Arab Vs Turk

2163446486_a603b7fc2a

Bismillahirrahmaanirrahim

Mungkin kebanyakan kita tidak mengetahui pernah wujud peperangan bangsa Arab menentang bangsa Turk (Turki).

Peperangan ini meletus pada zaman kebangkitan gerakan Muhammad Bin Abdul Wahab di semenanjung Arab.

Pada asalnya gerakan yang dibawa oleh Muhammad Bin Abdul Wahab penuh suci dalam menentang bidaah dan khurafat yang berleluasa ketika itu, tetapi dek kuasa, perjuangan mereka dipergunakan oleh Raja Ibnu Saud dalam mencari kuasa dan sokongan.

Disini saya tidak mahu membawa kisah gerakan Muhammad Bin Abdul Wahab yang penuh pro dan kontranya, tetapi bagaimana tercetusnya peperangan di antara bangsa Arab dan bangsa Turk sedangkan kedua-duanya Islam.

Sebagaimana yang disebut oleh Maryam Jameelah dalam bukunya Suka Duka Gerakan Islam Negara Arab ;

“ Selepas Amir Abdul Aziz meninggal dunia, anaknya menggantikannya.

Amat malang sekali, anaknya itu tidak mempunyai banyak ilmu dalam soal

kenegaraan dan diplomasi. Beliau telah mengapi-apikan pengikut Wahabi

supaya melawan kerajaan Islam Turki yang wujud pada masa itu. Kalaulah dia

seorang yang bijaksana, dia patutlah mengelakkan diri dari menumpahkan

darah sesama Islam. Semua ini berlaku kerana sifat mementingkan diri sendiri di

mana mereka ini ingin menjadi pemerintah. Di mata Turki, nama Wahabi

amatlah dibenci. “

Sifat sukakan kuasa dan pangkat mengatasi ukhuwah Islamiah di antara kedua-dua bangsa, begitulah cara yang disuntik oleh musuh Islam dalam memecah belahkan umat ini.

Tanpa kesatuan yang kukuh, mudahlah musuh-musuh Islam mencucuk hidung umat ini untuk diperlakukan apa sahaja.

Pada zaman ini kita dapa lihat bagaimana setiap kumpulan, parti, jemaah, persatuan dll, berpecah dan berbalah sesama mereka walaupun di atas nama Islam, setiap dari mereka merasakan diri mereka sahajalah yang betul.

Ini amat merugikan umat, lihat sahaja seperti mana yang disebut oleh Maryam Jameelah, bangsa Turk hingga kini amat bencikan Wahabi.

Sepatutnya setiap jemaah saling melengkapi dan tolong menolong, bukan mencari kesalahan untuk dihentam, di negara kita yang tercinta, jangan lah batas kepartian itu menghalang ukhuwah Islamiah , para pendakwah perlu memikirkan cara untuk dakwah mereka diterima oleh setiap lapisan masyarakat, bukannya mencanang manhaj yang dibawa sehingga sebahagian sahaja yang menerima dan yang sebaliknya akan menolak.

Secara peribadi diri ini masih terfikir-fikir sebaik-sebaik jalan yang harus ditempuhi, semoga Allah SWT memberi petunjukNya insyallah.

Wallahu Ta’ala A’lam

Barat Pencuri?

2655354178_425aeecf3d

Bismillahirrahmaanirrahim

Selama ni terfikir juga kenapa golongan yang bangkit di eropah pada zaman kebangkitan menyeru masyarakatnya untuk menyertai perang salib yang berlanjutan selama ratusan tahun.

Benarlah kebangkitan mereka untuk melepaskan diri dari kongkongan gereja dan agamawan mereka yang jumud, setelah mereka bangkit, mereka memerlukan sumber untuk meneruskan agenda kebangkitan mereka, maka…

…tercetuslah perang salib, kemenangan antara pihak Islam dan Kristian silih berganti, jika kita menganggap golongan salibiah ini berperang atas dasar agama semata itu tidak benar, sedangkan mereka bangkit untuk melepaskan diri dari kongkongan agama masakan mereka berjuang untuk itu.

