Pluralisme Etnik

majmuk

Bismillahirrahmaanirrahim

Pendahuluan

Sejak berlaku peristiwa hitam 13 Mei, hubungan antara kaum di Malaysia khususnya di antara Melayu dan Cina mula merenggang. Walaupun sudah berpuluh tahun berlalu, sikap dan pandangan skeptikal di antara Melayu dan Cina masih lagi terpancar. Dari keadaan ini, penulis akan cuba melihat sejauhmana pihak kerajaan berusaha merapatkan kembali jurang di antara kaum di Malaysia? Apakah usaha-usaha yang dilakukan? Dan adakah ianya mendatangkan hasil yang positif?

Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru adalah antara usaha yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan bagi merapatkan jurang antara kaum, antara faktor yang disebut berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei itu berpunca dari jurang ekonomi yang besar antara Melayu dan Cina.

DEB diperkenalkan  sejak 1970, namun hasil yang ingin dicapai setelah 43 tahun berlangsung masih tidak memuaskan malah tujuan 30 peratus dicapai oleh bangsa Melayu masih jauh. Ini membuktikan usaha mendekatkan atau merapatkan jurang antara kaum melalui DEB ini gagal. Walaupun dasarnya kelihatan baik tetapi setelah ia ‘dilacurkan’ oleh pimpinan Negara maka akhirnya matlamat yang diidamkan lebur.

Pendidikan

Pelan pendidikan Negara dirangka dengan baik namun, pelbagai usaha yang dijalankan tidak menampakkan kesan yang besar. Sebagai contoh, PPSMI, tujuan dan matlamatnya kelihatan baik tetapi dari aspek aplikasi tidak jelas. Penulis maksudkan tidak jelas disini apabila perbezaan diantara pelajar Bandar dan luar Bandar sangat ketara keputusannya malah pihak kerajaan terpaksa menurunkan gred supaya ia dilihat meningkat. Yang lebih menyedihkan, kerajaan telah membelanjakan RM8 billion untuk projek ini.

Pendidikan di Malaysia seolah-olah bahan eksperimen yang dicuba sesuka hati tanpa menilai dengan mendalam. Soal mendidik masyarakat melalui pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat diatasi masih tidak menampakkan hasil sebagai contoh subjek TITAS di peringkat Universiti dilihat oleh pelajar non-muslim sebagai beban sehingga dikalangan mereka meminta agar subjek tersebut menjadi subjek elektif bukan subjek wajib. Keadaan ini menggambarkan pihak kerajaan tidak betul-betul bersungguh mendidik masyarakat melalui pendidikan.

Kesimpulan

Berdasarkan dua aspek ini (Ekonomi dan pendidikan), penulis merasakan, pihak kerajaan sebenarnya tidak serius menangani jurang perbezaan antara kaum. Ditambah lagi dengan adanya kepentingan politik seperti politik perkauman yang menjadi modal kebanyakan politikus kerajaan maka penulis boleh katakan tidak ada usaha yang sebenar pihak kerajaan membentuk sebuah masyarakat yang berfahaman pluralisme etnik yang boleh mengeratkan hubungan antara kaum. Jika penerapan pluralism etnik berjaya dibentuk, sudah pasti Negara ini akan melahirkan rakyat yang keluar dari kelompok kesukuan kepada sebuah bangsa Malaysia yang tersendiri.

 

 

 

Kapitalisme dan Neo-Feudalisme

kapitalisme

Pendahuluan

Minggu-minggu yang sudah, penulis sempat pulang ke kampung. Ketika di kampung, ibu menceritakan perihal kemalangan yang berlaku dihadapan gerai makan di satu simpang. Menurut tuan kedai, kereta yang keluar dari simpang itu bersalah kerana, tidak melihat ke kiri dan ke kanan ketika keluar. Kata ibu, yang salah adalah tuan kedai makan. Kedudukan gerai makan yang menghalang pandangan kenderaan menjadi punca kemalangan selalu berlaku disitu.

Penulis berfikir sejenak, mungkin inilah nilai kapitalisme yang meresap ke dalam pemikiran masyarakat kita sekarang. Pemilik gerai tadi, sedikit tidak mengambil kira rungutan-rungutan orang yang lalu disitu. Tuan kedai hanya tahu untung. Keselamatan dan nyawa manusia tidak dihiraukan.

