahan.

Memahami Platform Yang diduduki Sebuah Parti Politik

Jika pemberi saranan ini menekuni dari aspek tokoh tersebut adalah sebagai ahli kepada sebuah parti sudah pasti saranan yang diunjurkan tidak mudah dikeluarkan kerana, jika tokoh ini dipecat, implikasi kepada ahli-ahli di peringkat bawahan adalah besar sehingga mampu merobohkan parti ini buktinya, pemecatan Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, beberapa ahli PAS turut mengikuti jejak langkah beliau keluar daripada PAS.

Kesimpulan

Memahami politik Islam mestilah menekuni di antara Sunnatullah dan Syariatullah. Mengambil salah satu nya sahaja akan memberi kesan kepada keputusan yang hasilnya adalah pincang. Penulis melihat pemberi saranan ini daripada dua sudut samada, dia seorang agen kepada parti yang membenci parti Islam ataupun tidak memahami politik Islam.

Wallahu ta’ala A’lam

Gerakan Modenisme Islam : 2

Image

Pendahuluan

Pada tulisan yang lepas kita sudah melihat definisi, sejarah kemunculan dan reaksi umat Islam terhadap modenisme. Kali ini kita akan menilai sejauhmana tokoh-tokoh Islam mengaplikasikan modenisme sehingga dianggap sesat dan terkeluar dari landasan Islam. Adakah benar begitu? Penulis akan cuba merungkai permasalahan ini dalam tulisan kali ini.

Al- Afghani : Father of Islamic Modenism

Antara tokoh modenis Islam ialah Al-Afghani dan Abduh (Jaffary Awang, Kamaruddin Salleh, 2007), malah Al-Afghani digelar father of Islamic modernism (Ibrahim Kalin, t.th.) . Beliau atau nama sebenarnya Sayyid Jamaluddin al-Afghani atau Sayyid Jamaluddin Asadabadi[1] mula mendapat pendidikan awal di sekolah tempatan ketika berumur lima hingga sepuluh tahun. Apabila umurnya mencapai usia lapan belas tahun, beliau telahpun habis belajar secara praktikal keseluruhan tahap pendidikan Islam. Beliau juga menguasai pelbagai bahasa seperti Afghan, Parsi, Turki, Arab, Perancis, Inggeris dan juga Rusia (Azman Md Zain, Mahyuddin Abu Bakar, 2007). Berdasarkan tulisan mereka lagi, Al-Afghani merupakan seorang pengembara yang hebat. Beliau telah melawat banyak negara-negara di Asia dan Eropah. Pengembaraan telah membuka minda dan mematangkan diri beliau tentang kedudukan umat Islam. Pengalaman yang luas telah membentuk pemikiran Al-Afghani. Antara pemikiran beliau ialah anti-imprealisme, pan-Islamisme dan seruan kepada kebangkitan umat dengan menguasai ilmu-ilmu sains dan teknologi.

Pemikiran kemodenan Al-Afghani boleh disimpulkan sepertimana yang disebut oleh Esposito katanya, bagi Al-Afghani, matlamat untuk menggerakkan semula masyarakat yang dikuasai tidak mungkin tercapai hanya sekadar dengan bersikap tidak mempedulikan atau menolak Barat tetapi dapat dicapai dengan berhadapan dan berkonfrontasi secara aktif (Esposito, John L, 2008). Apa yang difahami dari kesimpulan ini, Al-Afghani bukan seorang tradisionalis yang menolak keseluruhannya dari barat, beliau juga bukan seorang yang menerima secara total apa yang datang daripada barat, hal ini berdasarkan ayat ‘berkonfrontasi secara aktif’ yang menggambarkan usaha menerima dan memanfaatkan sumber daripada barat dengan selektif ataupun berhati-hati. Usaha ataupun cara yang dilakukan ini diharapkan mampu mengeluarkan umat Islam dari terus bergantung dengan kuasa penjajah.