Perjuangan mereka atas dasar KEBANGKITAN, demi masa depan yang lebih mulia kerana sebelum itu kehidupan mereka tidak ubah bak binatang yang hidup dan menunggu mati bila tiba saatnya.

Maka jatuhlah satu persatu tanah umat Islam ditangan tentera salib, yang paling tragis bila kita kehilangan bumi Andalus, di situlah pihak salib betul-betul mengambil manfaat mereka, bumi Andalus terkenal dengan segala macam ilmu, bumi yang mencapai tahap ketamadunan yang tinggi pada masa itu.

Dari bumi Andalus mereka angkut segala ilmu yang ada untuk digunakan, mereka manfaatkan sepenuhnya demi kebangkitan mereka.

Buktinya manhaj ataupun methode penulisan dan buku mereka mempunyai persamaan dengan manhaj ulama Islam. (Sila rujuk : Manhajul Bahs fi ‘ulumul Islamiah oleh Mohd Dusuqi)

Malah jika kita merujuk buku ‘Methode Penulisan’ oleh penulis Islam, banyak dijelaskan bagaimana kedudukan sebenar manhaj-manhaj penulisan Barat yang jelas diambil dari umat Islam.

Mereka mencari cahaya setelah lama bergelap di alam mereka di bumi Islam yang penuh bercahaya ketika itu, malang sekali mereka yang berkiblatkan Barat tanpa menteliti sejarah mereka.

Maka terus meneruslah hina umat ini bila taat dan patuh itu diserah pada ‘makhluk’ bukan lagi ‘khaliq’ dek rasa bangga apa yang ada padanya.

Wallahu Ta’ala A’lam

Islam Dan Kegemilangannya

1173581284_2f118fe7ee

Bismillahirrahmaanirrahim

Jika di penulisan yang lepas saya menceritakan bagaimana zaman gelap yang dilalui oleh warga eropah, kali ini suka saya ingin mengceritakan zaman kegemilangan Islam.

Sebaik-baik kurun adalah tiga ratus kurun selepas wafatnya Rasulullah, perkara ini jelas disebut dalam hadith, dalam tempoh wafat baginda banyak revolusi yang berlaku kepada perkembangan Islam.

Bermula zaman khalifah ar Rasyidin lagi Islam sudah mula tersebar luas, dasar perluasan kuasa ini diteruskan sehingga zaman Umawiyyah, Abbasiyyah, Andalus, dan Othmaniyyah.

Dalam era yang dilalui setiap zaman itu, Islam jelas menampakkan kegemilangannya, hebat di sudut sistem, ekonomi, dan paling mengkagumkan kita ialah proses perkembangan ilmu, umat ketika itu cukup faham dan menitik beratkan proses pembalajaran.

Lihat sahaja berapa ramai ilmuan dan tokoh-tokoh yang kita lahirkan, setiap kurun lahirnya mujtahid dan mujaddid, perkara ini juga disebut dalam hadith baginda. Jelas bagi kita umat Islam tidak hidup dalam kegelapan seperti yang dialami oleh eropah.

Manusia akan terus dalam kegelapan tanpa ilmu, itulah yang dialami oleh warga eropah, sehingga mereka terpaksa bangun mencari cahaya bagi menerangi hidup mereka, tapi tidak buat umat Islam, cahaya itu sedia ada, cuma kadang-kadang agak malap dan kadang-kadang sangat terang.

Bodohlah mereka yang memandang barat tanpa mengkaji proses yang dialami mereka, mereka bangun dari kesusahan demi hidup yang lebih baik, umat Islam sepatutnya menggilap kembali keagungan yang kita miliki, bukan memandang mereka sebagai ikutan.

Jika diteliti, mereka sebenarnya keluar dari satu bencana dan mencipta satu bencana baru apabila menolak fitrah, apakah fitrah itu? Agama, itulah fitrah yang wujud dalam setiap diri manusia, campaklah kemana pun kita, perasaan ingin beragama (baca : bertuhan) tetap wujud sampai bila-bila, orang yang lapar akan kenyang bila makan, begitu juga jiwa yang kosong akan penuh dengan beragama.