Sistem Feudal

Begitulah juga nilai di dalam sistem feudal. Tidak menghiraukan kebajikan, keselamatan dan nyawa orang lain (orang bawahan), apa yang penting adalah kesenangan dan keuntungan hidup mereka. Sebelum sistem ekonomi kapitalis muncul di eropah, sistem feudal lah yang awal bertapak disana. Kegiatan utama dalam masyarakat feudal lazimnya berasaskan pertanian, di mana tanah merupakan faktor ekonomi terpenting (Syed Husin Ali, 2004).

Perkara terpenting dalam sistem feudal ialah susun lapis masyarakat. Daripada aras tertinggi iaitu golongan raja dan bangsawan sehinggalah kepada rakyat biasa dan hamba. Kedudukan sistem ekonomi seperti ini mampu dikekalkan dengan kuasa pemerintahan. Dalam sistem feudal, golongan istana dan bangsawan memain peranan penting bagi memastikan sistem ini terus kekal samada dengan penguatkuasaan undang-undang dan ugutan-ugutan tahyul[1].

Kapitalisme

Kapitalisme muncul selepas berlaku nya Era Renainssance di Barat. Pemikiran logik (sekularisme) mengambil tempat pemikiran masyarakat barat. Kuasa raja samada dihadkan seperti di England atau dibuang terus seperti di Perancis telah mengubah sistem sistem ekonomi feudal kepada sistem ekonomi baru pada masa itu iaitu kapitalisme.

Hal yang sama juga berlaku di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan. Pihak penjajah telah mengehadkan kuasa raja hanya dalam sektor agama yang sangat terhad. Soal pengurusan khazanah Negara pada masa itu, semuanya diuruskan oleh penjajah. Hegemoni ini diteruskan oleh anak didik mereka yang disemai di zaman penjajahan tumbuh di zaman Merdeka dan dan terus dipupuk sehingga sekarang.

Sistem ekonomi kapitalisme terdapat beberapa persamaan dengan sistem feudal yang lalu antaranya:

  1.  Kekayaan negara dinikmati oleh golongan tertentu yang minoriti.
  2.  Urus tadbir ekonomi negara ditentukan oleh golongan pemerintah.
  3. Golongan bawahan yang sentiasa ditindas.

Kuasa Politik

Berdasarkan senarai persamaan tersebut, panulis menyimpulkan terdapat hubungkait yang saling memerlukan diantara Kuasa Politik dan Kapitalis. Kuasa politik yang dimiliki pemerintah akan menentukan dasar-dasar ekonomi Negara. Pemerintah yang mengamalkan kapitalisme akan mengstrukturkan dasar-dasar ekonomi yang menyebelahi golongan pemodal (kapitalis). Antara dasar yang menyebelahi golongan pemodal di Malaysia adalah dasar LDP (Liberalisasi, Diregulasi dan penswataan) yang diperkenalkan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir. Penswastaan lebuhraya sebagai contoh, ia membuka seluas-luasnya kepada pihak syarikat mengambil keutungan daripada rakyat dengan menentukan tarif tol mengikut sesuka hati mereka tanpa menghiraukan beban yang ditanggung rakyat.

Kuasa politik juga menentukan pihak-pihak tertentu yang layak seperti sahabat atau kaum kerabat yang tedekat bagi menerima projek-projek daripada kerajaan tanpa membuka tander-tander tersebut kepada umum. Selain itu, kita juga boleh melihat dari aspek belanjawan Negara yang dibentangkan dalam Bajet Negara. Negara yang berasaskan kapitalisme akan mengagihkan belanjawan Negara lebih besar kepada projek-projek mega yang dipegang oleh syarikat tertentu berbanding  agihan yang diberikan kepada rakyat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, jika di Malaysia, politik dan ekonomi menjadi dua entiti penting saling memerlukan dalam mengukuhkan penguasaan golongan tertentu terhadap kekayaan Negara. Hal ini berbeza di Negara-negara maju seperti England dan Japan. Walaupun mereka turut mengamalkan dasar kapitalisme  namun, ia lebih diaplikasikan di dalam dasar luar Negara. Dasar dalam Negara mereka lebih menjurus kepada sosialisme yang menjaga kebajikan rakyat. Menurut Syed Husin Ali, Malaysia sebenarnya masih lagi mengamalkan sistem feudal ataupun dipanggil neo-feudal.

Wallahu ta’ala a’lam


[1] Ugutan tahyul adalah istilah yang direka penulis berkaitan cerita-cerita tahyul yang direka oleh orang-orang istana bagi menakutkan orang bawahan daripada bangun menentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pihak mereka. Contonya ialah tulah.