Muhammad Abduh : Sheikhul Azhar yang Kritis

Muhammad Abduh pula merupakan pengasas dimensi reformasi intelektual dan sosial modenisme Islam (Esposito, John L, 2008). Beliau yang lahir dan mendapat pendidikan di Mesir telah bersama-sama dengan Jamaluddin al-Afghani menggerakkan usaha menentang imprealisme di bumi umat Islam. Beliau merupakan murid Al-Afghani yang paling menonjol.  Abduh percaya bahawa pendidikan adalah jalan terbaik merealisasikan matlamat mereformasi bangsa Mesir dan umat Islam dari kemunduran kepada kemajuan (Anon, 2012). Pemikiran beliau ini dipengaruhi dari gurunya sendiri al-Afghani walaupun pendekatan yang digunapakai mereka berbeza. Abduh dilihat lebih menumpukan dalam bidang pendidikan manakala al-Afghani memberi penekanan dari sudut politik umat Islam. Namun tujuan kedua-dua mereka tetap sama iaitu memberi kesedaran umat Islam dari terus dikongkong imprealisme barat.

Pemikiran dan sifat Abduh mengenai kemodenan boleh dilihat dari kritikan beliau kepada beberapa isu dalam Islam. Sepertimana kritikan beliau terhadap isu poligami, beliau menyangkal amalan poligami pada masa itu kerana dianggap tidak sesuai dan berbeza dengan zaman Rasulullah. Seruan sebenar Islam dalam al-Quran adalah monogami (Esposito, John L, 2008). Alasan Abduh ini banyak digunapakai oleh aktivis yang menolak poligami dalam Islam. Dari pandangan beliau, Abduh menonjolkan dirinya sebagai muslim yang kritis terhadap agama. Tidak bersifat taqlid dan mendatangkan tafsiran-tafsiran baru yang dianggap sesuai dengan zaman dan keadaan pada masa itu. Sikap ini menyamai golongan modenis barat yang juga bersikap kritikal terhadap agama mereka namun, Abduh kekal relevan sepertimana al-Afghani yang menerima secara selektif sikap, pemikiran dan teknologi barat yang dianggap sesuai dengan Islam.

Sikap kritikal beliau ini disokong dengan amalan pendidikan yang diperkenalkan ketika menjawat jawatan Sheikhul Azhar. Beliau merombak sistem persekolahan dan pengajaran dan memperkenalkan subjek humanis, falsafah, sejarah dan mewajibkan mata pelajaran sains di kuliah (Nabil Ahmad, 2012) Perubahan pendidikan yang dibawa Abduh ini mencetuskan pemikiran Islah dikalangan penuntut di Al-Azhar. Abduh memanfaat sepenuhnya kedudukannya sebagai Sheikul Azhar bagi merealisasikan pendekatan dan cita-cita beliau memberi solusi kepada permasalahan umat Islam melalui pendidikan.

Kesimpulan

Kedua-dua tokoh ini menyedari kelemahan yang dialami umat Islam. Mereka mengunjurkan solusi yang dianggap sesuai bagi mengatasi kelemahan yang melanda umat Islam. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut, dalam menyelesaikan masalah umat Islam, kita wajib memahami keadaan zaman yang sedang kita tempuh sekarang ini secara terperinci, benar dan mendalam. Kerana, jika kita tidak mengerti dan tidak mengenal “wajah zaman” kini dengan sebenar dan mendalam, maka  akan mengakibatkan terjadinya perkara yang sangat buruk, seperti seorang pakar perubatan yang mencadangkan ubat yang mahal untuk untuk seorang pesakit, namun dia tidak melakukan pemeriksaan dan diagnose yang teliti dan benar kepada pesakitnya terlebih dahulu. Boleh jadi ubat tersebut boleh menambah buruk keadaan si pesakit atau juga menyebabkan kematian (al-Qaradhawi, 1999). Al-Afghani dan Abduh dilihat berjaya membaca dan memahami keadaan yang berlaku kepada umat Islam pada masa itu seterusnya menawarkan penyelesaian yang terbaik.

Wallahu ta’ala A’lam


[1] Asadabad adalah tempat kelahiran beliau, namun terdapat perselisihan tempat sebenar kelahiran al-Afghani, perkara tersebut boleh dirujuk dalam artikel Jurnal Pengajian Umum Bil.8 dibawah tajuk Pemikiran Politik Sayyid Jamaluddin al-Afghani.