Tidak perlulah saya sebut kerosakan demi kerosakan yang dialami barat, jika pandangan kita pada kemodenan yang mereka ada, ingatlah…Rom dan Parsi pernah melalui zaman kegemilangan tamadun mereka, tetapi runtuh dek kerana kejahilan yang mereka miliki, tidak heranlah dengan mudah Islam menawan mereka.

Begitulah saat-saat yang dialami barat kini, masa yang akan menentukan keruntuhan mereka, bodohlah mereka yang masih mengagungkan budaya, sistem, ekonomi dan apa sahaja milik barat.

Umat ini sepatutnya bersedia dengan kebangkitan yang Allah janjikan, bukan lagi memandang barat sebagai ikutan, bersedia untuk menggantikan sistem yang akan runtuh tidak lama lagi.

Umat Islam harus keluar dari kejahilan jika ingin melihat kebangkitan ini terlaksana, umat ini harus keluar dari sembahan hamba pada hamba kepada sembahan hamba pada Sang Pencipta jika ingin bebas, selagi terikat pada hamba umat ini tidak akan mampu bangkit.

Bagaimana untuk merealisasikan kurun yang diiktiraf oleh baginda dan zaman kegemilangan yang pernah umat ini lalui tidak lain hanya dengan membebaskan diri dari terus menyembah sistem hamba, ekonomi hamba kepada sistem dan apa sahaja yang menjadi milik pencipta sistem alam ini.

Wallahu Ta’ala A’lam

Kegelapan Eropah

2220531041_73a7822b4f2

Bismillahirrahmaanirrahim

Zaman kegelapan di eropah dulu cukup memberi kenangan yang pahit buat warganya  untuk dikenang sehingga kini, sejak kecelaruan pihak gereja dalam menafsir agama kristian dan perbezaan pendapat antara mereka yang telah mengakibatkan kejumudan dan kongkongan di sudut ilmu.

Bermulalah era kebangkitan disana, masyarakat nya tidak mampu tahan hidup di bawah kongkongan pihak gereja, malah yang lebih teruk apabila pihak gereja menentang golongan bijak pandai seperti saintis dan ahli fikir (ahli falsafah), mereka dibunuh, dibuang negeri dll.

Setelah kebangkitan itu berjaya, mereka memutuskan bahawa setiap yang melibatkan agama tidak ada kaitan dalam soal kehidupan, doktrin ini mereka berjaya semai kedalam pemikiran masyarakat, bagi mereka setiap yang melibatkan agama akan membawa kemunduran dan kejumudan.

Kebencian mereka pada agama cukup kuat, semuanya kerana sejarah gelap yang mereka lalui, kesalahan pihak gereja yang menggunakan agama sesuka hati dan menjumudkan keadaan, bayangkan jika penyalah gunaan agama ini berlaku pada umat Islam, alim ulama tidak melakukan pembaharuan dalam hukum, tidak menggalakkan ijtihad, banyak mengharamkan sesuatu sehingga umat ini sempit dalam kehidupan mereka?

Saya cukup kagum dengan usaha-usaha yang dilakukakan oleh Sheikh Al Qaradhawi, beliau banyak membantu umat ini dari sudut hukum kontemporari, malah usaha beliau banyak dimanfaatkan masyarakat Islam di eropah dan Amerika.

Insyallah di kesempatan yang ada saya akan membicarakan bezanya alam Islam dan eropah, kerana banyak dikalangan kita menganggap suasana yang dihadapi keduanya adalah sama, dan soalnya sama, sehingga apa yang ingin dicapai eropah cuba dicapai juga.

Wallahu Ta’ala A’lam

Rom Dan Parsi Tumbang

113872396_0b71b21ad2

Bismillahirrahmaanirrahim

Mungkin penulisan kali ini berbau politik, itu tidak menghalang saya menyampaikan apa itu ‘kebenaran’…bukankah kita diajar sampaikan walaupun pahit, kerana itulah hakikat sebuah kebenaran yang harus ditelan.