Deepavali Bukan Untuk Kaum India

Pendahuluan

Setelah 55 tahun merdeka, Malaysia menghadapi pelbagai cubaan, mehnah dan tribulasi. Sementelah Negara ini menuju sebuah Negara maju, masalah datang dari segenap penjuru, dalam mahupun luar Negara oleh itu, sangat-sangat dituntut pada setiap rakyat nya bersedia dan matang sesuai dengan label Negara maju nanti.

Malaysia diduduki oleh pelbagai lapisan masyarakat. Majoriti nya adalah dari kalangan Melayu, Cina dan India, selebihnya adalah kaum minoriti di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Sebuah Negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti ini tidak lain tidak bukan perlu persefahaman yang tinggi di antara mereka.

Namun, setelah sekian lama merdeka, tahap persefahaman di antara kaum masih boleh dipertikai dan belum memuaskan[1]. Perpaduan antara kaum sukar wujud jika persefahaman di antara mereka tidak wujud. Proses menuju Negara maju sudah pasti terbantut jika masyarakatnya tidak disatukan.

Isu perpaduan kaum bukan isu kecil, ia sebuah isu besar yang mana jika gagal difahami, diuruskan dan diatasi dengan baik ia bakal mengundang petaka besar yang pernah kita lalui pada tanggal 13 Mei 1969 yang lalu. Tulisan ini diharap mampu membuka minda pembaca kepada punca  seterusnya mengorak jalan penyelesaian yang difikirkan sesuai.

Kisah Penulis

Penulis adalah graduan dari Morocco. Sepanjang 4 tahun menuntut ilmu disana, pelbagai pengalaman berharga yang tidak ternilai harganya. Antaranya, penulis pernah berjalan pada suatu hari bersama seorang sahabat, kami disapa oleh seorang pelajar sekolah rendah, pelajar ini bertanyakan adakah kami orang cina?. Kami jelaskan kepada beliau yang kami adalah orang Malaysia. Pelajar ini terus bertanya, adakah kami kafir? Sahabat saya menjawab dengan bertanyakan soalan, adakah dengan berjanggut seperti salafi, berjubah dan berkopiah seperti ini, kami masih dianggap kafir?. Pelajar ini pening untuk menjawab.

Penulis sedar, dalam pemikiran kebanyakan masyarakat Morocco, orang Asia semuanya adalah kafir. Bagi kami, soalan seperti itu menimbulkan kemarahan dan sakit hati. Tetapi tiada tindakan fizikal yang pernah kami lakukan memandangkan kami faham kondisi masyarakat mereka yang jauh ketinggalan dari sudut pendidikan mengenai bangsa-bangsa lain yang ada di dunia ini. Kisah yang pernah dialami penulis ini boleh dijadikan contoh tahap pendidikan, ilmu ataupun pendedahan yang rendah boleh menimbulkan jurang yang besar dan pertelingkahan antara kaum.

Kaum India di Malaysia

Kaum India di Malaysia kebanyakan mereka berasal dari Selatan India dari Negeri Tamil Nadu. Mereka terdiri dari orang Malayalee dan Telugu[2]. Seperti mana juga orang Melayu, terdiri dari orang Jawa, Banjar, Bugis dan lain-lain. Kebanyakan mereka adalah beragama Hindu. Oleh kerana majoriti di Malaysia Kaum India menganut agama Hindu, timbul persepsi orang India itu pasti nya Hindu. Hakikat nya tidak semua kaum India menganut Hinduisme, ada yang beragama Kristian dan Buddha.

Persepsi ini silap, persepsi ini menjuruskan sifat pukul rata di kalangan masyarakat. Persepsi ini juga timbul di kalangan non-malay terhadap Bangsa Melayu. Penulis melihat persepsi ini menjadi dogma yang menghalang masyarakat non-malay mendekati Islam kerana mereka menganggap Islam itu dikhususkan kepada orang Melayu sahaja.

Satu contoh kesan dari sifat pukul rata ialah, penulis pernah diadukan tentang sebuah program wacana dipaksa agar dibatalkan. Alasan nya kerana panelis tidak sehaluan dengan kumpulan disitu dan punya pemikiran dari kumpulan lain. Sedangkan isu yang dibincangkan tiada kaitan dengan perbezaan kumpulan. Persepsi yang menganggap kumpulan lain adalah musuh telah menghalang untuk mereka duduk bersama walaupun memberi manfaat kepada ramai orang.