Saya agak kehairanan dengan sebilangan suku kaum Melayu di Malaysia, suku kaum ini memperjuangkan hak orang Melayu, mereka melaung-laungkan slogan ini seolah-olah tiada yang selayaknya di bumi tercinta Malaysia, tidakkah mereka terfikir adakah benar apa yang diperjuangkan?

Untuk mengetahui benar atau tidak, timbangan nya adalah Ad Din, “kolotnya kamu ni…agama..agama..agama..” kedengaran suara bersuara, maafkan saya…sudah tentulah timbangan agama yang saya pilih kerana mereka ini semuanya beragama Islam, tiada kena mengena dengan yang tidak Islam.

Suka saya untuk kita kembali merujuk kepada sejarah, antara nasihat Hasan Al Bana dalam risalah ta’lim menyarankan kita supaya membaca sejarah (sirah nabawiah).

Zaman perkembangan Islam di Mekah dan Madinah, antara kuasa besar ketika itu adalah Rom dan Parsi, kedua-dua kuasa besar ini mungkin boleh diibaratkan Amerika dan Rusia di abad ini.

Tidakkah kita terfikir bagaimana kuasa besar ini akhirnya tumbang di tangan penguasa Islam? Mereka tumbang di atas risalah yang dibawa oleh Rusulullah SAW…risalah “la ila ha illa Allah “, inilah risalah yang membawa kejatuhan Rom dan Parsi.

Bagaimana risalah ini bisa menumbangkan mereka? Risalah ini amat difahami oleh golongan arab, risalah ini membawa maksud “penyembahan hamba kepada hamba” bertukar kepada “penyembahan hamba kepada Sang Pencipta”, ianya mengandungi maksud keadilan, kebenaran, kesamarataan oleh manusia kepada manusia di atas paksi risalah ini.

Risalah ini mudah diterima oleh masyarakat maharen, oleh kerana itulah tumbangnya Rom dan Parsi, rakyat mereka sedar risalah ini penyelamat dan mengeluarkan mereka dari kesusahan hidup di bawah pemerintahan yang zalim.

Risalah ini juga amat ditakuti oleh golongan pembesar dan mereka yang mempunyai kedudukan, mereka sedar risalah ini boleh mengugat periuk nasi, kedudukan, dan harta mereka. Mereka sebenarnya tidak menafikan kebenaran risalah ini…tetapi periuk nasi, kedudukan, kemuliaan telah mengatasi kebenaran risalah ini di jiwa mereka.

Hakikat manusia sukakan kekayaan, kemuliaan, sanjungan orang ramai… bila semua ini telah menguasai diri, sukar bagi mereka menerimanya…mereka menganggap dengan risalah ini tiada lagi pujian, sanjungan orang ramai dan harta yang banyak.

Jelaslah bagi kita jika risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW ketika itu ialah mendaulatkan kaum arab, Rom dan Parsi tidak akan tumbang, malah kaum arab mungkin diserang dan dilenyapkan dari muka bumi (istilah sekarang pembersihan etnik).

Inilah kecantikan dan keistimewaan Ad Din ini, risalah nya bukan dalam skop kecil membela kaum dan bangsa tertentu sahaja, tetapi menjaga kemuliaan, kepentingan, hak setiap individu tidak kira bangsa, warna kulit dan agama, ianya syumul (meliputi) semua aspek hidup.

Cukuplah dari terpekik membela kaum, tumpukan kepada kebajikan semua masyarakat yang memerlukan.

Wallahu Ta’ala A’lam

 

Sunni Vs Syiah

Bismillahirrahmaanirrahim

Hari ini kami mengikuti kelas seperti biasa, Ustaz Somadi sentiasa ceria mengajar subjek “ Al Hiwar Fi Quran Wal Sunnah”.

Subjek ini mengajar kami bagaimana interaksi ataupun perbualan berdasarkan kisah-kisah yang ada di dalam al-Quran dan hadith-hadith nabi, seperti kisah nabi Allah Musa dengan Nabi Khidhir. Faedah yang dapat kami ambil dari subjek ini ialah bagaimana kaedah dan adab berinteraksi.