Punca

Punca kepada masalah ini penulis datangkan dua iaitu :

Pertama : Kurang ilmu. Masyarakat tidak didedahkan dengan kaum lain. Kerajaan Malaysia, selepas tragedi 13 Mei telah cuba mendekatkan jurang antara kaum di Malaysia. Antara usaha yang diperkenalkan ialah sekolah kebangsaan. Usaha ini sangat bagus Cuma, perlu ada penambahbaikan seperti memperkenalkan silibus yang melibatkan pemahaman semua kaum. Pengalaman penulis sebagai guru selama ini masih tidak ada silibus seperti itu.

Kedua : Kegagalan memahami isu. Seperti isu persaingan antara dua parti politik dalam isu pentadbiran Negara. Khilaf di antara mereka tidak menafikan hak persaudaraan sesama Islam seperti ziarah-menziarahi dan sebagainya. Namun, masih ada yang membawa perbezaan dalam isu urus tadbir Negara tadi hingga ke peringkat peribadi. Sampai ada yang sanggup mengharamkan sembelihan musuh politik mereka yang mana tiada kaitan langsung dengan isu politik.

Berpunca dari kurang ilmu membawa kepada kegagalan memahami isu yang berlaku. Seterusnya membawa kepada sifat pukul rata dan akhirnya berlaku perbalahan, pergaduhan dan pertumpahan darah.

Penyelesaian

Perkara asas kepada penyelesaian isu ini ialah ilmu. Masyarakat perlu diberi ilmu tentang kaum-kaum yang wujud di Malaysia ini. Berdasarkan ilmu tadi sudah pasti akan terbit kesedaran di kalangan masyarakat untuk menjaga keamanan dan semangat cintakan Negara ini. Masyarakat juga perlu berfikiran matang, matang yang dimaksudkan disini ialah, tidak mudah terpengaruh dengan emosi dan sentimen-sentimen yang boleh memecah belahkan kesatuan masyarakat, rakyat perlu bijak menilai isu apa sebenarnya yang dimainkan. Seperti di sesetengah Negara maju, rakyatnya akan memilih perwakilan yang mampu mengurus tadbir Negara dengan baik, mereka tidak memilih di atas sentimen ras warna kulit ataupun bangsa apa dia, juga bukan atas dasar budi yang pernah ditaburkan. Berbeza di Negara kita, masih ramai yang memilih YB mereka atas dasar bangsa dan agama, tidak kiralah mereka itu pernah mempunyai rekod buruk dan tidak mampu menjalankan kerja yang penting bangsa aku ataupun agama aku. Marilah kita sama-sama menuju Negara maju dengan pemikiran yang maju juga.

Kesimpulannya, Deepavali bukan untuk kaum India sahaja, kerana tidak semua kaum India beragama Hindu. Deepavali adalah untuk penganut Hinduisme, tidak kira dia Melayu, Cina, India, Mat Saleh dan lain-lain lagi. Begitu juga Hari Raya, bukan untuk Melayu sahaja, juga untuk bangsa-bangsa lain yang beragama Islam. Memahami isu sebenar menegah kita dari bersifat pukul rata. Selamat Hari Deepavali untuk penganut Hindu.

Wallahu ta’ala A’lam

Laporan : Gerakan Islam Pasca Arab Spring

Gerakan Islam Pasca-Arab Spring

Tempat : Masjid Abu Bakar Bangsar

Moderator : Dzulkhairi

Ahli Panel 1 : Dr Mujahid

Ahli Panel 2: Dr Mazslee

Pusingan Pertama : Dr Mujahid minta kita pastikan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘Arab Spring’. Di dalam bahasa arab ia diistilahkan dengan thaurah, di dalam (bahasa Inggeris) ia juga diistilahkan arab awakening.

Arab Spring seperti domino. Kerana ia berlanjutan. Kemudian Dr Mujahid membangkitkan kenapa ia di Arab? Adakah tempat lain tiada kebangkitan? Jika kita lihat Mesir sekalipun ia berada di Afrika Utara, istilah itu sebenar kerana barat menamakan kawasan tersebut sebagai middle east.

Sepatutnya barat gembira dengan kebangkita ini, kerana merekalah yang mempromosi demokrasi, namun tidak semua demokrasi di senangi barat, kerana melibatkan polisi luar mereka.

Seterusnya Dr Mujahid membawa hadirin melihat perjalanan Mesir sejak kejatuhan Raja Farok sehinggalah Mubarak dan menafsirkannya sebagai keluar mulut singa masuk mulut naga. Di Middle east beberapa babak selepas revolusi pada masa dahulu ialah pertukaran monarki kepada republik, kebanyakan diterajui oleh Janeral tentera seperti Mesir dan Libya.

Dari suasana yang berlaku itu, similarisasi yang boleh dilihat diantara mereka ialah pemerintahan autokrasi (kuku besi) dan tiada ruang demokrasi. Kebangkitan disana faktor utama ialah, berpunca dari ruang demokrasi yang disediakan sangat sempit.

Faktor kedua, ialah kebebesan media. Ketiga ialah penggunaan pihak keselamatan bagi memastikan suara-suara yang menentang pemerintah dihapuskan. Faktor keempat ialah faktor ekonomi, contoh Mesir, ia berpunca dari kemiskinan, apabila lapar mereka akan marah (hak asasi mereka tidak dipenuhi), berbeza di Bahrain mereka menaburkan kekayaan kepada rakyat tetapi kebangkitan tetap berlaku kerana kebebasan ekonomi dikuasai golongan tertentu, demokrasi disekat dan tiada ketelusan media .

Faktor-faktor ini berperanan kepada cepat atau lambat kebangkitan itu berlaku.

Dr Mujahid seterusnya menimbulkan persoalan, apa kaitan semua ini dengan gerakan Islam?

Gerakan Islam menjadi kebimbangan sebagai mereka yang akan memobilisasi massa. Kebangkitan ini melibatkan semua peringkat masyarakat. Cuma sepertimana yang disebut tadi, gerakan Islam mengepalai gerakan kebangkitan dan memanipulasi keadaan tersebut untuk keuntunga politik mereka.

Dr Mujahid membawa contoh gerakan Ikhwan yang mampu untuk terus bernyawa sejak dari pengasasan mereka sehingga sekarang adalah kerana roh perjuangan mereka yang jelas dan kukuh sebagai khalifatullah. Dr Mujahid juga mendatangkan contoh An-Nahdah yang juga jelas dan sama tujuan perjuangan mereka seperti ikhwan. Kedua-duanya bersama dengan massa apabila berlaku kebangkitan, disinilah massa dapat merasai kewujudan mereka seterusnya mendapat sokongan dari semua peringkat.

Jawapan kepada penerimaan mereka oleh masyarakat adalah kerana saat susah, mereka bersama-sama rakyat.

Kini selepas kebangkitan mereka memikirkan bagaimana mengisi kebangkitan itu. Mereka dilihat bijak dengan mengisi kemenangan tersebut dengan mengembalikan demokrasi yang lebih telus (mendahului perkara fundamental agama, kerana mereka sedar rakyat menerima mereka bukan sebab kefahaman dasar perjuangan mereka, tetapi mengharapkan suasana yang lebih harmoni).

Seterusnya Dr Mujahid membangkitkan, kenapa gerakan Islam menjadi kebimbangan Amerika? Kebimbangan itu wujud kerana melihat kondisi Israel pasti akan tergugat jika kebangkitan rakyat itu berakhir dengan pemerintahan dari gerakan Islam. Israel menjadi kuasa pengimbang Amerika kepada dunia Islam yang berpusat di middle east. Contoh Mesir, selama ini negara Mesir lah yang banyak menyalurkan minyak ke Israel, kini telah diputuskan oleh kerajaan Mesir yang baru.

Pusingan Kedua : Dr Mazslee memulakan dengan pengalaman beliau dijemput Astro Awani mengenai perbincangan bila Mubarak nak jatuh, dalam masa yang sama di Libya Muammar Ghadafi menyatakan tidak mungkin kebangkitan yang berlaku di Mesir merebak ke Libya tetapi hakikatnya sudah jatuh sekarang.

Kejayaan yang berlaku ini mungkin tidak sesuai meletakkan Al Banna sebagai asas rujukan kebangkitan, tetapi ada susur galur nya sebelum Hasan Al Banna. Dr Mazslee melihat buku Tabai Istibdad sangat signifikan membuktikan keadaan ini yang terlebih dahulu membahaskan keadaan yang berlaku, juga buku Ummu al-Qura, kedua-duanya karangan Abdul Rahman Al-Kawakibi.