Hari ini Ustaz Somadi bawakkan satu cerita, cerita mengenai perdebatan antara seorang ulama sunni dan ulam syiah.

Diceritakan di negeri yang tidak diketahui namanya berlakulah satu perdebatan, maka datanglah ulama sunni ini ke dewan perdebatan yang telah disediakan, ketika memasuki dewan ulama ini mengepit kasut di ketiaknya, ulama syiah ini kehairanan,

Ulama Syiah : apa yang tuan buat ni?

Ulama Sunni : saya teringat di zaman Rasulullah dulu orang syiah suka mencuri kasut.

Ulama Syiah : (sedikit marah) zaman Rasulullah mana ada syiah !!!

Ulama Sunni : (tersenyum) maka berakhirlah debat kita.

Ulama Syiah terpinga-pinga, ketahuilah mereka yang ada disitu aqidah syiah bukan aqidah yang wujud di zaman Rasulullah.

Kami semua ketawa mendengar cerita yang dibawa oleh Ustaz Somadi tadi, Allah Jazikum Bikhair Ustaz.

Wallahu Ta’ala A’lam

Assyairah

makan141

Jagalah Adab Dalam Berhiwar

Bismillahirrahmaanirrahim     

Assyairah : Meraka ialah pengikut Abi Hasan Ali Bin Ismail Asyari mati pada 324 H *

Sesungguhnya Aba Hasan Asyari, telah meninggalkan mazhab lama beliau iaitu mazhab mutakallimin dan beralih kepada manhaj salaf di akhir hayat beliau, oleh itu tidak munasabahlah untuk menisbahkan Mazhab Asyairah kepada Abi Hasan Asyari kerana beliau telah meninggalkan mazhab lamanya.**

Al Hafiz Ibu Kathir berkata : “ Para ulama menyebut mengenai Abi Hasan Asyari tiga perkara :

Pertama : Keluarnya beliau dari muktazilah

Kedua : Penetapan sifat akal yang tujuh, iaitu hidup, mengetahui, kehendak, berkuasa, mendengar, melihat, berkata-kata. Beliau juga mentakwil seperti wajah, dua tangan, kaki dan yang sama waktu dengannya.

Ketiga : Beliau menetapkan semua itu (yang disebut pada no.2 diatas) tanpa mentakwil, dan tasybih yang mengikut manhaj salaf, ianya boleh dilihat pada kitab Al Ibanah karangan terakhir beliau. ***

*: Bacaan lanjut bolehlah merujuk Siiyar A’lam An Nubala’ (15/85), Al Bidayah Wa Nihayah (187/11), Syazarat Az Zahb (2/303).

** : Ini disebut oleh Hasan Bin Muhammad Syabanah di dalam kitab beliau Aqidah Baina Salaf Wal Mutakallimin.

*** : Thobaqat Assyafieyyah oleh Ibnu Kathir, lihat juga Syarhul Ihya’ oleh Zabidi (2/4).

 ————————————————————

Komentar :

Jelas disini dari apa yang disebut oleh Al Hafiz Ibnu Kathir, Abi Hasan Ali Bin Ismail Asyari adalah pada jalan para salaf.

Cuma banyak perkara dari pembawakan sebelum di akhir usia beliau perlu diteliti dan dikaji, jika mempunyai pertembungan haruslah ditekankan adab dalam berikhtilaf dan berlapang dalam menerima sesuatu yang lebih sahih. 

Kabanyakan masalah timbul apabila adab-adab tidak dijaga dan bersikap melampau.

Saya tidak berniat untuk mencetuskan apa-apa, sekadar tatapan buat pembaca, saya juga ingin berpesan buat pembaca yang tidak mempunyai asas perbincangan mengenai perbezaan antara mazhab supaya mempelajarinya dari awal, perbincangan seperti ini tidak mudah seperti memakan makanan yang sedia ada, tetapi hendaklah bermula dari penyediaan bahan asasnya, memasak, sehinggalah sedia untuk dimakan.

Wallahu Ta’ala A’lam

Rujukan : Aqidah Baina Salaf Wal Mutakallimin  oleh Hasan Bin Muhammad Syabanah