Dr Mazslee sempat menceritakan kedudukan Hasan Al-Banna yang kuat membaca sehingga bacaan beliau melangkaui buku-buku penulis Islam dengan membaca buku-buku penulis barat. Seperti buku Baina Ams wa al-Yaum yang banyak terkesan dengan era kebangkitan eropah menentang pemerintahan teokrasi.

Dr Mazslee kemudian membawa satu joke, antara Anwar Sadat, Jamal Abdel Nasir dan Mubarak. Mereka bertanya sesama sendiri kenapa mereka berkumpul di neraka. Anwar Sadat memberitahu dia ditembak, Jamal pula memberitahu dia diracun, Mubarak mengambil masa untuk menjawab sambil berfikir, jawapannya… facebook.

Dr Mazslee bersetuju, bukan faktor ekonomi yang mencetuskan kebangkitan, jika faktor ekonomi, kerajaan-kerajaan kuku besi ini sebenarnya telah banyak melakukan transformasi ekonomi agar dilihat rakyat yang mereka sedang berusaha membaiki taraf kehidupan. Bagi Dr Mazslee faktornya berbalik kepada kata Abdul Rahman Al-Kawakibi, dimana bila manusia pandai maka mereka akan bebas memilih, tiada paksaan. Pendidikan seperti ini sangat penting. Pendidikan yang memberi pencerahan kepada rakyat.

Contoh yang terbaik ialah tivi al-jazeera berjaya mendidik penonton bebas memilih pilihan mereka, tivi al-Jazeera mempunya polisi pemberitaan yang baik, tidak bias kepada mana-mana kepentingan, kerana itulah menurut Dr Mazslee, warga ceruk kampung di middle east lebih hebat memberi hujah jika nak dibandingkan sesetengah ahli parlimen di Malaysia yang kadang-kadang merapu kerana menonton al-Jazeera.

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, kebangkitan mereka ialah kerana kebebasan media yang membuka pemikiran rakyat yang selama ini hanya disogok dengan satu arah sahaja iaitu pihak kerajaan demi kepentingan mereka.

Seterusnya Dr Mazslee mula membincangkan kenapa gerakan Islam diterima oleh masyarakat di timur tengah.Ianya kerana gerakan Islam disana timbul dari akar umbi, dari rakyat untuk rakyat. Mereka juga bergerak di kalangan rakyat dan rakyat mudah mendekati mereka.

Soal polisi luar Amerika, Dr Mazslee membawa satu keadaan ketika era Bush. Amerika ketika itu ingin dilihat sebagai pembawa keamanan di rantau Asia Barat, Condolise Rize diutuskan dan mengutarakan the new middle east, yang pelik mereka tidak bercakap soal tukar pemimpin yang mengamalkan sistem kuku besi. The new middle east tidak lebih dari kosmetik politik.

Apa yang cuba dibuat oleh Amerika ialah agar rakyat melihat ruang demokrasi memang disediakan oleh pimpinan kuku besi. Natijah dari ruang demokrasi yang dibuka sedikit kita dapat melihat Ikhwan menang beberapa kerusi di Mesir dan Hamas memenangi pilihanraya di Palestin.

Walaupun ia kosmetik, gerakan Islam berjaya memanipulasi ruang dan keadaan itu. Mereka menggunakan model pendekatan AKP.Antara yang terawal mengambil model AKP ialah parti An Nahdah. Kemudian Ikhwan Muslimin.

Yang lebih menarik, Jamaatul Dakwah Salafiyyah nama asal kepada Parti An Nur juga dilihat mula mengorak langkah dengan menyertai politik. Apabila diajukan soalan kenapa salafi memilih demokrasi. Mereka menjawab pada pada zaman Mubarak, tiada ruang buat mereka, namun kini sudah berubah, dan jika tidak diisi, ianya menjadi kebimbangan akan diambil peluang oleh golongan liberal dan sekular.

Kemenangan dilihat memihak kepada mereka dibelakang Ikhwan Muslimin. Penerimaan masyarakat kepada mereka kerana pendekatan kebajikan golongan salafi kepada masyarakat seperti yang dilakukan oleh Ikhwan dilihat berkesan, berbanding golongan liberal dan secular yang lebih menggunakan pendekatan facebook dan twitter tanpa turun dilapangan.

Golongan radikal juga mengisi ruang demokrasi ini. Apabila ditanya, alasan mereka tiada pilihan pada masa itu melainkan senjata, namun kini mereka ada ruang apabila demokrasi dilaksanakan secara tulen.

Isu antara konservatif dan progresif atau reformis dalam gerakan Islam. Bagi Dr Mazslee ianya adalah satu lumrah yang wujud dalam gerakan Islam walau dimana-mana, samada Hamas, Ikhwan, an-Nahdah dan Pas sendiri. Namun perkara itu tidak menjadi masalah jika dilihat dari aspek dinamika gerakan Islam. Bagi yang tidak memahami situasi ini, akan melihat ia sebagai satu perpecahan atau ancaman dalam gerakan. Bagi Dr Mazslee lagi, kewujudan dua golongan ini di dalam sebuah gerakan Islam sebagai pengimbang di antara satu sama lain. Sudah pasti golongan konservatif gagal tanpa pertolongan dari kalangan reformis dan begitulah sebaliknya.

Hasil wacana kali ini, penulis dapat mengetahui faktor-faktor yang mencetuskan kebangkitan di Asia Barat, namun faktor-faktor itu berbeza mengikut tempat masing-masing dan faktor-faktor itu juga menentukan lambat atau cepat kebangkitan itu terjadi. Selain itu, kebebasan media menjadi faktor penting menurut Dr Mazslee sebagai mekanisme pendidikan yang paling berkesan mendidik rakyat bebas mendapat maklumat dan membuat pilihan. Selain itu, aliran yang wujud di dalam gerakan Islam antara konservatif dan progresif adalah pelengkap di antara satu sama lain. Mana-mana yang melihat dua aliran ini sebagai satu pertembungan, sudah pasti wujud disini kesalah fahaman atau kekurangan ilmu.

Wallahu Ta’ala A’lam

Ideologi Semasa

Bismillahirrahmaanirrahim

Sepanjang melayari kehidupan selepas tamatnya sem 2 pengajian siswazah, saya banyak mengambil peluang membaca buku-buku yang saya tetapkan untuk dihabiskan dan saya pilih memberi kesan yang besar dari saya membaca buku-buku yang kurang memberi impak.

Sepanjang pembacaan, saya temui sesuatu yang baru, itulah perkara yang membuatkan saya berasa kurangnya ilmu apabila banyak perkara yang saya perolehi. Oleh kerana penumpuan pembacaan saya lebih kepada pemikiran, falsafah dan isu semasa maka, kesitulah perbincangan yang melingkari saya.

Beberapa pemikiran semasa yang saya temui yang mana jarang didengari oleh masharakat Malaysia yang agak kurang membaca. Pertama saya jumpa ideologi Wilsonisme dan kedua Libertarianisme. Kedua-dua pemikiran memberi kesan yang besar kepada masharakat, agama dan khususnya pentadbiran negara.

Apa yang saya bimbang ialah gerakan Islam di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia mengenai sejauhmana kepantasan kita menguasai isu-isu dan pemikiran seperti ini, sedang pemikiran atau ideologi ini menjadi pengamalan kepada negara. Tanpa memahami dan mendalaminya sudah pasti mudah dimanipulasi musuh.

Pemerkasaan dari sektor ilmu sangat penting dititik beratkan. Khususnya ilmu-ilmu semasa yang memberi gambaran kepada sebuah gerakan untuk bergerak dalam arus modenisasi dan globalisasi. Kita tidak mahu gerakan Islam dipandang dengan imej ketinggalan kerana kegagalan kita menguasai ilmu-ilmu semasa.

Kejayaan Rasulullah yang memberi imej yang yakin kepada masharakat pada masa itu adalah bukti bagaimana Baginda memahami tuntutan zaman pada masa itu. Itulah antara elemen penting yang harus diteladani gerakan Islam jika ingin mencapai kejayaan, kerana Islam itu bergerak dengan landasan Sunnatullah dan Syariatullah.

Wallahu ta’ala a’lam

Kuasa Melayu Terhakis?

Bismillahirrahmaanirrahim

Ramai orang memperkatakan mengenai kuasa, keistimewaan dan kelebihan yang diterima orang Melayu.

Namun sedarkah kita, semua itu makin hari makin terhakis. Cukup parah dan membimbangkan keadaan nya.

Lihat sahaja penguasaan kaum lain dalam sektor-sektor di Malaysia. Ekonomi, pendidikan, sukan, tak lama lagi juga politik.

Bangsa Melayu begitu terasing di bumi sendiri, kurang penambahan dari sudut kualiti dan kuantiti dalam pelbagai bidang kecuali jenayah.

Penulis melihat puncanya pada proses pembangunan insani bangsa Melayu tidak berjaya dan gagal. Soal melahirkan modal insan berkait dengan peranan kerajaan yang dikuasai sebilangan besar bangsa Melayu.

Dalam bahasa mudah adalah golongan politikus. Mereka adalah kelompok yang merancana pembangunan material dan juga insani di Malaysia.

Tidak dinafikan memang ada usaha dijalankan bagi membangunkan bangsa Melayu seperti projek DEB. Namun perlaksanaan yang dijalankan oleh golongan politik nepotalisme menggagalkan projek tersebut.

Jelaslah peranan ahli politik Melayu yang gagal melihat tujuan sebenar kedudukan mereka bagi membantu bangsa Melayu adalah punca kemerosotan bangsa ini.

Akhirnya kuasa Melayu terhakis dan bakal lenyap selamanya kerana tiada modal insan yang mampu menggalas mana-mana tanggungjawab memimpin negara ini. Ketika itulah kepercayaan rakyat akan mula beralih kepada bangsa lain.

Politikus yang bermotifkan kekuasaan dan harta, mengatasi usaha pembangunan agama, bangsa dan negara wajib ditolak oleh rakyat jika ingin lihat bangsa ini bangkit.

Wallahu Ta’ala A’lam

Ada apa dengan demo?

Bismillahirrahmaanirrahim

Lama tidak bersua setelah dan masih sibuk dengan kerja kursus di kuliah dan period raya, mangsanya diri sendiri kerana kelebihan menulis akan makin malap.

Kali ni saya tertarik dengan aksi demo-demo yang berligar di seluruh dunia, golongan ini sudah tidak tahan lagi dengan ekonomi dunia yang terus tidak adil pengagihan kekayaan nya.

Golongan pemodal terus menguasai 2/3 kekayaan dunia sedangkan mereka adalah golongan minoriti di mana-mana negara sekalipun, majoriti penduduk dunia terus tertindas kerana sistem yang ada sekarang hanya mengemukkan golongan minoriti tadi.

Saya pernah dengar sindiran sinis keatas golongan yang keluar berdemo sebagai rendah mentaliti mereka,mungkin dia ada hujah tersendiri untuk kata begit, bagi saya demo adalah platform golongan massa meluahkan perasaan mereka untuk didengari.

Kebanyakan kaum pemodal memagang tampuk pimpinan negara, kalau tidak pun mereka memegang kepala-kepala pimpinan negara sebagai boneka. Dari situ saya tidak nampak ruang yang adil bagi massa mengambil jalan selain demo.

Saya kadang tertanya kenapa massa yang ramai selalu ditindas oleh komuniti kecil yang kaya? Ramai lawan sikit logikalnya ramai yang menang, namun hakikat adalah sebalik. Beberapa aspek seperti konkongan minda,ruang keterbukaan sempit, tiada kebebasan saluran maklumat dsb, mengakibatkan ramai yang tidak berani malah tidak tahu untuk apa mereka perlu bangkit.

Banyak peranan yang perlu dimainkan oleh agamawan, ahli akademik, para siswa dan golongan terpelajar bagi menyedarkan hakikat keadaan disekeliling massa mengenai penindasan yang sedang berjalan ini.

Akhirnya saya ingin kita sama-sama memikirkan mengenai satu sistem pekerjaan yang jelas berleluasa di mana-mana sektor pekerjaan di negara kita iaitu sistem kontrak, teramat sikit majikan yang ingin mengambil pekerja sebagai tetap, sistem ini diamalkan demi mengerah keringat pekerja sehabisnya dan habuan yang besar mereka perolehi tanpa menghiraukan kesusahan pekerja mereka.

Sistem kontrak ini telah mengakibatkan ramai pekerja terpaksa menerima  :

– tak ada gaji minima
– tak ada overtime
– tak ada cuti tahunan
– tak ada perubatan
– tak ada kwsp
– tak ada pencen

(Sumber : http://tukartiub.blogspot.com )

Mereka yang bekerja secara kontrak terdedah kepada bila-bila masa untuk dibuang tanpa sebarang pampasan dan syarikat tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

Seorang demonstran di Amerika yang dibuang kerja mengangkat sepanduk yang ditulisnya sendiri, maksudnya lebih kurang ” Saya ada seorang isteri dan dua orang anak untuk ditanggung “. Cukup menyentuh perasaan, suatu hari mungkin kita akan mengalaminya pula, jadi jangan biarkan ia terjadi, kita perlu bangkit menukar sistem ini.

Wallahu Ta’ala A’lam